Ucapan Pengerusi MUIS Sempena Maal Hijrah 1442H

Salam Maal Hijrah tahun 1442 H.

Allah SWT berfirman :

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ  وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” – Surah Al-Baqarah, ayat 218

Tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini adalah Ummah Rabbani, Negara Harmoni.

Sesungguhnya detik perpindahan hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah adalah detik penting yang perlu kita ambil iktibar, memperbaharui semangat dan roh perjuangan yang dilalui oleh Rasulullah SAW.

Fenomena hijrah telah membawa umat Islam ke satu perubahan drastik yang unggul. Fenomena ini mengubah mereka daripada keadaan perpecahan di kalangan bangsa Arab kepada kesatuan setiap umat Islam di bawah akidah islam.

Daripada umat yang secara sembunyi-sembunyi menjalankan perintah Allah, kepada umat yang mempunyai negaranya yang tersendiri yang mampu untuk melaksanakan syariat Allah.

Ini adalah kesan besar hijrah Rasulullah SAW. Perkara inilah yang menuntut kita untuk melihatnya sebagai bukan sekadar sejarah dan kenangan, tetapi sebagai pembaharuan tekad dan azam dalam mengikuti perjuangan Rasulullah SAW.

Di dalam Al-Quran terdapat paling kurang 5 kali perkataan hijrah itu disekalikan dengan perkataan ‘jihad fi sabilillah’. Ini kerana hijrah itu perlu kepada perjuangan, dan jihad.

Ibnu Qayyim kategorikan hijrah kepada dua ;

Hijrah dengan jasad, dan hijrah dengan hati.

Hijrah jasad, adalah perpindahan dari tempat ke tempat lain. Adapun hijrah hati adalah hijrah dalaman. Kedua-dua komponen ini adalah sangat penting.

Kita perlu memulakan hijrah dari dalam diri kita, untuk kita boleh berhijrah kepada skop yang lebih besar.

Nabi SAW bersabda :

المهاجر من هجر ما نهى الله عنه

“Orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT” – Hadis Sahih Riwayat Al-Bukhari

Semoga umat Islam di Malaysia ini dapat mengambil semangat hijrah itu untuk kita membentuk sebuah negara harmoni dengan kita ‘rabbani’kan diri kita masing-masing, hijrah kepada yang lebih baik, dari sudut diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, dan negara kita.

Sekian, salam Maal Hijrah, ummah Rabbani negara harmoni.

Sahibus Samahah Dato’ Hj Zamri bin Hashim
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 334 access attempts in the last 7 days.