Isu Capal Nabi Muhammad SAW dan kesederhanaan dalam beragama

Mengapa “Capal Nabi” menjadi isu pada hari ini?Adakah baru-baru sahaja isu ini timbul?

Jawapannya tidak, jika diselusuri ‘khilaf’/perbedaan Ulama’ berkaitan riwayat capal Nabi teramat banyak, kerana disebalik penulisan-penulisan muktabar berkaitan sifat dan bentuk capal.

Maka kita dapati di dalam Kitab Terulung berkaitan Sifat dan pakaian Nabi, Syamaail Muhammadiyah tidaklah dibesarkan khilaf tersebut. Namun di dalam syarahan Syamail barulah dinyatakan dengan lebih panjang dan jelas berkaitan syarahan bentuk dan rupa capal, namun lukisan capal hanya muncul selepas satu tempoh yang panjang (bukan masa yang dekat dengan zaman Nabi mahupun sahabat, juga khilaf yang timbul).

Namun khilaf tersebut diambil sebagai isti’nas (hujah sokongan) di dalam bertabarruk (mengambil berkat) atas dasar cinta kepada Nabi Muhammad SAW.

Pandangan yang menolak juga tidak kurang kuat berbanding yang menerima, dengan penolakan riwayat, isu intipati riwayat dan disiplin mengambil berkat, bukankah jelas dalam iltizam tabarruk kepada Nabi perlu diperjelas; adakah ianya khusus kepada Nabi atau umum adat ketika itu, persoalan timbul seperti adakah bentuk capal tersebut hanya khusus kepada Nabi Muhammad SAW dan orang Kafir Quraisy mahupun Yahudi yang hidup pada zaman tersebut memakai capal berbentuk lain?

Apabila diperhatikan kitab-kitab hadis muktabar tidak diperincikan pengkhususan dan pengecualian tersebut di dalam hadis-hadil Ni’al (kasut/capal Nabi) – khilaf dilalah/apa yang difahami daripada hadis.

Tulisan saya tidaklah bertujuan membentangkan khilaf ini (jika tidak akan berjela rujukan yang perlu dirujuk dan ditulis), cukup sekadar ingin menyatakan ianya khilaf disudut periwayatan dan intipati riwayat adalah perkara biasa sahaja didalam disiplin ilmu hadis dan fiqh, ada yang menerima dan ada yang menolak.

Bersatu di dalam perkara khilaf yang bersifat furu’ (cabang) adalah mustahil, kecuali khilaf di dalam perkara usul (pokok) di dalam Islam maka perlu disatukan seperti isu di Perancis baru-baru ini. Sebagai contoh “mustahil disatukan perkara furu’ “, contohnya inginkan satu dunia mengangkat tangan berqunut ketika solat subuh adalah mustahil, malah bukanlah tuntutan utama kerana khilaf bermazhab itu adalah tanda rahmatnya agama Islam (cumanya di Malaysia mengambil Mazhab Syafi’i adalah mengangkat khilaf yang ada, panjang kalau nak cerita bab ini pula).

Maka dalam perihal ini, soalan pokok kenapa ada pihak yang bersungguh mengangkat capal Nabi dan pihak yang kedua bersungguh menolak capal?

Hakikatnya kedua-dua mereka bertindak atas dasar cinta kepada Nabi, pihak mendokong capal Nabi kerana ingin mengingatkan diri kepada Rasul, maka dicarinya simbol ataupun logo yang mengingatkan kepada Rasulallah.

Yang menolak kerana berpegang kepada prinsip; riwayat yang dhaif ditolak sebagai hujah. Penolakan ini juga atas dasar cinta kepada Nabi. Saya ulang prinsip diatas, janganlah mengimpikan bersatu pada perkara furu’ (cabang), takkan habis sampai kiamat.

Saya suka melihat perbahasan ini dalam kacamata Usul Fiqh di dalam menilai awlawiyat (keutamaan) dalam mengamalkan jenis-jenis Sunnah Nabi Muhammad. Memetik pandangan Syeikh Muhammad Abu Zahrah, cinta Nabi yang tertinggi adalah dengan menghidupkan Sunnah Qauliyah (nasihat Nabi daripada lisan baginda), contohnya arahan Nabi untuk mendirikan solat, berbakti kepada kedua ibu bapa, berjihad, arahan berdakwah, berukhuwwah.

Manakala Sunnah berdasarkan urusan adat dan kehidupan biasa seperti pakaian, makanan yang dimakan, capal dll, sekiranya tiada didasari dengan Sunnah Qauliyah (diatas) maka perlu diambil dalam bentuk memuliakan Nabi Muhammad, dan tidak melayakkan mereka yang meninggalkannya azab mahupun celaan.

Dalam hal ini, kita ANDAIKAN TANPA KHILAF begitulah rupa Capal yang dipakai Nabi dan terbukti secara riwayat, masih tidak sepatutnya menjadi perbahasan untuk memaksa mahupun mendesak supaya memuliakannya, kerana perkara ini tidak terikat dengan mana-mana Hadis/Sunnah Qauliy yang jelas untuk dimuliakan.

Adapun jika ada pihak yang ingin memuliakanya atas asas memuliakan Nabi, perlulah dengan bersederhana, SUPAYA tidak tertinggal sunnah-sunnah yang lain yang lebih utama. Kita hanya ada 24 jam sehari dengan fokus yang terbatas, teramat banyak sunnah yang lebih utama untuk dibahaskan dan diamalkan. Bersederhana adalah yang terbaik.

Bersederhanalah dalam memperjuangkan simbol capal, bersederhanalah dalam menjawab perbahasan furu’, dan bersederhanalah dalam mengangkatnya sebagai hujah apatah lagi pelaris sesuatu perkara terutama di facebook. Dan mereka yang menolak juga, bersederhanalah dalam menolak, tidak perlu jadikan menolak itu seolah perjuangan yang penuh di wall facebook, malah melakukan troll terhadap capal juga suatu budaya yang kurang baik.

Maka bersederhanalah dalam menolak. Bersederhanalah dalam menolak simbol capal, bersederhanalah dalam menjawab perbahasan furu’, dan bersederhanalah dalam menolaknya sebagai hujah sesuatu perkara terutama di facebook.

Realiti yang pahit, yang lebih menakutkan, sunnah Qauliy arahan Nabi YANG TIADA KHILAF dipandang sepi, seperti menolak pemimpin yang fasiq, muslim wajib bersatu, kita mesti mengamalkan Quran, menjaga solat dengan penuh, mendidik anak dengan iltizam sunnah dan syariah, melazimi bacaan Al-Quran, berselawat dan melazimi zikrullah.. nampak sepi berbanding promosi memakai topi berlukisan-capal ataupun troll topi capal.

Petikan Hadis daripada Shahih Muslim:

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ، – يَعْنِي ابْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ – عَنْ سُهَيْلٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ مِنْ أَشَدِّ أُمَّتِي لِي حُبًّا نَاسٌ يَكُونُونَ بَعْدِي يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ رَآنِي بِأَهْلِهِ وَمَالِهِ ‏”

“Mereka yang paling mencintati aku dikalangan Umatku, dikalangan manusia yang datang selepas aku, mereka teramat inginkan sesama mereka melihat aku, walaupun mengorbankan kesemua keluarga dan hartanya”

Moga kita menjadi umat yang disebut Nabi Muhammad SAW di dalam hadis ini samada setuju dengan capal, atau menolak capal, ataupun seperti saya merasakan perdebatan capal bukanlah keutamaan dalam ketenatan umat hari ini.

Ustaz Mohd Suhail bin Mohd Sufian
Timbalan Pengerusi
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 291 access attempts in the last 7 days.