Hukum dan Kaifiyat Solat Hari Raya di Rumah ketika PKP

1. Hukum menunaikan solat kedua hari raya (Idil Fitri dan Idil Adha) menurut Mazhab Maliki dan Syafie adalah sunat muakkadah (sunat yang sangat dituntut), manakala menurut Mazhab Hanafi ia adalah wajib (menurut Mazhab Hanafi, wajib berbeza dengan fardhu), sedangkan menurut Mazhab Hanbali pula ianya adalah fardhu kifayah. Solat kedua hari raya telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah.

2. Segala rukun dan syarat solat kedua hari raya ialah sama dengan solat fardhu yang lima. Cuma terdapat perkara sunat yang ditambah iaitu bertakbir sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama (selepas takbiratul ihram) dan lima kali pada rakaat yang kedua. Bilangan rakaatnya pula ialah sebanyak dua rakaat.

3. Di antara setiap takbir tersebut, kita digalakkan untuk bertasbih :-

(سُبْحَانَ اللهِ والحَمْدُ للهِ وَلاَ إلَهَ إلاَّ الله والله أكْبَر)

4. Tiada azan atau iqamah pada kedua solat hari raya, sekiranya solat secara berjemaah, disunatkan menyebut: “الصَّلاَةُ جَامِعَة” sebelum menunaikan solat.

5. Berbeza dengan solat Jumaat, khutbah bagi kedua solat hari raya dilaksanakan selepas selesai solat, bukannya sebelum menunaikan solat.

6. Tiada sebarang keraguan bahawa menunaikan solat kedua hari raya secara berjemaah adalah diutamakan. Sekiranya dalam keadaan tidak mengizinkan seseorang menunaikannya secara berjemaah atau ketidak sempatan, maka diharuskan baginya menunaikan secara berseorangan di rumah atau di mana sahaja tempat mereka berada.

Menurut mazhab Syafie, solat hari raya adalah disyariatkan untuk individu, lelaki atau perempuan, yang bermusafir atau bermukim, yang merdeka maupun hamba.

Menunaikannya secara berjemaah adalah termasuk sunnah. Andainya keadaan menuntut seseorang menunaikannya secara berseorangan, maka hendaknya ia menyempurnakan segala yang berkaitan dengannya kecuali khutbah. Menurut salah satu pandangan dalam Mazhab Syafie dibolehkan menunaikan solat kedua hari raya secara berjemaah dengan sekurang-kurangnya dua orang.

7. Disunatkan membaca surah al-A’laa atau Qaaf selepas membaca surah al-Faatihah pada rakaat pertama dan surah al-Ghaasyiah atau al-Qamar pada rakaat kedua.

8. Permulaan waktu menunaikannya setelah syuruq (terbit matahari), tetapi sebaik-baiknya adalah setelah masuk waktu Dhuha (setelah ketinggian matahari sekadar segalah). Manakala berakhirnya adalah apabila matahari tergelincir. Disunatkan menyegerakan solat sunat Idil al-Adha dan melewatkan sedikit solat sunat Idil Fitri daripada permulaan masuk waktunya.

ANTARA ADAB HARI RAYA ‘IDIL FITRI YANG MASIH BOLEH DILAKUKAN SEMASA PKP

  1. Memperbanyakkan takbir raya bermula selepas maghrib 1 Syawal, sehingga imam berdiri untuk menunaikan solat hari raya.
  2. Mandi sunat hari raya, memakai bau-bauan dan pakaian bersih atau baharu.
  3. Disunatkan mengambil sesuatu makanan sebelum menunaikan solat sunat hari raya.
  4. Menunaikan solat sunat `Idil Fitri.
  5. Makruh bagi imam solat sunat yang lain (seperti solat sunat Dhuha atau seumpamanya) sebelum menunaikan solat hari raya dan tidak dimakruhkan selainnya.
  6. Bermaaf-maafan, memperbanyakkan doa dan bersedekah.
  7. Menghubungkan silaturrahim, terutama keluarga dan jiran tetangga terdekat melalui panggilan telefon, menggunakan aplikasi telefon yang sesuai atau berziarah dengan mengambil kira pematuhan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Boleh mengucapkan kata-kata yang mengembirakan, seperti “تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ” (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”
  8. Berpuasa sunat selama 6 hari dalam bulan Syawwal. Boleh dilakukan secara berturut-turut atau berasingan, tetapi diharamkan berpuasa pada hari raya.
  9. Elakkan menyambut hari raya dengan perkara yang ditegah oleh syarak.

Dr Mohd Soberi bin Awang
Timbalan Pengerusi
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 244 access attempts in the last 7 days.