Memaknai Patriotisme dalam Kerangka Syariah (2)

Sempadan kecintaan kepada bangsa dan tanah air

Walaupun galakan yang pelbagai dalam ajaran Islam terhadap kewajipan berbakti kepada kaum terdekat dan tanah air, Islam tetap meletakkan sempadan dan garis panduan agar manusia dapat hidup dengan aman dan sistem kemasyarakatan tidak huru-hara.

Islam meletakkan tiga asas utama di dalam mencintai kaum, tanah air dan bangsa :

Yang pertama : Tidak meletakkan kemuliaan kepada keturunan dan darah, selain daripada ketaqwaan.

Allah SWT berfirman :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا  إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ  إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

«Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)» Surah Al-Hujurat, ayat 13

Ini kerana tujuan Allah SWT menciptakan bangsa dan keturunan berbeza-beza ini bukan dengan tujuan menyatakan setiap bangsa itu ada keutamaan dan kesucian di sisi Allah SWT berbanding bangsa yang lain. Tujuan dijadikan manusia berpuak-puak dan berlainan kaum hanyalah untuk mereka saling berkenal-kenalan dan memahami tabiat alam ini yang penuh dengan kepelbagaian, dan dengan kepelbagaian itulah alam ini wujud.

Yang kedua : Tidak melanggar hukum hakam Syariah

Ini kerana setiap yang melanggar hukum hakam Syariah adalah sebuah mafsadah dan hanya merosakkan. Islam apabila mengakui kecenderungan perasaan, ia mengikatnya pada paksi yang betul dan memastikan bahawa apa yang dilakukan oleh seseorang muslim mesti di dalam putaran paksi Syariah itu sendiri.

Ibnu Qayyim menyebut : “Syariah itu adalah adil kesemuanya”, (I’lam Al-Muwaqqi’en)

Oleh itu setiap tingkahlaku dan kecenderungan manusia mesti diikat dengan garis panduan Syariah, kerana ia adalah paksi keadilan, kestabilan, rahmat dan keamanan.

Allah SWT berfirman :

وَلَوِ ٱتَّبَعَ ٱلۡحَقُّ أَهۡوَآءَهُمۡ لَفَسَدَتِ ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيهِنَّۚ بَلۡ أَتَيۡنَٰهُم بِذِكۡرِهِمۡ فَهُمۡ عَن ذِكۡرِهِم مُّعۡرِضُونَ

«Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;»

Yang ketiga : Sentiasa menetapkan bahawa paksi Wala’ dan Bara’ adalah paksi akidah

“Sesungguhnya penjagamu adalah Allah dan Rasul-Nya serta para orang mukminun yang mendirikan solat dan menunaikan zakat serta mereka sentiasa ruku’ (solat)”

Walaupun kecenderungan seseorang kepada kaumnya dan bangsanya adalah fitrah, namun Islam meletakkan paksi kesatuan umat manusia adalah paksi akidah. Ini kerana mulianya manusia kerana kemuliaan pegangannya, kerana itulah yang membezakan dirinya dengan makhluk-makhluk yang lain seperti haiwan dan seumpamanya.

Apabila kita meletakkan neraca benci dan cinta itu semata-mata kepada keturunan dan bangsa, dan tanpa melihat agama dan pegangan, maka kita telah menyalurkan kecintaan dan kesetiaan kita ke tempat yang salah.

Dengan perasaan wala’ dan cinta kepada orang beriman, kita akan sentiasa merasakan bahawa setiap inci tanah air umat Islam adalah tanah kita yang perlu dibebaskan dan dimerdekakan daripada cengkaman penjajahan dan penguasaan orang asing.

Kesimpulan poin kecintaan dan kecenderungan :

Bagi menyimpulkan poin-poin di atas, di dalam bab kecintaan dan perasaan, di sana ada dua jenis cinta yang ada pada manusia ; iaitu cinta secara tabie, dan cinta secara Imani.

Cinta secara tabie contohnya adalah pada keluarga dan kaum kerabat, bahkan Islam menggalakkan bahkan menyuruh untuk berbuat baik kepada ahli keluarga. Cinta ini tidak perlu diwajibkan kerana ia sudah pun ditanam secara fitrah kepada manusia. Bertepatan dengan kaedah syarak : ‘dorongan fitrah sudah pun dikira mewakili dorongan syarak’. Melainkan apabila seseorang itu hilang fitrahnya lalu tidak mencintai keluarganya dan kaum kerabatnya, maka pada Ketika itu syarak akan mengambil alih tugasnya dengan cara-cara tertentu seperti melarangnya untuk menikahkan anaknya (wali kepada anak perempuan) dan seumpamanya.

Cinta secara Imani pula adalah cinta atas dasar iman  yakni mencintai seseorang kerana suruhan Allah SWT agar mencintai orang-orang beriman dan Bersama dengan mereka. Cinta seperti ini adalah wajib kerana di situ datangnya taklif syarak. Ini kerana manusia secara tabiatnya tiada apa yang menggabungkan mereka melainkan keturunan dan asas tanah air. Jadi iman menggabungkan mereka atas asas taklif yang sama, atas perkara itu arahan Allah SWT dan Rasulullah SAW bertalu-talu dalam menegaskan tuntutan ini :

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ

«Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai” – Surah Ali Imran, ayat 103

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ

«Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar»- Surah Al-Anfal, ayat 46

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

«Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat»

“Kamu tidak akan masuk syurga hinggalah kamu beriman, dan kamu tidak dikira beriman hinggalah kamu saling mencintai”- Hadis Sahih Riwayat Muslim

“Tidak sempurna iman kamu hinggalah dia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang dicintai untuk dirinya” – Hadis Sahih Riwayat Al-Bukhari

Sekiranya cinta secara tabie boleh dihimpunkan dengan cinta atas dasar iman, maka itulah sebaik-baiknya kerana fitrah pada ketika itu terlorong dalam mengikuti Syariah. Namun sekiranya berlaku pertembungan, maka cinta yang kedualah yang sepatutnya diutamakan seperti dalam ayat At-Taubah tadi, serta dalam ayat surah Al-Mujadalah :

لَّا تَجِدُ قَوۡمٗا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٰنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَهُمۡۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٖ مِّنۡهُۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ أُوْلَٰٓئِكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

«Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya»

Kefahaman Patriotisme yang Bertanggungjawab

Dengan dasar-dasar yang diterangkan tadi, kita akan dapta menghasilkan satu kerangka patriotism yang baharu dengan acuan syarak dan konteks semasa.

Dari sudut acuan syarak, mereka yang diberikan kedudukan di atas muka bumi ini akan menterjemahkan makna firman Allah SWT :

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ

«Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan» – Surah Al-Hajj, ayat 41

Kita akan dapati umat yang berpegang dengan kefahaman ini akan mencintai tanah airnya, selaras dengan kecintaannya kepada agamanya, dalam masa yang sama akan membawa tanggungjawab menegakkan agama selaras dengan tanggungjawab membebaskan tanah air.

Inilah yang cuba digambarkan oleh Imam Hasan Al-Banna dalam menyimpulkan gagasan Islam :

“Islam adalah sistem yang menyeluruh yang meliputi segenap sudut kehidupan. Ia adalah daulah dan tanah air, ataupun kerajaan dan ummah”

Atas sebab demikian, satu elemen penting yang perlu dikukuhkan dalam pegangan umat Islam hari ini adalah elemen ‘perjuangan’ dalam mempertahan identity negara yang telah pun dibentuk dengan acuan Islam sejak zaman berzaman, serta diwarisi rangka kenegaraannya sejak turun temurun.

Kita perlu memahami bahawa perjuangan menegakkan agama tidak akan lengkap tanpa mendirikan satu entity kenegaraan yang menjunjung Islam sebagai agamanya, dan meletakkan umat Islam sebagai pemimpinnya. Jadi, mempertahankan tanah air dengan identitinya ini merupakan salah satu tuntutan fardu kifayah yang jarang dibicarakan orang pada waktu ini. Sedangkan inilah intipati perjuangan Burhanuddin Helmy dan Dr Ahmad Bustamam suatu Ketika dahulu dalam usaha mereka menubuhkan Melayu Raya Ketika British menjajah kita suatu Ketika dahulu.

Kita harus melihat tinggalan sejarah Melayu terdahulu telah pun meletakkan batu asas dalam membina sebuah ketamadunan yang berteraskan ciri keislaman yang nyata, berupa tulisan jawi, adat istiadat melayu, pemakaiannya yang sopan, dan budaya-budaya yang telah menjadi bukti bahawa tanah air ini telah pun berasimilasi dengan ajaran Islam.

Oleh itu, mempertahankan tanah air ini dengan bentuknya yang sebenarnya, serta batu asasnya yang kukuh berupa Bahasa Melayu, institusi Raja-raja yang menaungi serta kepimpinan orang Melayu, adalah kunci utama bagaimana negara ini dipacu ke depan, dan membina sebuah peradaban.

Sebarang usaha dalam merungkai makna-makna itu, serta cubaan untuk memberikan definisi yang baharu dalam kerangka kenegaraan yang telah dipegang selama ini, boleh dikategorikan sebagai salah satu bentuk-bentuk pemberontakan dan pengkhianatan.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 354 access attempts in the last 7 days.