Penganjuran Tik Tok Challenge oleh KPT bertentangan dengan saranan agama

Saya melihat penganjuran itu sebagai satu perkara yang bercanggah dengan agama kerana beberapa perkara berikut :

1. Dalil syarak yang jelas melarang agar wanita tidak mempamerkan tubuh badan dengan keadaan yang menimbulkan fitnah.

2. Promosi budaya Tik Tok adalah termasuk budaya jahiliyah kerana ia menormalisasikan perkara tari menari yang mencemarkan uruf masyarakat setempat yang terbina atas dasar kesopanan dan ketimuran. Peningkatan peratusan kunjungan ke laman web lucah sudah pun menjadi petunjuk bahawa umat kita sedang lesu jiwanya, penganjuran pertandingan ini hanya merancakkan lagi norma negatif itu.

3. Penganjurannya bertentangan dengan keperluan semasa. Di waktu kita dilanda bencana wabak, sepatutnya kita diminta untuk memuhasabah perjalanan hidup, mendekatkan diri kepada Allah dan melakukan perkara positif bagi meningkatkan keupayaan diri. Adapun penganjuran ini sangat bertentangan dengan perkara tersebut kerana ia bukan sekadar sia-sia, bahkan menjemput bala dan pula tidak bersimpati dengan golongan frontliner yang bersusah payah berperang di medan.

4. Mencemari iffah yakni kehormatan kepada para wanita, dan menghilangkan haibah kejantanan para lelaki. Penganjuran pertandingan ini hakikatnya bertentangan dengan maqasid syariah menjaga kehormatan kerana ia mencemarkan kehormatan para wanita dengan rakaman tarian yang tersebar di laman internet dan seumpamanya. Ia juga mencemarkan identiti kelelakian seorang lelaki kerana tarian demikian hanya akan menjatuhkan maruah mereka yang tidak sepatutnya dilihat demikian.

Demikianlah beberapa sebab utama kenapa saya menentang penganjuran ini.

Moga pihak berwajib lebih berwaspada dalam menganjurkan satu-satu perkara, agar ia menepati syariah, keadaan semasa dan norma serta identiti masyarakat yang berteraskan Islam dan melayu.

Wallahua’lam

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 219 access attempts in the last 7 days.