5 Sebab Lathi Challenge Haram

Tular baru-baru ini di media sosial berkenaan satu cabaran video tarian dan transformasi solekan yang diberi nama Lathi Challenge. Apa sebenarnya Lathi Challenge ni?

Dikatakan ia merupakan satu cabaran di mana seseorang itu mengenakan solekan, kemudian menari tarian tradisional mengikut rentak lagu, dan dengan tiba-tiba solekan tersebut bertukar menjadi solekan yang menyeramkan. Penari tersebut yang pada asalnya berupa paras elok, kemudian bertukar karakter seumpama hantu atau puaka dan bercontengan wajahnya dengan tulisan. Pada asalnya ia adalah lagu gabungan moden dan klasik yang dinyanyikan oleh kumpulan muzik Indonesia yang menceritakan sebuah ‘perhubungan toksik’, namun ia bertukar selepas itu menjadi cabaran solekan. Lathi bermaksud lidah atau ucapan, dan tulisan di wajah tersebut dididakwa berasal dari tulisan Sanskrit India-Jawa kuno.

Trend terbaharu ini mula tular di negara jiran dan terkini, trend ini sampai ke negara kita dan terdapat beberapa selebriti Malaysia yang turut serta dalam cabaran ini.

Setelah melihat video tersebut, saya merasakan bahawa jiwa seorang Muslim yang ada ‘common sense’ dan sensitiviti, pastinya akan merasakan ada yang tidak kena dengan perlakuan dalam video tersebut.

Namun, tidak kurang ada yang mengatakan ia hanyalah seperti video-video cabaran lain yang biasa dibuat oleh orang ramai. Malahan disebut juga bahawa Lathi Challenge adalah salah satu bentuk budaya tradisional orang Jawa. Ia juga hanyalah sekadar hiburan dan manifestasi seni khususnya seni solekan dan tarian. “It’s just an art you guys. There are no religion in arts!”, kata salah seorang warga Twitter.

Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berhibur dan mengekspresi bakat seni. Namun menolak Tuhan, agama dan hukum-hakam dalam seni dan hiburan, ini sudah parah!

Justeru, saya terpanggil untuk menjelaskan perbuatan ini dari sudut pandang syarak. Boleh jadi ramai yang tidak tahu perkara ini satu perbuatan yang salah. Bagi mereka yang telah terlanjur membuat video tersebut, ini bukanlah satu kecaman, tapi ajakan dan nasihat untuk bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya Allah memaafkan setiap kejahilan dan keterlanjuran kita. Yang penting, kita kembali pada-Nya.

Ini LIMA sebab kenapa umat Islam wajib jauhi Lathi Challenge:

SATU: Adanya unsur syirik yang mengancam jati diri Muslim

Perkara akidah jangan dibuat main. Walaupun ada yang mendakwa tidak berlaku pemujaan syaitan dalam lagu dan tarian kerana hanya solekan sahaja yang dibuat dengan rupa menakutkan seperti hantu, namun unsur-unsur dan bibit-bibit ke arah syirik tetap ada. Kenapa?

Pertama, gambaran hantu pada solekan itu sendiri menyerupai jelmaan syaitan. Dalam Islam, hantu-hantu yang digambarkan oleh masyarakat kita adalah sebenarnya penyerupaan jin dan syaitan semata-mata untuk menakutkan dan menyesatkan anak Adam. Jin dan syaitan sememangnya wujud, namun tidak perlulah seorang Muslim cuba untuk menyerupai gambaran syaitan dan menjadikan makhluk Allah ini sebagai ikutan. Allah SWT berfirman:

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ كَمَآ أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَٰتِهِمَآ

Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup)…” (Surah Al-‘Araf: 27)

Allah berfirman lagi:

‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ وَمَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar” (Surah Al-Nur: 21)

Syaitan adalah makhluk Allah yang engkar dan menyuruh berbuat kejahatan. Maka janganlah sesekali kita mengikutnya apatah lagi menyerupainya.

Kedua, Lathi Challenge mengandungi unsur penyerupaan budaya atau tradisi masyarakat yang tidak berlandaskan Islam. Sesetengah budaya dan adat Jawa bahkan dalam masyarakat Melayu di Malaysia sendiri masih sangat kuat percaya pada bomoh dan ilmu hitam. Oleh itu, kita perlu sangat hati-hati meniru kepercayaan mana-mana kaum. Kebarangkalian untuk ada unsur khurafat dan syirik sangat tinggi dalam tarian Lathi kerana ia seumpama tarian Kuda Kepang dan Ulik Mayang yang suatu masa dahulu dikatakan ada unsur pemujaan dan memanggil roh orang yang telah mati. Berhati-hatilah dalam meniru suatu perbuatan kerana dalam hadis daripada Ibn Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Walaubagaimanapun, ini bukan bermakna semua adat dan budaya Jawa atau mana-mana kaum tidak boleh diikut dan perlu ditolak. Tidak dinafikan sesetengah adat dan budaya suatu kaum terdapat yang baik dan masih boleh diamalkan jika tidak bertentangan dengan Islam. Sebagai contoh, adat orang Jawa melakukan ‘baraan’ iaitu takbiran dari rumah ke rumah pada hari raya dan pemakaian pakaian tradisi Melayu seperti Baju Kurung dan Baju Melayu yang menutup aurat dan tidak menyalahi syarak. Hakikatnya, Rasulullah SAW sendiri tidak menyanggah mana-mana adat dan amalan tradisi bangsa Arab selagimana tidak bersalahan dengan Islam, tetapi baginda hanya meminda, merubah dan menulenkan mana-mana adat yang perlu supaya ‘ruh’nya menjadi Islam.

DUA: Mencemar kemuliaan wajah kurniaan Allah

Solekan dalam Lathi Challenge yang menyerupai hantu dan bercontengan dengan tulisan yang tidak difahami adalah bertentangan dalam Islam. Ini kerana perlakuan ini telah mencemarkan kemuliaan wajah pemberian Allah. Tidak boleh diterima penghujahan melakukan solekan tersebut atas nama seni kerana seni bagi seorang Muslim perlu mengikut aturan agama. Kayu ukur keelokan dan kemuliaan perlu dilihat dari kaca mata syarak. Baik dan buruk semuanya perlu dilihat dalam neraca Islam. Jelmaan wajah hantu pastinya bukanlah suatu yang dipandang elok oleh agama. Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian, maka janganlah kita merosakkannya.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Tin: 4)

Malah, mengubah ciptaan Allah tanpa keperluan juga dilarang Islam kerana ia merupakan tanda seseorang telah termakan hasutan syaitan. Allah SWT berfirman:

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَننْعَامِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.” (Surah al-Nisa’: 119)

Berdasarkan ayat ini, mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang telah Allah SWT jadikan pada makhluknya; sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya. Imam al-Baidhawi Rahimahullah menerangkan maksud ‘dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah’ iaitu mengubah dari asal muka, rupa dan sifatnya. Perbincangan tentang hukum mengubah ciptaan Allah agak panjang dari sudut keharusan dan larangannya jika perubahan itu berbentuk kekal atau sementara. Namun, adalah lebih baik kita keluar dari perselisihan ulama dengan tidak melakukan suatu perbuatan yang mengubah asal kejadian tubuh kita.

TIGA: Melakukan perkara lagha dan sia-sia

Orang yang beriman akan sentiasa mengingati tujuan hidup di dunia iatu beribadah kepada Allah dan menghindarkan diri daripada segala perbuatan yang tidak bermanfaat. Mereka tidak membuang masa dan amat menghargai setiap saat dalam kehidupan. Ini kerana orang beriman mempunyai sifat takwa yang menyebabkan mereka takut jika perbuatan mereka membawa ke neraka. Mereka sentiasa ingat dosa dan pahala. Justeru, di manakah manfaat Lathi Challenge melainkan untuk hiburan dan suka-suka sahaja? Adakah perbuatan tersebut boleh mendekatkan diri kepada Allah? Allah SWT berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya, dan orang-orang yang berusaha menjauhkan diri dari melakukan perbuatan atau mengeluarkan perkataan yang sia-sia” (Surah Al-Mukminun: Ayat 1-3).

Orang yang beriman juga akan sentiasa berfikir dahulu sebelum bertindak dan tidak melibatkan diri dengan perkara yang tidak berkaitan dengannya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ : مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya”.  (Hadis Hasan diriwayatkan oleh Tirmidzi dan yang lain)

Benar, menjadi mukmin bukannya bererti meninggalkan dunia, namun menjadi mukmin ertinya bijak menjadikan segala tindakan dan perbuatannya di dunia sebagai jalan menuju syurga.

EMPAT: Menjadi perintis keburukan kepada orang lain

Satu perbuatan buruk dan maksiat yang dimulakan dan diikut oleh orang lain akan berpanjangan dosanya pada si pemula. Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun” (Hadis Riwayat Muslim)

Fikirkanlah suatu hiburan atau cabaran yang boleh memberi manfaat dan menjadi ikutan yang baik kepada orang lain. Jadilah pemula kebaikan. Sebenarnya terdapat banyak cabaran lain di media sosial yang tidak bertentangan dengan Islam. Carilah dengan berpandukan kaca mata syarak. Pertimbangan kita bukan hanya berdasarkan akal, tetapi mesti merujuk wahyu dan syariat. Bayangkan jika suatu challenge atau cabaran yang dianjurkan itu bermanfaat dan diredhai Allah, tentu sekali pahala akan berterusan diperoleh bagi sesiapa yang memulakannya. Sebagai contoh, al-Fatihah challenge, selawat challenge cabaran kemas rumah, cabaran menanam pokok dan pelbagai lagi challenge yang bermanfaat perlu diteruskan dan diikuti. Perbuatan cabar-mencabar dalam perkara buruk dan maksiat hendaklah dihentikan segera.

Islam turut meraikan jiwa manusia yang perlukan hiburan untuk menyeimbangkan kehidupan. Namun ada batasan dan panduan syarak yang perlu diikuti serta tidak berlebih-lebihan.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku al-Halal wa al-Haram menyebut:

Justeru, Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran al-Karim dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah SWT menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum…

LIMA: Ingatlah, setiap perbuatan pasti akan dipersoalkan

Tidak takutkah kita bahawa di akhirat kelak, setiap apa yang dilakukan akan ditanya oleh pencipta kita? Setiap kita pada hari kiamat nanti akan dibangkitkan di Padang Mahsyar dan akan melalui pemeriksaan dan timbangan di atas amal kita semasa hidup serta dipersoalkan tentang umur, ilmu, harta dan tubuh badan yang dikurniakan di dunia. Nabi SAW bersabda:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاه

Rasulullah SAW bersabda: “Dua kaki seorang hamba tidak akan bergerak (pada hari kiamat) sehingga dia ditanya tentang umurnya, kemana dihabiskan, tentang ilmunya apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya, tentang hartanya dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa digunakannya” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Ingatlah juga malaikat di kiri dan kanan sentiasa mencatat setiap amal perbuatan kita. Malulah dengan para malaikat yang sentiasa memerhatikan tindak-tanduk kita. Allah SWT berfirman:

“Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya, yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)” (Surah Qaf, ayat 17-18)

Bukan sahaja setiap perlakuan dicatat di dalam buku amalan, malah tangan dan kaki sahaja yang dibenarkan Allah SWT untuk berbicara pada hari kiamat sebagai saksi atas perbuatan manusia ketika di dunia. Firman Allah SWT:

ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

 “Pada waktu itu Kami tutup mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin, ayat 65)

Kesimpulannya, hindarilah dari perbuatan mengikut-ikut trend semasa. Bukan sahaja Lathi Challenge, malah segala bentuk challenge, tarian, nyanyian, solekan dan segala perbuatan khususnya di media sosial dan di mana sahaja perlu ditapis dan difikirkan terlebih dahalu adakah ia selari dengan syarak. Bertakwalah kepada Allah di setiap masa. Bertindaklah dengan tindakan seorang Muslim dan Mukmin. Janganlah kita bertindak melulu dan mengikut hawa nafsu sehingga mengikut jejak langkah kaum yang dilaknat Allah.

Sabda Nabi SAW: “Sungguh, kalian benar-benar akan mengikuti kebiasaan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kalian pasti akan mengikuti mereka.” Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Hadis Riwayat Muslim).

Wallahua’lam.

Ustazah Nur Fatin Binti Halil
Naib Pengerusi
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 251 access attempts in the last 7 days.