Berpuasalah sebagaimana mahu diampunkan dosa

Sebanyak mana dosa yang kau lakukan, setinggi itulah keimanan dan pengharapan yang diperlukan bagi menghapuskannya.

Setiap yang wujud dalam kejadian alam ini punyai sifir timbangan dan perkadaran yang tepat dan seimbang. Ia adalah salah satu sunnah kewujudan.

Begitulah juga dalam segala tuntutan syarak dan wahyu. Setiap yang wujud mempunyai satu neraca timbangan dan mizan yang bersesuaian, agar kesemuanya berjalan dengan penuh kelancaran dan keindahan.

Sepertimana ketetapan alam perlu berjalan dengan stabil, seimbang dan tidak terpecah-pecah, begitulah juga ketetapan syariah, ia juga perlu difahami dalam kerangka keseimbangan, kestabilan, dan tidak terpecah-pecah.

Jadi, jika kita gunakan kaedah ini di dalam kefahaman hadis : “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan secara penuh keimanan dan pengharapan pahala, maka dihapuskanlah segala dosanya yang telah lalu.”

Ia bukan satu kefahaman magikal yang mana kita tidak mampu mencerna erti keimanan dan pengharapan pahala itu. Kegagalan kita mencerna hadis itu dengan kerangka ‘mizan’ tadi akan menjadikan kita menganggap ibadah berpuasa ini hanyalah seperti ibadah yang lain, hanya perlu cukup syarat berpuasa, dan ikhlaskan niat serta banyak berdoa.

Bagi saya ia bukan begitu. Sesungguhnya setiap kalimah yang dituturkan syarak pasti ada sebab yang boleh dicerna untuk dibina padanya satu kerangka kefahaman yang sejahtera, seimbang dan penuh taakul.

Kefahaman hadis itu perlu dilihat dalam rangka bahawa : Penghapusan dosa menuntut puasa dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala.

Yakni, ia adalah nisbah yang sama, timbangan yang sama, agar dosa itu mampu dihapuskan.

Pencernaan makna itu akan membawa kita kepada satu kesimpulan yang berbeza dengan kefahaman yang ‘ringkas’ dan ‘mudah’ yang difahami secara terpecah-pecah pada awalnya.

Ia membawa kepada satu jenis dan bentuk ibadah puasa yang dilakukan oleh orang-orang yang berdosa, yang benar-benar mengharapkan agar dosa-dosanya yang telah lalu dihapuskan.

Kita boleh ibaratkan sebagai seorang penjenayah yang sedang menebus jenayahnya. Setiap jenayah dia perlu melalui satu ‘ujian’ atau ‘penebusan’ agar dia berjaya untuk keluar daripada ‘penjara’. Bayangkan sebagai seorang penjenayah yang telah lakukan satu jenayah yang besar, lalu dia diberikan ‘peluang’ untuk lakukan satu ‘misi’ bagi menebus kesalahannya, lalu dia boleh keluar bertemu dengan keluarganya dan orang yang tersayang.

Apa yang penjenayah itu akan lakukan ?

Ya, dia akan buat bersungguh-sungguh, dengan gaya dan keseriusan yang bersungguh-sungguh, kerana dia tahu, itulah harga bagi sebuah kebebasan.

Sekarang, mari kita letakkan diri kita dalam kandang penjenayah itu.

Apa yang akan kita lakukan ?

Sudahkah kita menyedari, betapa besarnya harga sebuah penghapusan dosa itu ?

Ataupun kita masih lagi … bersahaja dan berpada dengan semata-mata ‘Sahaja aku berpuasa’ ?

“Katakanlah (Wahai Muhammad) adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui ? Sesungguhnya yang mengambil peringatan hanyalah orang-orang yang berakal” – Surah Fatir, ayat 9

Wallahua’lam.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 253 access attempts in the last 7 days.