Menyamakan Hijrah Dengan Pelarian Satu Pengkhianatan Fakta

1. Hijrah tidak bermaksud pelarian, sebaliknya ia lebih hampir kepada maksud perpindahan daripada satu tempat ke tempat yang lain atau perpindahan dari satu hal yang kurang baik kepada yang lebih baik. Sedang pelarian sebagaimana yang tercatat dalam Perkara 1.A.2 dalam Konvensyen berkenaan Status Pelarian oleh PBB pada 1951, pula adalah merujuk kepada: Tindakan melarikan diri akibat ketakutan akan ditindas disebabkan oleh sebab-sebab tertentu, sehingga mereka sanggup berada di luar negara kewarganegaraannya serta tidak rela untuk pulang kembali.

2. Menyamakan penghijrahan Rasulullah SAW dengan sebuah pelarian merupakan satu penghinaan ke atas Junjungan Besar Nabi SAW dan para sahabat daripada kalangan Muhajirin kerana terdapat banyak nas-nas daripada al-Quran dan juga al-sunnah yang menunjukkan bahawa penghijrahan yang berlaku tersebut adalah menunjukkan bukti keimanan dan kepatuhan mereka kepada perintah Allah SWT secara mutlak. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah An-Nisa : 100). Rasulullah SAW pernah bersabda kepada `Amru bin al-`As yang bermaksud: “Tidakkah kamu tahu bahawa Islam itu mampu menghancurkan dosa-dosa yang telah lampau. Sesungguhnya hijrah mampu menghancurkan dosa-dosa yang telah lampau. Dan sesungguhnya haji juga mampu menghancurkan dosa-dosa yang telah lampau?”(Hadith Riwayat Muslim)

3. Hakikatnya penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat daripada kalangan Muhajirin ke Madinah bukanlah merupakan kumpulan pelarian, sebaliknya mereka merupakan tetamu yang diundang dan dijamin keselamatan mereka melalui perjanjian al-`Aqabah kedua. Ketika Baginda SAW dan Abu Bakr r.a. tiba di Yathrib (Madinah), mereka telah disambut dengan meriahnya oleh para penduduk Madinah. Malah Rasulullah SAW langsung dilantik sebagai Pemimpin selepas itu. (Al-Raheeq al-Makhtum)

4. Hijrah merupakan sunnah para Anbiya’ dan Rasul, tiada mana-mana Anbiya’ atau Rasul melainkan mereka melakukan hijrah. Baca sahaja kisah penghijrahan Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s. Nabi Hud a.s., Nabi Yusuf a.s. dan yang lainnya. Adakah kesemua mereka merupakan Pelarian??

5. Menyamakan hijrah dengan pelarian merupakan dakwaan orientalis. (Difa’ `an al-`Aqidah wa al-Syari`ah Dhiddu Mata`in al-Mustasyriqin: Muhammad al-Ghazali)

6. Hijrah bukannya satu pelarian, sebaliknya ia merupakan satu strategi dan juga salah satu daripada marhalah dakwah Rasulullah SAW.

Sebagai penutup, marilah sama-sama kita memahami sejarah dan sirah yang sebenar serta menjaga disiplin ilmu dalam membuat sebarang kenyataan. Hal ini kerana Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT dan umat Islam keseluruhannya, tidak sewajarnya kita menyandarkan sesuatu istilah yang tidak tepat dan tidak benar terhadap mereka demi untuk menyokong kecenderungan atau kepentingan peribadi atau kumpulan kita

Dr Mohd Soberi Awang
Timbalan Pengerusi
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 251 access attempts in the last 7 days.