Teruskan berdoa !

Doa adalah senjata yang ampuh bagi orang mukmin. Islam mengajar disamping kita berusaha sehabis daya,mengambil semua asbab, maka sebagai makhluk,kita serahkan segala keputusan kepada pemilik segalanya. Sebagai muslim yang beriman,kita percaya dan yakin bahawa Allah sentiasa ada bersama.Firman Allah s.w.t:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِي وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.”

( Al-Baqarah:186)

Alangkah pemurah dan penyanyang nya Allah yang Maha Mendengar.Allah berjanji akan memperkenankan doa-doa hambaNya.Banyak kisah-kisah Nabi terdahulu yang ketika mana mereka berdoa memohon pertolongan kepada Allah,maka Allah tidak sekali-kali mensia-siakan doa mereka.

Di dalam kisah Nabi Nuh,ketika mana dakwah baginda ditolak oleh kaumnya sendiri, disindir,diejek dan disakiti bertahun-tahun lamanya,bahkan sangat sedikit yang meyambut dakwah baginda. dan tatkala baginda berdoa kepada Allah supaya memberi kemenangan kepada baginda diatas kaumnya,maka Allah menjawab doa tersebut.

فَدَعَا رَبَّهُۥٓ أَنِّي مَغۡلُوبٞ فَٱنتَصِرۡ
فَفَتَحۡنَآ أَبۡوَٰبَ ٱلسَّمَآءِ بِمَآءٖ مُّنۡهَمِرٖ
وَفَجَّرۡنَا ٱلۡأَرۡضَ عُيُونٗا فَٱلۡتَقَى ٱلۡمَآءُ عَلَىٰٓ أَمۡرٖ قَدۡ قُدِرَ

Lalu dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)!Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan.

(Surah Al-Qamar:10-12)

Demikian juga dalam kisah Nabi Zakaria,ketika baginda mengadu kepada Allah akan usianya yang sudah tua dan isterinya adalah seorang yang tidak boleh melahirkan malah tidak dikurniakan seorang anak.Dan Maha Benar Allah yang sentiasa mendengar doa hamba-hambaNya ketika mana Allah berfirman dalam surah Al-Anbiya:

فَٱسۡتَجَبۡنَا لَهُۥ وَوَهَبۡنَا لَهُۥ يَحۡيَىٰ وَأَصۡلَحۡنَا لَهُۥ زَوۡجَهُۥٓۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ يُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡخَيۡرَٰتِ وَيَدۡعُونَنَا رَغَبٗا وَرَهَبٗاۖ وَكَانُواْ لَنَا خَٰشِعِينَ

Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.(Surah Al-Anbiya:90)

Kita sebagai Hamba Allah harus akur bahawa kehidupan kita di dunia ini akan sentiasa dan terus diuji olehNya. Pelbagai bentuk ujian datang dan pergi.Dan ia adalah sunnah yang pasti dan akan berlaku seperti mana Allah menguji hamba-hambaNya yang terdahulu dalam pelbagai bentuk kesakitan,kesusahan,kelaparan mahupun ketakutan sehingga menggoncang keimanan para solehin yang terdahulu.

Dan hari ini kita melihat ujian yang sangat besar sedang melanda seluruh dunia dengan tersebarnya pandemik Covid 19. Ia bukan sahaja melumpuhkan ekonomi negara bahkan sehingga hari ini dilaporkan 1.2 juta manusia telah dijangkiti dan telah menyebabkan kematian seramai 64,753 daripadanya. Kematian tidak hanya terkena pada golongan berusia malah pesakit yang muda tanpa latar belakang apa-apa penyakit turut terkorban dek kerana serangan Covid 19.

Maka marilah sama-sama kita berdoa dan terus menerus mengharapkan pertolongan Allah dengan sentiasa memperbanyakkan taubat serta muroqabah kepadaNya. Mengambil semangat dari bulan sya’ban ini dan bulan Ramadhan yang semakin menghampiri, semoga Allah menjauhkan kita serta seluruh ahli keluarga dan sahabat-sahabat lain dari ditimpa penyakit ini,dan semoga musibah ini akan segera berakhir yang menjadi sebab ketakutan kepada semua manusia.

Teruskanlah berdoa,kerana ia adalah satu manifestasi perhambaan kita kepada Allah dan menolak jauh dari sifat takabbur dan sombong.Kerana kita adalah hamba yang lemah dan sentiasa berharap kepadaNya,sedangkan golongan yang takabbur dan sombong itu tidak akan menghidu bau syurga.

Ustazah Nafisah binti Abdul Rahim
Ahli MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 219 access attempts in the last 7 days.