Penghayatan Aidilfitri

Ramadhan bakal berakhir, Aidilfitri pula hadir menghampiri. Kurang beberapa jam lagi sebelum tibanya hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Dunia masih lagi berjuang melawan wabak Covid-19 yang melanda yang tidak tahu bilakah pengakhirannya. Perdana Menteri Malaysia juga seringkali mengulang-ulang perkataan ‘New Normal’ atau Normal baharu yang kita perlu amalkan sejak awal Kawalan Perintah Pergerakan diumumkan.

Maka Ramadhan yang kita lalui selama sebulan pada kali ini ternayata begitu berbeza dan berlainan dengan apa yang sering kita lalui pada Ramadhan yang lepas-lepas. Tiada lagi kemeriahan Solat Terawih di Masjid, tiada lagi majlis berbuka puasa yang tidak putus-putus, tiada lagi perkumpulan keluarga besar, tiada lagi pertemuan tadarus dan majlis khatam Al-quran bersama-sama di surau atau masjid masing-masing dan tiada lagi kemeriahan berbelanja dan mencuci mata di bazar Ramadhan, yang ada hanyalah pertemuan-pertemuan di atas talian. Malah bazar Ramadhan juga di buat secara atas talian. Hikmah PKP, ayah-ayah terserlah sifat ‘qawwam’ nya yang menjadi ketua keluarga yang terbaik yang mengatur program isi rumah, tukang membeli keperluan rumahtangga, bahkan menjadi Imam kesemua solat fardhu dan solat terawih kepada seisi rumahnya.

Nampaknya Aidilfitri kali ini juga bakal disambut dengan suasana yang baharu, dengan mengamalkan normal baharu dengan SOP yang ketat yang telah disusun oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Ini semua tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk keselamatan dan kesejahteraan kita semua.

Moga-moga panduan sambutan Aidilfitri yang diumumkan oleh pihak kerajaan tidak menjadikan sambutan Aidilfitri pada kali ini terasa hambar.

Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu syiar Islam yang Allah swt tetapkan untuk semua umat Islam yang mesti ditinggikan. Umat Islam wajib melahirkan kegembiraan dan kesyukuran dalam menyambut hari Raya Aidilfitri ini walau dalam apa jua keadaan sekali pun.

Sejarah Sambutan Hari Raya

Umat Islam pertama kali menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2 hijrah selepas difardhukan berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan pada tahun yang sama.

Telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmizi di dalam Sunannya, Sejarah Hari Raya di dalam Islam bermula apabila Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Rasulullah bertanya kepada mereka, apakah dua hari raya itu? Mereka menjawab dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada nenek moyang mereka.

Mendengarkan jawapan mereka itu, Rasulullah seraya berkata:

قدْ أبدلَكم اللهُ تعالَى بِهِمَا خيرًا مِنْهُمَا يومَ الفطرِ ويومَ الأَضْحَى

Maksudnya:

“Allah taala telah menggantikan bagi kamu dua perayaan tadi dengan yang lebih baik dari keduanya iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.”

Takrif Aidilfitri

Perkataan ‘Eid berasal daripada perkataa عاد (‘aada) yang  bermaksud kembali, iaitu kembali kepada-Nya

Seorang Ulama’ Islam ; Ibn Al-A’rabiy menyatakan bahawa ianya dinamakan sebagai ‘eid adalah kerana ia mengembalikan kegembiraan baru kepada umat Islam pada setiap tahun.

Al-Allamah Ibn ‘Abidin berkata sesungguhnya ‘eid dinamakan begitu kerana umat Ilam mengembalikan Ihsan kepada Allah ta’ala.

Perkataan Fitri pula bermaksud fitrah iaitu membawa kita kembali kepada fitrah yang asal, yang bersih daripada dosa dan noda.

Dikatakan juga ia dinamakan sebagai fitri kerana orang-orang muslimin ‘yuftiruna’ iaitu berbuka puasa pada hari tersebut setelah sebulan berpuasa Ramadhan.

Allah swt menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda terima kasih kepada hambanya yang telah berusaha menunaikan ibadah puasa selama sebulan dan kita sebagai hamba Allah wajib melahirkan kesyukuran kepada Allah swt yang telah memberi peluang untuk beribadah di bulan Ramadhan dengan menzahirkan kegembiraan :

Allah swt berfirman:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُون

البقرة الآية:185

Maksudnya:

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.”

Ma’ani Aidilfitri

Bagi menjadikan sambutan Aidilfitri pada kali ini disambut dengan penuh kegembiraan seperti Aidilfitri yang lalu walaupun dalam keterbatasan arahan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) ini, marilah sama-sama kita menghayati ma’ani Aidilfitri ini.

1. Aidilfitri Hari Kemenangan dan Kegembiraan  

Hari Raya Adilfitri adalah hari kemenangan dan kegembiraan bagi seluruh umat Islam. Allah swt mencampakkan perasaan gembira di dalam hati orang-orang muslim yang berjaya mencapai kemenangan setelah sebulan berpuasa mengawal hawa nafsu makan dan minum pada siang hari pada bulan puasa selama sebulan berturut-turut, bahkan kejayaan mereka mengawal anggota badan dari melakukan perkara-perkara yang mazmumah.

2. Aidilfitri Hari Raya Fitrah 

Hari Raya Aidilfitri adalah hari yang amat istimewa. Ia disambut khusus bagi merayakan kembalinya setiap Muslim kepada keadaannya yang asal iaitu keadaan fitrah, yang suci lagi bersih. Aidilfitri yang sebenar-benarnya adalah kesinambungan kepada ketakwaan yang dituntut atas kita sepanjang mengerjakan ibadah puasa. Ia adalah perayaan bagi meraikan kemenangan setiap mukmin melawan godaan dan hawa nafsu.

Allah swt berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Al-baqarah ayat 183

Maksudnya:

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Allah swt mengkehandaki berpuasa bagi orang-orang muslim ini yang mana hasilnya akan melahirkan mereka sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Maka seharusnya Hari Raya Aidilfitri ini di sambut dengan penuh rasa ketaqwaan kepada Allah swt. Dan tidak dicemari dengan perkara yang menodai ketaqwaan yang disemai pada bulan Ramadhan itu.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili :

مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

Maksudnya :

”Barangsiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) kerana mengharapkan ganjaran kerana Allah. Maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).”

Riwayat Ibnu Majah (1782)

Oleh itu, sambutan bagi merayakan Hari Raya Aidilfitri ini perlu sejajar dan selaras dengan kehendak dan tuntutan syariat.

Antara amalan yang dituntut untuk dilakukan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri ini ialah:

  1. Memperbanyakkan bertakbir dan berzikir mengingati Allah, bermula selepas Maghrib pada hari terakhir Ramadhan.
  2. Mandi sunat Aidilfitri
  3. Menunaikan solat sunat Aidilfitri dan mendengarkan khutbahnya.
  4. Memakai pakaian yang terbaik dan indah.
  5. Bermaaf-maafan.
  6. Mengucapkan tahniah kepada sesama umat Islam.

فعن جبير بن نفير ، قال : كان أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم إذا التقوا يوم العيد يقول بعضهم لبعض ، تُقُبِّل منا ومنك .

ابن حجر إسناده حسن

Daripada Jabir bin Nafir:

Apabila sahabat-sahabat nabi saw bertemu pada hari raya, mereka akan mengucapkan sesama mereka : “Taqabbal minna wa minka”

Selain daripada itu kita perlu berhati-hati dalam meraikan hari raya ini dengan memelihara batasan syariat supaya tidak terbabas daripada landasan yang digariskan oleh Islam ketika meraikan Aidilfitri. Sambutan Aidilfitri tidak seharusnya dicampur-adukkan dengan perkara yang sia-sia dan berunsurkan maksiat. Perkara itu bukan saja bersalahan dengan konsep kembali kepada fitrah seseorang Muslim, malah dikhuatiri turut mencemarkan nilai ibadah yang diusahakan sepanjang Ramadan.

3. Aidilfitri Hari Silaturahim 

Hari Raya Aidilfitri adalah hari mengeratkan tali persaudaraan dan menyuburkan silaturrahim. Pada Hari Raya Umat Islam akan berkumpul bersama-sama di masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, sama-sama bertakbir membesarkan Allah swt dan meninggikan syiar Islam.

Islam meletakan nilai persaudaraan dan kasih sayang itu di tempat yang amat tinggi dan utama. Hubungan persaudaraan yang baik akan melahirkan individu yang berkualiti, seterusnya membawa kepada kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Dalam hubungan ini, sambutan Aidilfitri telah memberi ruang dan pelung yang luas ke arah pengkukuhan persaudaraan dan silaturahim melalui ucapan salam Aidilfitri, kunjung mengunjungi dan saling bermaaf-maafan.

Walaupun dalam keadaan PKP sekarang, kita perlu menyesuaikan diri kita dengan normal yang baharu bagi mencapai maksud ini. PKP bukanlah alasan untuk kita tidak menjalinkan tali silaturrahim. Gunakan segala kemudahan yang Allah kurniakan kepada kita berupa teknologi yang canggih. Kita masih lagi boleh menggunakan panggilan video atau menghubungi terus kaum keluarga dan sahabat handai menggunakan gajet yang ada.

4. Aidilfitri Mengukuh Perpaduan 

Hari Raya Aidilfitri disambut oleh segenap umat manusia, tidak mengira pangkat dan darjat. Semua meraikannya dengan gembira oleh orang tua dan muda, miskin dan kaya. Malah di Malaysia yang berbilang kaum ini, Hari Raya Aidilfitri ini diraikan oleh semua bangsa tidak mengira agama. Malah kerajaan Malaysia mewartakan Hari Raya Aidilfitri sebagai hari cuti umum untuk semua rakyatnya termasuk kepada yang tidak beragama Islam. Kesemuanya dapat merasai kegembiraan dan kehangatan sambutan Aidilfitri ini.

Aidilfitri mengukuh perpaduan dan mendekatkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin apabila Allah swt mensyariatkan zakat fitrah yang diwajibkan kepada kesemua umat Islam yang berkemampuan. Zakat ini akan diagihkan kepada asnaf yang terdiri dari golongan yang miskin dan memerlukan.

5. Aidilfitri Mengukuh Keimanan 

Umat Islam tidak terlepas dari ancaman musuh Islam yang ingin melihat umat Islam berpecah belah dan ingin merosakkan aqidah umat Islam melalui fahaman-fahaman ideologi yang terpesong dari ajaran Islam yang sebenar.

Dalam mendepani muslihat dan ancaman tersebut, umat Islam mesti meneruskan amalan dan amal ibadah seperti yang dilakasanakan dalam bulan Ramadhan, menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah, mempelajari dan memahami ajaran dan syariat Islam dengan baik dengan merujuk kepada golongan alim ulama yang arif dan muktabar.

***

Jiwa orang mukmin akan merasa sedih apabila Ramadhan tiba ke penghujungnya, sekalipun gembira menyambut kedatangan Syawal yang mulia.

Para sahabat dan solafussolah akan berdoa selama 6 bulan selepas berakhirnya Ramadahan supaya Allah menerima segala amal ibadahnya sepanjang bulan Ramadahan yang telah dilalui.

Semoga dengan penghayatan terhadap ma’ani Aidilfitri ini memberikan kita semua semangat dan kegembiraan untuk menyambutnya walau dalam keadaan dikawal ini.

Semoga Hari Raya Aidilfitri ini, kita raikan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri,

Taqabballahu minna wa minkum.

Ustazah Hasanah binti Khairuddin
Penyelidk
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 222 access attempts in the last 7 days.