Tiga Mekanisme Pemulihan dan Penjanaan Ekonomi Menurut Syarak

Sebahagian rakyat Malaysia mungkin boleh menarik sedikit nafas lega setelah mendengar pelan jana semula ekonomi negara (PENJANA) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri semalam dalam rangka memulihkan ekonomi negara.

Tidak perlu untuk saya ulas pelbagai initiatif  dalam PENJANA, kerana sudah banyak pihak yang memberi komentar terhadap perkara tersebut. Apa yang saya hanya ingin kongsikan kali ini adalah aspek lain yang tidak kurang pentingnya bagi memulihkan dan menjana ekonomi negara. Atau setidak-tidaknya, ekonomi dan kewangan peribadi, keluarga dan masyarakat awam.

Aspek ini sebenarnya telah lama dijelaskan oleh Syarak berhubung prinsip asas kewangan dan ekonomi, tetapi ia jarang disentuh dan sering dilupakan oleh sebahagian manusia. Sesekali ia dibangkitkan apabila berlakunya krisis ekonomi global dari satu dekad ke dekad yang lain. Namun sebahagian manusia kembali lupa apabila periuk nasinya sudah terjaga pasca krisis.

Saya kira tiga (3) Mekanisme yang cuba dilontarkan ini bukan sahaja untuk memulihkan dan menjana ekonomi negara, tetapi merupakan solusi bagi menangani krisis ekonomi global hari ini, dan boleh jadi salah satu batu asas bagi suatu model & sistem ekonomi pasca pandemik yang pakar ekonomi sedunia masih tercari-cari.

1) Jana keuntungan dan pendapatan melalui jual beli, perkhidmatan atau tanggungan risiko

Syarak telah memberikan panduan tentang mekanisme menjana keuntungan dan pendapatan, iaitulah melalui;

  • Jual beli aset atau barangan;
  • Perkhidmatan/servis – contohnya menjadi pemandu grab, menyediakan platform e-dagang, menjahit PPE, membaiki gajet, menyewakan rumah; dan
  • tanggungan risiko atau liabiliti – contohnya pemodal dalam suatu pelaburan perlu menanggung apa-apa kerugian wang modalnya, dan tidak boleh menetapkan supaya pekerja/wakil pelaburan tersebut menjamin modalnya.

Inilah 3 kaedah bagi menjana keuntungan, berdasarkan banyak nas daripada Al-Quran dan Sunnah, dan telah disimpulkan oleh fuqaha dalam satu qaedah fiqh yang masyhur:

لا يستحق الربح إلا بالمال أو العمل أو الضمان

“Tidak berhak memperoleh suatu keuntungan kecuali melalui harta (jual beli), pekerjaan/servis atau tanggungan liabiliti”

Jika dikaji dan diperhatikan dari sudut kesannya, ketiga-tiga kaedah ini telah terbukti mendatangkan banyak manfaat kepada masyarakat dan negara, antara lain, menggalakkan produktiviti manusia, sekaligus merangsang aktiviti ekonomi benar (real economy).

Manfaat besar sebegini sukar didapati dalam aktiviti penjanaan keuntungan melalui kaedah yang lain (selain daripada 3 kaedah di atas) seperti financialisation yang langsung tiada kaitan dengan real economy dan aktiviti riba di mana pemodal atau pemberi pinjaman mendapatkan keuntungan hanya melalui aktiviti pinjaman (contohnya kepada pihak yang memerlukan wang untuk tujuan kelangsungan perniagaan) dengan pengenaan caj faedah/bunga tanpa perlu menanggung risiko kerugian perniagaan tersebut. Dalam hal ini, pemodal atau pemberi pinjaman tidak terlibat secara langsung dengan aktiviti real economy, malah pihak yang berhutang tetap perlu membayar balik pinjaman (dan kadar bunga) meskipun perniagaannya jatuh merudum atas apa jua sebab seperti PKP lantaran pandemik Covid-19.

Ini jelas merupakan satu ketidakadilan dan kezaliman ke atas peminjam atau suatu pihak berkontrak. Inilah antara sebab mengapa aktiviti riba atau apa-apa kaedah penjanaan keuntungan selain daripada 3 kaedah di atas adalah dilarang oleh Syarak dan perlu dibersihkan dengan menyalurkannya kepada badan kebajikan.

2) Jauhi Arak, judi dan lain-lain aktiviti yang merosakkan ekonomi negara

Antara syarat penting muamalat dalam Islam ialah barang jualan hendaklah terdiri daripada harta yang bernilai di sisi Syarak (mal mutaqawwim), dan aktiviti kewangan pula hendaklah yang memberi manfaat kepada semua pihak berkontrak.

Item-item yang tidak diiktiraf oleh Syarak telah dinyatakan dengan jelas oleh Al-Quran dan hadith, termasuklah arak dan judi.

Malangnya hari ini, terdapat sebahagian pihak yang cuba mempertahankan perniagaan arak atas alasan sumbangan besarnya berjumlah berbillion ringgit kepada pendapatan negara melalui pengenaan cukai atau sin tax.

Namun, adakah mereka pernah membuat perkiraan mengenai pendapatan bersih (net revenue) negara daripada aktiviti jualan arak dan perjudian, setelah ditolak segala keburukan dan kerosakan nyata yang perlu ditanggung negara akibat arak dan judi? dan juga setelah ditolak kerugian tidak ternilai yang mengorbankan lebih 600 nyawa akibat kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol (DUI) dalam tempoh 5-6 tahun kebelakangan ini?

Sedangkan Tuhan sudah ingatkan 1400 tahun lalu bahawa jika ingin untung dan berjaya, jauhilah arak dan judi. Tetapi mereka masih ego tidak mendengar ‘tips kejayaan’ ini –

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu berjaya.” (Al-Maidah: 90)

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

“Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) arak dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; Maka mahukah kamu berhenti (dari mengerjakan pekerjaan itu).” (Al-Maidah: 91)

Jangan kita anggap apa jua larangan yang difirmankan-Nya merupakan satu kongkongan. Tetapi ia sebenarnya jaminan kesejahteraan manusia.


Umpama seorang pemandu yang memberhentikan kenderaan ketika lampu isyarat merah. Beliau bukanlah dikongkong. Tetapi beliau sedang menjaga dirinya daripada dilanggar kenderaan dari arah berlainan.

3) Kongsi harta kekayaan, imbangkan kepentingan diri & masyarakat

Harta kekayaan bukan untuk dimonopoli, tetapi untuk dikongsi, demi kesejahteraan manusiawi dan ganjaran akhirat yang kekal abadi.

Syarak tidak pernah menghalang manusia untuk menjadi kaya. Bahkan ia amat menggalakkannya apabila kena pada tempatnya. Lihatlah sahabat-sahabat Rasulullah yang dijamin syurga, majoritinya merupakan ahli perniagaan yang mampu menjana keuntungan lumayan.

Namun begitu, nafsu manusia yang sentiasa inginkan kekayaan ini dipandu oleh pelbagai saranan wahyu:

1. Panduan hukum hakam Syariat – termasuklah pengharaman riba, judi, monopoli dan jual barang yang tidak dimiliki. Ini bertentangan dengan falsafah ekonomi barat yang bebas mengamalkan riba, jual beli gharar (jual beli yang mempunyai unsur yang tidak jelas) dan pelbagai aktiviti yang diharamkan Syariat dalam perjalanan ekonomi negara mereka.

2. Kewajipan menyeimbangkan kepentingan peribadi dan kepentingan umum – Kehendak individu menurut Syarak adalah tidak mutlak. Ia perlu diselarikan dengan keperluan/kepentingan masyarakat umum dan negara. Dalam erti kata lain, Syariat memberi kebebasan kepada manusia untuk mengecapi kekayaan, tetapi jangan sampai jiran di sebelah mati kelaparan dan masyarakat awam hidup dalam kemiskinan tanpa bantuan.

Dalam erti kata lain juga, perolehan harta kekayaan hanya dibenarkan jika ia tidak mendatangkan mudarat kepada orang lain. Kepentingan awam/negara akan diutamakan jika berlaku konlik antara kepentingan individu dan kepentingan masyakarat awam/negara.

3. Motivasi jangka panjang – Kebahagian individu tidak dapat kekal hingga ke akhirat melainkan dia melaksanakan obligasi sosial di dunia. Banyak instrumen kewangan yang disediakan Syarak untuk manusia menunaikan tanggungjawab sosialnya, seperti zakat, wakaf, sedekah serta apa jua aktiviti infaq daripada harta yang dicintakan.

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sehahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali Imran: 92)

Semua saranan yang dijelaskan Syarak ini bertujuan untuk memastikan tercapainya maqasid tadawul al-amwal (objektif peredaran harta) yang merupakan salah satu daripada maqasid Syariah. Ia bertujuan memastikan seluruh harta kurniaan Tuhan di dunia ini dapat dinikmati oleh seluruh manusia, dan tidak hanya dimonopoli oleh kelompok tertentu manusia yang kaya raya.

كَیۡ لَا یَكُونَ دُولَةَۢ بَیۡنَ ٱلۡأَغۡنِیَاۤءِ مِنكُمۡۚ

“…(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu….” (Al-Hasyr: 7)

*  *  *

Kesemua ini merupakan tonggak penting dalam sistem ekonomi Islam yang sepatutnya mendasari sistem ekonomi negara dan global.

Kita tidak perlu terikut-ikut dengan falsafah & sistem ekonomi barat. Lihatlah barat yang sedang menguasai dunia sejak 1 abad yang lalu telah gagal menawarkan peredaran harta yang saksama kepada seluruh umat manusia.

Bahkan majoriti harta kekayaan dunia yang dimonopoli kelompok minoriti mereka hari ini adalah hasil penindasan terhadap manusia. Sistem kewangan dan ekonomi ciptaan barat yang berasaskan riba hakikatnya telah dan sedang membesarkan lagi jurang kekayaan antara mereka dan majoriti umat manusia seluruh dunia. Tidak mustahil ia akan jatuh satu hari nanti apabila majoriti manusia sudah sedar dan kembali kepada solusi-solusi Syarak.

Tiga (3) mekanisme yang dikongsikan ini hanyalah sebahagian daripada 1001 solusi Syarak yang telah diwahyukan. Maka sama-samalah kita teruskan penerokaan solusi-solusi Syarak yang lain dan berusaha mengamalkannya.

Ini kerana inilah jaminan pemulihan dan penjanaan ekonomi negara. Jaminan kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat.

Wallahu A`lam.

Ustaz Ahmad bin Khairuddin
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 334 access attempts in the last 7 days.