Wanita, Kuatkan Emosimu dengan Solat !

Allah telah menciptakan wanita dengan kekuatan emosi yang istimewa.  Seperti contoh, kemampuan wanita menghadapi sakit bersalin, kepenatan menyusu, membantu suami mengukuhkan ekonomi keluarga, menggalas tugas mendidik anak-anak dan mengurus rumah tangga. Wanita menjadi sumber ketenangan dalam sesebuah keluarga. Untuk menjadi sumber ketenangan itu, para wanita perlu mempersiapkan diri dengan emosi yang kuat.

Menurut Islam, wanita yang kuat emosi adalah wanita yang mampu mendidik hawa nafsu sehingga mampu menjadi wanita solehah hiasan dunia seterusnya mampu menjadi tunjang kekuatan suami sepertimana yang disebutkan oleh hadis dibawah:

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” [Riwayat Muslim (715)]

Apabila Rasulullah SAW berada dalam keadaan takut yang bersangatan usai menerima wahyu yang pertama, Khadijah Umm al-Mu’minin R.A menenangkan baginda dengan katanya:

Maksudnya: “Sama sekali tidak demi Allah, Dia tidak akan menghinakan kamu. Sesungguhnya kamu adalah orang yang menghubungkan silaturahim, menanggung bebanan orang miskin, membantu orang yang kesusahan, menyambut dan memuliakan tetamu, serta membantu orang yang berhak.” [Riwayat al-Bukhari (3)]

Hikmah setiap tuntutan dan ujian yang Allah beri kepada wanita adalah suatu motivasi dan dorongan dalam mendidik hawa nafsu. Nafsu perlulah dididik hingga mampu menjadi nafsu mutmainnah iaitu nafsu yang membuat pemiliknya tenang dalam ketaatan. Manusia yang mendapatkan nafsu ini akan mendapat redha Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dunia dan akhirat.

“Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Robbmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam surga-Ku.” (QS. Al-Fajr: 27-30).

Orang yang memiliki nafsu mutmainnah lebih mampu untuk mengawal nafsu syahwatnya dengan baik sehingga mampu memberikan manfaat bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada orang lain juga. Mereka sentiasa ridha dengan ketetapan dan ujian Allah. Wanita yang mempu menguasai emosinya akan menjaga dirinya dari menjadi hamba nafsu ammarah.

 “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan ), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (QS. Yusuf : 53).

Contoh wanita yang kuat emosi pada zaman rasulullah

Pada zaman Rasulullah SAW, wanita memiliki sumbangan yang besar dalam aspek kebudayaan dan peradaban sama dengan lelaki, ikut serta dalam medan pertempuran, mengubati luka mujahid, mendermakan harta dan perhiasan mereka untuk membantu pasukan perang. Terdapat ramai nama sahabat wanita yang tercatat oleh sejarah pernah mendapatkan pengajaran daripada Nabi SAW.

Di antara mereka ialah Aisyah, Ummu al-Mukminin R.A. Beliau merupakan wanita pada masa awal Islam yang paling menonjol keilmuannya, paling bagus pemahamannya terhadap agama dan paling baik pendapatnya; terbukti dia menjadi tempat bertanya seluruh sahabat tentang pelbagai persoalan. Bahkan, Aisyah juga sering menemukan kesalahan-kesalahan dalam hafalan hadis beberapa orang sahabat atau hafalan-hafalan yang maknanya bertentangan dengan ayat al-Quran.

Manakala wanita lain yang juga terkenal memiliki kedalaman ilmu adalah Nusaibah binti Ka’ab. Dia lebih dikenali sebagai Ummu Athiyah al-Ansariyyah dan termasuk salah seorang ahli feqah daripada kalangan sahabat wanita. Hadis-hadis yang diriwayatkannya banyak disebutkan dalam kutub al-sittah (enam kitab hadis utama).

Model wanita pada zaman Rasulullah SAW dapat dijadikan ikutan sukarelawan wanita masa kini. kesempurnaan akhlak dan kebaikan sifat-sifat mereka haruslah diteladani. Seperti contoh, Aishah R.a dalam keadaan berpuasa, beliau pernah membahagikan dan membelanjakan harta kepada orang lain. Sikap Aishah secara sukarela dalam membelanjakan harta sebagai tanda ketaatan kepada Allah (Ihsan Muhammad Ali 2008: 127)

Mereka bergiat tanpa mengabaikan perintah dan larangan dan menjadikan ajaran dari Rasulullah SAW sebagai tatacara kehidupan. Sehingga ke zaman khulafa’ tradisi wanita Islam telah memberi sinar dan inspirasi kepada perkembangan peradaban dan tamadun ummah. Kita juga mampu mengikuti jejak langkah para sahabiat, kuatkan semangat dan gali potensi diri. Sentiasa berpegang teguh dengan suruhan Allah dan tinggalkan larangannya. ( Jurnal al-Hikmah 4 (2012).

Firman Allah dalam surah an-Nur, 24:31:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan dadanya dengan khumur

Khumur, adalah jamak bagi khimar, bererti kain yang dipakai di atas kepala wanita. Sebelum turun ayat 31 surah an-Nur di atas, masyarakt jahiliyyah memakai khimar tetapi melabuhkannya ke belakang sehingga menampak aurat dan perhiasan wanita di bahagian hadapan.  Apabila turun ayat 31 surah an-Nur, Allah  perintahkan wanita yang beriman untuk melabuhkan khimar mereka ke hadapan sehingga menutupi perhiasan mereka, yakni aurat mereka.

Islam tidak melarang bahkan menganjurkan para wanita melakukan khidmat sosial dengan menjaga adab dan batas yang telah digariskan syarak.

Emosi kuat datang dari solat yang khusyuk

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”

(QS. al-Mu’minun: 1-2)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya mereka telah mendapatkan kemenangan, kebahagiaan, serta memperoleh keberuntungan. Mereka itulah orang-orang Mukmin yang bersifat dengan sifat-sifat ini: Orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.

khusyuk terbahagi kepada dua iaitu:

Pertama: Khusyuk hati iaitu kehadiran hati seseorang yang sedang menunaikan solat secara fokus menghadap Allah SWT sehingga merasa dekat dengan-Nya dan tenang hatinya serta penuh penghayatan dengan menghayati seluruh apa yang diucapkan dan lakukan dalam solatnya, dari awal hingga selesai solatnya. Kekhusyukan hati inilah yang melahirkan kekhusyukan badan, kerana ia adalah asas kekhusyukan.

Kedua: Khusyuk badan iaitu ketenangan gerakan dalam solat, beradab dan tidak tergesa-gesa dalam mengucapkan zikir dan doa.

Khusyuk anggota badan tidak dapat hadir tanpa khusyuknya hati. Sa’id bin Musayyib rahimahullah pernah melihat seseorang yang berbuat perkara sia-sia dalam solatnya, lalu beliau berkata:

 “Kalau seandainya hati orang ini khusyuk, tentulah akan khusyuk anggota tubuhnya.”

Hikmah khusyuk dalam solat.

1. Apabila kita berzikir iaitu ingatan kepada Allah, menjadikan hati tenang, emosi stabil sehingga mampu memikul tugasan harian dengan cekal dan sabar.

2. Menepati masa. Solat yang paling afdhal adalah solat pada awal waktu. Manakala orang yang khusyuk sentiasa membuat persediaan dalam melaksanakan solat. Apabila diri sudah sentiasa dilatih dengan menjaga masa dan sentiasa membuat persediaan dalam pekerjaannya, akan melahirkan wanita yang lebih produktif.

3. Perbezaan solat wanita dengan solat lelaki dari sudut pergerakan dan fizikal adalah simbolik kepada perempuan ada peranannya begitu juga dengan lelaki. Menurut mazhab Syafie, pergerakan wanita lebih rapat, berbeza dengan lelaki yang perlu diregangkan sedikit.

Ini menunjukkan wenunjukkan wanita harus berhati-hati, ada sifat malu dan maruah yang perlu dijaga. Bukan kerana syarak ingin merendahkan darjat wanita, tetapi untuk meninggikan dan memuliakan darjat wanita itu sendiri sesuai dengan fitrahnya.

Seruan kepada semua wanita, kemuliaan darjat wanita yang diangkat oleh Islam itu perlulah kita hargai dan lihatlah dengan penuh hikmah. Ketahuilah bahawa emosi seorang wanita yang sering dilihat sebagai kelemahannya sebenarnya adalah satu kekuatan. Allah lebih mengetahui dalam penciptaan-Nya dan Allah Maha Adil lagi Maha Penyayang. Justeru, carilah kekuatan dalam dirimu dan emosimu dengan melaksanakan solat.

Selamat Hari Wanita.

Ustazah Nasyitah Farhanah Johari Faisal
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 368 access attempts in the last 7 days.