Meneladani Sahabiyat Menanam Semangat Perjuangan pada Anak-anak

Bulan kemerdekaan membawa kita berfikir kembali apakah makna ‘merdeka’ yang sebenarnya bagi seorang muslim?. Benarkah kita sudah betul-betul merdeka?

Kemerdekaan bagi seorang muslim bukanlah hanya sekadar mengucakpan laungan ‘Merdeka!’ sahaja, tetapi ia membawa erti yang lebih besar dari itu. Erti kemerdekaan yang sebenar membawa kita mengingati kembali tujuan utama kita dihidupkan oleh Allah swt di muka bumi ini.

Seorang sahabat Rasulullah saw bernama Ruba’ie bin ‘Amir r.a telah berkata kepada Raja Kisra ketika beliau diutuskan untuk berdakwah kepada mereka : Allah swt mengutuskan kami ke sini adalah untuk mengeluarkan hamba daripada penghambaan kepada manusia kepada penghambaan kepada Robbil ‘ibad (tuhan sekalian hamba), dan daripada ketidak adilan agama-agama kepada keluasan Islam.

Saidina Umar bin Al-Khattab r.a pernah berkata :

“متى استعبدتم الناس وقد ولدتهم أمهاتهم أحرارًا”

“Bagaimanakah kamu boleh memperhambakan manusia, sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka sebagai seorang yang merdeka”

            Saidina Ali r.a berkata:

لا تكن عبد غيرك وقد جعلك الله حرا

“Janganlah kamu menjadi hamba kepada yang selain daripada kamu, sesungguhnya Allah telah menjadikan kamu sebagai orang yang merdeka”


              Sesungguhnya dalam mencapai erti kemerdekaan yang sebenar pasti memerlukan perjuangan dan pengorbanan. Kita dapat melihat contoh bagaimana perjuangan para sahabat dan sahabiah Rasulullah saw dalam menyebarkan ajaran Islam dan menegakkannya bagi mencapai makna kemerdekaan yang sebenar.

            Tumadhar binti Amru bin Al-Harith atau lebih dikenali sebagai Al-Khansa’ amat sesuai untuk para wanita soroti perjuangannya dalam sumbangannya menegakkan agama Islam dan  menanam semangat juang dalam jiwa anak-anaknya.

Beliau digelar oleh masyarakat ketika itu sebagai Al-Khansa’ yang bermaksud ‘hilang’ kerana hidungnya yang kecil tetapi mancung.

Al-Khansa’ terkenal sebagai seorang penyair hebat dari zaman jahiliyahnya lagi. Pada zaman jahiliyahnya Al-Khansa’ sering menungkapkan syair yang meratapi kematian saudaranya. Tetapi setelah beliau memeluk Islam, kehebatannya itu digunakan pula untuk manfaat Islam. Bait-bait syairnya menyemarakkan lagi semangat juang didalam jiwa anak-anaknya dan juga umat Islam keseluruhannya.

Pernah suatu ketika Saidina Umar Al-Khattab menegur Al-Khansa : “Mengapa matamu bengkak-bengkak?”. Khansa menjawab: Kerana aku terlalu banyak menangis atas kematian pejuang-pejuang Mudhar yang terdahulu iaitu ayahku dan dua orang saudaraku Sakhr dan Muawiyah yang telah terkorban akibat peperangan.” Umar berkata: “Wahai Khansa’, bertaqwalah kepada Allah dan yakinlah dengan kematian, mereka semua ahli neraka”. Al-Khansa menjawab: “itulah yang membuatkan aku lebih kecewa dan bersedih lagi. Dahulu aku menangisi Sakhr atas kematiannya, sekarang aku menangisinya karena dia adalah ahli neraka.”

Al-Khansa’ telah berkahwin dan dikurniakan empat orang putera. Dengan didikan yang sempurna yang diberikan kepada putera-puteranya itu, kesemua mereka telah menjadi pahlawan-pahlawan Islam yang hebat.

Semasa peperangan Qadisiyah yang berlaku sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, Al-Khansa’ telah menghantar keempat-empat puteranya itu untuk turut berjuang di medan. Sebelum mereka berangkat ke medan jihad, Al-khansa’ telah  mengumpulkan kesemua puteranya itu dan memberikan kata-kata semangat untuk berjuang di jalan Allah. Al-Khansa’ berpesan kepada putera-puteranya:

“Wahai anak-anakku, sesungguhnya kalian memeluk agama ini tanpa paksaan. Kalian  telah berhijrah dengan kehendak dan pilihan sendiri. Demi Allah tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kalian adalah keturunan dari seorang ayah dan seorang ibu, ibu tidak akan merendahkan kehormatan dan merubah garis keturunan kalian. Sesungguhnya kalian semua telah mengetahui bahawa Allah telah menyediakan ganjaran yang agung bagi orang-orang Islam yang berperang menentang orang kafir. Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan akhirat itu jauh lebih baik daripada kehidupan dunia yang fana. Allah swt telah berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang yang beriman! Bersabarlah dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersiap siagalah (di perbatasan negeri mu) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

(Ali-Imran: 200)

“Anak-anakku, Apabila kalian bangkit pada pagi esok, insyaAllah Allah akan baik-baik sahaja, maka berangkatlah menuju medan. Allah akan sentiasa menurunkan pertolongan dalam menghadapi musuh-Nya.  Jika kalian telah melihat nyalaan peperangan, maka terjunlah ke medan perjuangan dan perangilah musuh kalian dengan gagah berani. Dan mintalah kemenangan dan pertolongan daripada Allah, pasti kalian akan meraih kemenangan dan kemuliaan, di dalam kehidupan abadi dan kekal selamanya”.

 Semasa didalam pertempuran yang sengit, kesemua anak-anaknya saling memberi semangat antara satu sama lain. Sekiranya terlihat ada diantara mereka yang merasa lemah, pasti salah seorang dari mereka akan mengingatkan kembali pesanan ibunya sebelum mereka berangkat ke medan. Justeru, mereka terus kembali bersemangat dan meneruskan perjuangan sehingga ke titisan darah yang terakhir. Keempat-empat putera Al-Khansa’ telah syahid di medan pertempuran tersebut.

Apabila berita kesyahidan putera-putera Al-khansa’ sampai kepadanya, amat berlainan sekali reaksinya terhadap berita tersebut. Jika sebelum ini semasa zaman jahiliyahnya Al–Khansa’ menangisi dan meratapi kematian saudara-saudaranya, tetapi kini Al-Khansa’ sejurus selepas mendapat perkhabaran, lantas menyeru : “ Segala puji bagi Allah yang telah memberikanku kemuliaan dengan mati syahidnya ke-empat-empat anakku, aku memohon kepada tuhanku untuk mengumpulkan aku dengan mereka di tempat limpahan kasih sayang-Nya.

Dengan syahidnya keempat-empat puteranya, Al-Khansa’ mendapat gelaran ‘Ibu Para Syuada’ yang mana gelaran tersebut kekal sehingga ke hari ini. ‘Al-khansa’ ibu para syuhada’.

Rasulullah saw pernah bersabda,

“Barangsiapa yang merelakan tiga orang putera kandungnya (meninggal dunia), maka dia akan masuk syurga”. Seorang wanita bertanya: “Bagaimana jika hanya dua putera?”, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam kemudian menjawab: “Begitu juga dua putera”. 

(Diriwayatkan oleh Nasa’I dan Ibnu Hibban dari Anas radhiyallahu’anhu dalam kitab Al-Albani Shahiihul Jaami’ no 5969).

Tumadhar binti Amru teladan buat para wanita sebagai inspirasi untuk menjadi ibu mithali yang dapat membangkitkan jiwa perjuangan dalam diri anak-anak, dalam mencapai objektif kehidupan menggapai mardhatillah.

Ustazah Hasanah binti Khairuddin
Timb. Ketua Wanita
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 280 access attempts in the last 7 days.