Kisah Cinta Dan Pengorbanan Keluarga Ibrahim AS

Saban tahun, kita pasti didendangkan semula dengan ulangan kisah Nabi Ibrahim dan pengorbanannya seisi keluarga. Kisah mereka mengajar kita tentang hakikat iman yang mampu melahirkan ketaatan, kesabaran, pengorbanan dan keikhlasan hanya kerana Allah semata-mata. Kekuatan aqidah dan iman tersebut bukan hanya ada pada Nabi Ibrahim seorang, malah turut dimiliki oleh sang isteri dan anak tercinta.

Mari kita belajar dari Nabi Ibrahim seisi keluarga.

Pertama, bermula dengan Nabi Ibrahim, seorang peribadi yang teguh sejak usia muda dan remaja. Kekuatan imannya mampu menyanggah bapa sendiri yang kufur. Keberaniannya mempertahankan hak serta tidak tunduk kepada kezaliman menjadikan dirinya sanggup menempuh apa sahaja, menghancurkan berhala malah akibatnya sanggup dibakar hidup-hidup dalam api yang besar oleh Namrud. Cintanya kepada Tuhan-Nya melebihi cintanya kepada bapa kandungnya. Cintanya kepada kebenaran mengatasi segala ketakutan dan kegusaran.

Tatkala Ibrahim menjadi bapa pula, ujian datang dengan perkara yang paling disayangi. Kecintaannya kepada Allah diuji dengan bertembungnya cinta kepada seorang anak. Apabila telah turun perintah Allah untuk menyembelih anak tersayang Ismail, perintah tersebut ditaati meski pun ia suatu yang terlalu berat. Sekali lagi, cintanya kepada Tuhan-Nya melebihi cintanya kepada si anak. Ibrahim berjaya melepasi ujian ini. Dan Allah menggantikan Ismail dengan haiwan sembelihan yang lain.

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (Surah al-Saffaat: ayat 102)

Jika bukan kerana ada anak yang turut teguh keimanan dan kepercayaan kepada Allah, tentu sekali tidak mudah untuk perintah Allah ini dilaksanakan. Peribadi teguh yang kedua dalam keluarga Ibrahim ini adalah anaknya Ismail. Ketaatan kepada Allah mendahului segalanya, walaupun jiwa dan nyawa sendiri harus dikorbankan. Tanpa sebarang alasan untuk mengelak, tanpa sebarang persoalan, lehernya terus diserahkan kepada si bapa untuk dihunus pisau. Segalanya dengan penuh rela.

Pernahkah kita terfikir bagaimana seorang anak itu mampu taat kepada bapanya dan perintah Allah itu sendiri tanpa bersusah payah dipujuk rayu dan diyakinkan untuk dilaksanakan perintah yang berat ini? Bukankah si bapa pernah meninggalkan si kecil Ismail dan ibunya suatu ketika dahulu di padang pasir yang tandus. Tidak berdendamkah si anak kepada bapanya?

Ini semua tidak lain tidak bukan adalah berkat doa Nabi Ibrahim sendiri. Ibrahim sebelum dikurniakan anak, sentiasa berdoa dengan tidak putus-putus agar dianugerahkan anak yang soleh.

Ibrahim berdoa: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!” (Surah Al-Saffaat: ayat 100)

Allah Yang Maha Berkuasa telah mengabulkan doa dan permintaan Ibrahim. Maka lahirlah seorang Ismail yang soleh walaupun Ibrahim telah lanjut usia ketika itu.

Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. (Surah Al-Saffaat: ayat 101)

Dan tentu sekali Ibrahim juga ketika mana meninggalkan anak dan isterinya bukanlah dengan sengaja dan sesuka hati, melainkan semuanya di atas perintah Allah. Allah memelihara dan menjaga keturunannya atas keberkatan Ibrahim yang menjaga hak-hak Allah. Bukankah Nabi SAW bersabda: “Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu”?

Dan tidak dilupakan watak terakhir dalam kisah ini, semestinya yang wajib dijadikan tauladan buat semua para isteri dan ibu. Beliau adalah seorang wanita berjiwa besi, teguh aqidah dan iman. Pergantungannya bukan kepada  suami atau manusia, tetapi pada Allah Yang Maha Esa. Beliaulah Hajar sang isteri yang taat, juga ibunda Ibrahim yang tabah membesarkan Ismail keseorangan tanpa suami di sisi.

Tak dapat dibayangkan tatkala ditinggal suami bersama anak kecil di padang pasir yang tandus, hanya satu soalan yang terbit di bibirnya: “Apakah Allah yang memerintahkan hal ini kepadamu?”. Ketika Ibrahim menjawab: “Ya”, maka dengan penuh keyakinan Hajar menjawab: “Kalau begitu Allah tidak akan menyia-nyiakan kami” (Hadis Riwayat Bukhari).

Tegar sungguh hati wanita ini. Ditinggalkan di tempat yang gersang dan tidak berpenghuni, namun pergantungannya tetap dan hanya kepada Allah. Hajar yakin Allah tidak akan meninggalkannya. Allah merahmati Hajar dan si kecil Ismail yang kehausan ketika mana Hajar berlari-larian mencari air antara Safa dan Marwa dan akhirnya dikurniakan air zam-zam yang mengalir deras. Dapatlah Hajar menyusui anaknya. Dan akhirnya lembah gersang itu bertukar menjadi subur dan berkembang menjadi tempat tumpuan ramai hingga ke hari ini. Di situlah sejarah bermulanya Tanah Suci Makkah al-Mukarammah, terletaknya Baitullah al-Haram.

BegituIah kisah keluarga Ibrahim. Nabi Ibrahim, si ayah dan suami yang cintanya kepada Tuhan-Nya melebihi dari segalanya. Begitu juga si anak dan sang isteri. Cinta dan ketaatan kepada Allah adalah yang pertama. Cinta yang mendahului dalam setiap perkara.

Dari kisah keluarga Ibrahim ini, TIGA pengajaran terbesar buat refleksi kita bersama:

PERTAMA: Setiap orang beriman pastinya diuji. Dan setiap ujian adalah untuk membuktikan keimanannya. Betapa banyaknya ujian yang dilalui oleh keluarga ini. Dan yakinlah setiap ujian adalah untuk meningkatkan keimanan.

Allah SWT berfirman:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Surah Al-Ankabut: ayat 2)

KEDUA: Dahulukan cinta kepada Allah daripada perkara lain. Tinggalkanlah dunia yang kita cintai tatkala seruan Allah memanggil. Bagaimana cinta kepada Allah dapat disemai? Dengan menanam benih keimanan, kepercayaan dan keyakinan kepada Allah. Dari akar yang teguh, akan berputik cinta dan ketaatan kepada-Nya.

KETIGA: Keluarga yang soleh berpadu di atas binaan individu atau ahli keluarga yang cinta kepada Allah. Bermula dengan susuk tubuh seorang suami dan bapa yang qawwam, anak yang soleh dan taat, juga isteri yang mendukung perjuangan suami. Tidak dilupakan seorang ibu yang kuat dan teguh jiwa seperti Hajar dalam mengasuh dan mendidik anak-anak. Betapa kita semua; sama ada ayah dan suami, isteri dan ibu serta anak-anak perlu berusaha untuk menjadikan diri kita mempunyai nilai seperti ahli keluarga Ibrahim.

Marilah sama-sama kita meneladani keluarga yang hebat ini. Keluarga Ibrahim adalah gambaran sebuah keluarga yang komited terhadap perintah Allah dan teguh iman mereka . Mereka turut miliki visi dan misi yang jelas, iaitu hidup semata-mata kerana Allah. Cinta Allah adalah yang pertama, yang mendahului segala-galanya. Dari cinta, lahirlah ketaatan dan pengorbanan kepada-Nya.

Ustazah Nur Fatin binti Halil
Naib Pengerusi
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 334 access attempts in the last 7 days.