Penerangan Isu zikir Mufrad (Allah) dalam merawat perpecahan umat

1. Allah SWT sentiasa menggalakkan kita berzikir kepadanya. Hakikat zikir yang sebenar-benarnya ialah mengingati Allah. Bila kita betul-betul ingat Allah, itulah zikir. Tak kiralah ketika itu kita sedang memandu, lepas bangun tidur, atau ketika makan. Makin kuat cinta kita terhadap Tuhan kita, makin banyak kita ingat kepada-Nya.

2. Terdapat zikir-zikir yang menggunakan lafaz khusus seperti Subhanallah Wabihamdihi, Allahu akbar, Alhamdulillah dan lain-lain. Zikir dengan lafaz yang khusus ini diajar oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis Baginda yang masyhur. Bahkan pahalanya sangat banyak yang dijanjikan oleh Rasulullah.

3. Zikir juga boleh bersifat umum tidak terikat dengan masa, lafaz, waktu tertentu. Inilah yang diistinbat (diambil kefahamannya) berdasarkan ayat-ayat umum yang menyuruh mengingati Allah SWT tanpa meletakkan masa tertentu, lafaz mahupun tempat tertentu. Tiada pula dalil yang khusus yang disepakati oleh ulama mengubah ayat yang umum itu kepada zikir yang khusus.

4. Terdapat ayat-ayat al-Quran selain Hadis yang menyuruh zikir khusus pada waktu tertentu seperti ayat contohnya selepas selesai dari wuquf di Arafat dalam Ibadah Haji Allah berfirman:

لَیۡسَ عَلَیۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَبۡتَغُوا۟ فَضۡلࣰا مِّن رَّبِّكُمۡۚ فَإِذَاۤ أَفَضۡتُم مِّنۡ عَرَفَـٰتࣲ فَٱذۡكُرُوا۟ ٱللَّهَ عِندَ ٱلۡمَشۡعَرِ ٱلۡحَرَامِۖ وَٱذۡكُرُوهُ كَمَا هَدَىٰكُمۡ وَإِن كُنتُم مِّن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلضَّاۤلِّینَ

“Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya”. Al-Baqarah, ayat 198

Rasulullah SAW mengajar para Sahabat seterusnya tentang zikir khusus tersebut iaitu lafaz talbiah. Contohnya lagi ayat:

سبح اسم ربك الأعلى

Bertasbihlah dengan nama tuhanMu yang Maha Agung.

Rasulullah apabila turunnya Ayat ini telah membacanya ketika sujud iaitu سبحان ربي الأعلى. Rujuk kitab AlAzkar karangan Imam Nawawi dalam bahagian zikir-zikir ketika Sujud.

5. Dalam konteks bahasa Arab pula terdapat kaedah taqdir (anggaran) iaitu dipadamkan sebahagian perkataan dan digantikan dengan makna yang muqaddar (dianggarkan). Contoh biasa adalah apabila kita i’rab ayat:

بسم الله الرحمن الرحيم

Maksud ayat ini ikut terjemahan prakatanya ialah: dengan nama Allah Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Jika diteliti perkataan (dengan nama Allah..) ayat ini sebenarnya tidak lengkap. Perlukan kepada penerangan. Dengan nama Allah apa? Oleh sebab itu dari segi i’rabnya ramai yang meletakkan taqdir (anggapan) dari perkataan yang tersembunyi itu. Ramai yang meletakkan i’rabnya sebagai:

أبتدئ بسم الله

Maksudnya: Aku mula membaca al-Quran dengan nama Allah.

Walaupun tidak tersurat, tetapi ada tersiratnya. Begitulah uniknya bahasa Arab.

6. Oleh itu, apabila disebut Allah sahaja secara mufrad (lafaz tunggal) sekalipun bagi yang menyebut apa maksudnya? Ada takwilannya dari segi bahasa iaitu boleh ditaqdirkan dengan Ya Allah. Ataupun Allahuakbar. Dalam bahasa arab ini biasa sahaja.

Mungkin ada yang tertanya, layakkah kita sebut Allah sahaja? Tanpa perkataan ‘Ya’ atau ‘Wahai Allah’?

Jawapannya, apabila ingin menunjukkan sesuatu itu dekat, kita tidak lagi meletakkan kata panggilan wahai. Tetapi terus menyebut nama sahaja. Ia menunjukkan Allah itu sentiasa dekat dengan kita. Ini contoh takwil (justifikasi) yang mudah untuk elak perpecahan.

7. Perkara yang terakhir ialah, perkataan Lafaz Al-Jalalah لفظ الجلالة ini bukan telah ada alif lam di hadapannya. Asal perkataan ialah إله. Tetapi telah ditambah huruf Alif dan Lam yang ditafsirkan oleh ulama Tuhan yang sebenar-benarnya berhak di sembah, tiada tuhan melainkan-Nya sahaja.

Beza dengan kita sebut إله ilah. Contohnya kalau saya panggil seorang yang bernama Muhammad, saya panggil al-Muhammad yang telah saya berikan suatu pangkat khusus baginya sahaja yg ada huruf alif dan lam itu. Itu sahaja telah menunjukkan tanda hormat kepadanya dan bezanya berbanding Muhammad yang lain.

8. Oleh itu, janganlah isu ini dipanjang-panjangkan sehingga timbulnya perpecahan. Adakah kerana zikir pun kita nak berpecah dan bertelingkah. Marilah hormati pandangan-pandangan ulama terdahulu yang mengatakan perlu iltizam dengan zikir khusus. Itu juga banyak pahalanya yang khusus. Tetapi di sana ada juga pandangan ulama, terhadap zikir yang umum berdasarkan dalil-dalil yang umum, maka dibolehkan beramal dengannya.

9. Bila kita betul-betul ingat Allah, pasti akan rasa kasih sayang sesama hamba-hamba yang sama-sama mengingati Allah. Tidak berlaku perpecahan kerana Allah mencampakkan rasa kasih sayang sesama mereka yang sentiasa mengingati Allah. Ahli langit pun sayang, ahli bumi pun sayang.

Ingatlah, antara kemungkaran di muka bumi yang besar kita perlu elak ialah perpecahan sesama orang beriman.

Ini sekadar pandangan saya, wallahu a’lam bissawaab. Semoga bermanfaat.

Dr Muhammad Ikram bin Abu Hassan
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 354 access attempts in the last 7 days.