Apa Kaitan Solat dengan Isu Perceraian?

1. Kejadian pensyarah maut dijerut suami sendiri benar-benar menyayat hati. Insiden ini menggambarkan betapa perceraian benar-benar menghantui jiwa manusia sehingga berupaya mendorong seseorang melakukan sesuatu yang sangat menyedihkan.

2. Dalam al-Quran, perbahasan berhubung isu talak dan perceraian dibincangkan dalam Surah al-Baqarah. Anehnya, dicelah perbahasan berkenaan hukum perceraian ini, Allah selitkan penegasan tentang kepentingan menjaga solat. Timbul persoalan di sini, mengapa Allah sebut perihal solat di celah perbahasan isu perceraian?

3. Al-Imam Burhanuddin al-Biqa’i menjelaskan satu pandangan yang menarik. Beliau menggambarkan bagaimana isu perceraian ini adalah satu masalah yang sangat kompleks serta memenatkan jiwa dan akal manusia. Lalu Allah menawarkan solusi dalam menghadapi kemelut ini dengan arahan supaya menjaga solat. Kata al-Biqa’i:

أمور الطلاق دائماً تشغل الإنسان، وتجعله مهموماً في النهار والليل، فلذلك قال تعالى : ” حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ

“Urusan perceraian ini sentiasa memenatkan manusia (jiwa dan fizikalnya), perceraian menjadikan manusia resah siang dan malam lalu Allah membimbing manusia (dengan arahan menghadapi situasi runcing ini) dengan mendirikan solat” (al-Biqa’i, Nuzum al-Durar).

4. Pandangan yang hampir sama diutarakan oleh Dr. Khalid al-Sabt. Beliau menjelaskan bahawa permasalahan rumah tangga seharusnya ditangani dengan memohon bantuan dari Allah melalui solat. Kata beliau:

إنه أورد ذكر الصلاة بين هذه الأحكام؛ ليدل على أن الاستعانة بالصلاة سبب للخروج من المشكلات التي تقع بين الناس

“Sesungguhnya Allah menyebutkan tentang arahan mendirikan solat dicelah perbincangan tentang hukum (perceraian) adalah bagi menunjukkan keperluan memohon bantuan dengan solat. Ia adalah jalan keluar kepada masalah yang dilalui oleh manusia.”

5. Pandangan yang lebih kritis diutarakan oleh Mufti Wilayah yang menyebutkan bahawa salah satu punca perceraian adalah kerana kegagalan keluarga untuk mendirikan solat jemaah bersama. Solat berjemaah bersama barangkali boleh membantu dalam membina hubungan kekeluargaan yang baik. Sekiranya kita jaga hubungan dengan Allah, mudah-mudahan Allah memelihara hubungan kita sesama manusia.

6. Sebahagian penulis pula mengaitkan isu perceraian dengan kegagalan melaksanakan perintah solat. Mereka menyandarkan pandangan mereka pada hadith al-Bukhari yang menyebutkan:

الَّذِي تَفُوتُهُ صَلاَةُ العَصْرِ، كَأَنَّمَا وُتِرَ أَهْلَهُ وَمَالَهُ

“Mereka yang meninggalkan solat asar, seumpama mereka terputus hubungan dengan ahli keluarga dan harta mereka.” (HR al-Bukhari)

7. Lihatlah betapa besarnya peranan solat dalam membimbing kehidupan kekeluargaan manusia. Apa sahaja masalah yang kita hadapi maka mengadulah pada Allah. Bukan mengadu di dalam Facebook.

8. Perceraian adalah solusi terakhir. Allah sebutkan juga tentang perceraian dalam al-Quran. Dengan itu jangan juga kita berburuk sangka bahawa yang bercerai itu tidak solat. Apa yg ingin ditekankan adalah, ketika manusia mempunyai masalah, maka mengadulah pada Allah.

9. Percayalah bahawa hanya Allah yang memegang jiwa manusia. Allah berupaya menjadikan hati seseorang berubah dari benci kepada sayang. Hanya kepada Allah, tempat seorang hamba mengadu.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha Agung
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 280 access attempts in the last 7 days.