Penterjemahan Kutub Sittah : Satu sudut pandangan

Saya ada baca beberapa komentar oleh beberapa asatizah yang memberikan pandangan-pandangan mereka dalam isu Penterjemahan Kutub Sittah yang dijadikan projek oleh YB Menteri Agama Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri.

Berikut adalah pandangan saya :

1. Secara umumnya, hadis-hadis Rasulullah SAW yang dihimpunkan merupakan suatu khazanah ilmu yang cukup luas dan juga merupakan salah satu mukjizat yang tersendiri yang telah dibumikan oleh para ulamak silam terdahulu bermula daripada zaman para Sahabat RA dan Tabien RA hinggalah ke zaman kini.

2. Usaha-usaha yang dilakukan oleh mereka bagi menyampaikan segala yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya, selepasnya.

3. Saya kira ia sebagai mukjizat kerana ia telah merealisasikan kekalnya nas-nas hadis yang merupakan salah satu sumber utama Islam, yang menjadi faktor utama kekalnya Islam hingga akhir zaman.

Ia juga kerana tingginya nilai fungsi hadis kerana ia menjelaskan makna Al-Quran, dan menjadi sumber utama setelah Al-Quran dalam hukum.

Imam Syafie RHM menyatakan bahawa setiap yang Rasulullah SAW hukumkan adalah berdasarkan apa yang difahami oleh baginda terhadap Al-Quran. Jadi segala hadis-hadis Rasulullah SAW berperanan untuk memahamkan umat ini kepada isi kandungan Al-Quran itu sendiri.

4. Di dalam menanggapi isu hadis, kefahaman terhadap hadis perlu diteliti, agar ia tidak menjerumuskan orang awam dalam perihal mengeluarkan hukum.

Perkara yang sedemikian kerana mengeluarkan hukum daripada hadis memerlukan satu proses ilmiyah yang ada disiplinnya tersendiri.

Seseorang itu tidak boleh mengeluarkan sesuatu hukum daripada nas-nas Al-Quran dan hadis melainkan dengan syarat-syarat berikut :

i. Sahih sandarannya kepada Nabi SAW
ii. Jelas dalalahnya
iii. Tidak bertentangan dengan nas yang lebih kuat daripadanya
iv. Tidak dimansuhkan oleh nas yang lain
v. Tidak dikira dalam peristiwa khusus yang melibatkan peribadi tertentu atau keadaan tertentu (dalam usul fiqh disebut waq’iatu ‘ain atau waqi’atu hal)

5. Apabila kita teliti syarat-syarat itu, kita akan fahami bahawa mengeluarkan hukum sangat tinggi nilai ilmunya, yang tidak akan mampu dikeluarkan melainkan mereka yang mampu melihat keseluruhan nas, dan memahami setiap nas itu dari sudut taraf kesahihannya, kejelasan dalalahnya, tahap kekuatannya, dan adakah ia masih boleh dipakai atau sudah dimansuhkan, serta adakah ia terkait dengan keadaan tertentu sahaja (hingga tidak boleh dikiaskan kepada keadaan lain) dan seumpamanya.

Kesimpulan yang boleh kita ambil, hanya orang yang bertahap mufti, atau mujtahid sahaja yang mampu ‘bertaamul’ dengan nas secara ‘direct’ dalam mengeluarkan hukum.

6. Perkara ini mampu kita fahami apabila kita melihat kebanyakan kitab-kitab fiqh terdahulu tidak menyebut nas-nas Al-Quran dan hadis, secara detail, kerana mereka tahu penulisan fiqh adalah untuk orang awam, bukan untuk para mujtahidin. Orang awam tidak perlu menghafal dalil kerana mereka bertaklid, dalil mereka adalah para mujtahidin dan ulamak.

Apabila mereka tidak meletakkan dalil dalam kitab fiqh, itu bukan bermakna tidak ada dalil, tetapi ia bagi memudahkan pembaca, dan mengelakkan pembaca untuk ‘mengkaji semula’ dalil yang digunapakai oleh para mujtahidin sebelum itu, sekaligus membazir masa, kalaulah bukan tersesat sendiri akibat tiada ilmu yang memandu mereka dalam kefahaman dalil.

7. Namun fenomena itu tidaklah pula menghalang orang awam daripada melihat dalil-dalil yang digunapakai oleh para ulamak, bagi mereka mempelajari bagaimana ulamak berfikir dan mengeluarkan pandangan.

8. Dengan demikianlah ilmu Usul Fiqh diwujudkan, bagi menjadi bukti bahawa setiap pandangan para ulamak sebenarnya berdiri di atas satu kerangka bersepadu, terhadap nas dan roh syarak, dalam mengeluarkan satu-satu hukum.

9. Bagi saya, secara peribadi tidak ada masalah untuk mengajak masyarakat awam untuk membaca dan menelaah kutub sittah, kerana ia termasuk dalam bab meningkatkan kefahaman umat Islam terhadap agama dan sumber rujukan Islam, bahkan ia termasuk amalan terpuji.

Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita memandu agar umat ini tidak tersalah langkah dalam mempelajari ilmu Islam, agar tidak bermudah-mudah dalam mengeluarkan hukum atas alasan itulah yang datang daripada Rasulullah SAW hingga mentohmah para ulamak sebelum ini, apatah lagi para imam-imam mazhab.

10. Saya dengan ini mencadangkan agar satu Mukaddimah dilakukan bagi projek penterjemahan Kutub Sittah ini, dalam menanggapi fenomena kesalahfahaman yang berlaku terhadap hadis-hadis Nabi SAW dan perkaitannya dengan hukum-hakam fiqh, agar masyarakat jelas di mana mereka berpijak, dan medan apa yang sepatutnya mereka ceburi.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 296 access attempts in the last 7 days.