MUIS sokong tindakan kerajaan dalam penarikan pengecualian beroperasi kepada kilang arak

Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyokong tindakan kerajaan dalam menarik kembali kebenaran pengecualian operasi yang diberikan kepada kilang arak (Heineken) yang dinyatakan dalam satu surat yang tular pada tempoh hari.

MUIS melihat situasi hari ini menuntut untuk semua pihak memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Kebenaran dalam pengecualian untuk beroperasi yang diberikan oleh pihak kerajaan khusus untuk perkara-perkara yang penting dan perlu sahaja, termasuk dalamnya industri yang terkait dengan makanan dan minuman. Adapun kilang arak dan seumpamanya, tidak termasuk dalam keperluan harian, di samping ia sudah jelas dan terang membawa kepada kerosakan masyarakat.

MUIS ingin menyarankan agar pihak kerajaan lebih berhemat dalam membuat keputusan agar maslahat umum dipelihara, bukan satu-satu pihak sahaja. MUIS juga ingin menyarankan setiap masyarakat agar menyedari apa yang berlaku pada hari ini sebagai satu petunjuk daripada Allah SWT untuk kita memuhasabah kembali perjalanan hidup kita selama ini.

Kita sepatutnya sedar bahawa cukup banyak perkara-perkara kerosakan yang telah berlaku selama ini, sepatutnya kita perlu lebih agresif dalam memuhasabah dan bertindak dalam menyah-kan perkara-perkara yang boleh merosakkan masyarakat ini, terutama arak, judi dan seumpamanya.

Moga Allah SWT menyelamatkan kita daripada bencana pandemik ini.

Sahibus Samahah Dato’ Hj Zamri bin Hashim
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 252 access attempts in the last 7 days.