Ucapan MUIS kepada kerajaan baru

Pihak MUIS merakamkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin bin Yasin atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-8, sekaligus menamatkan konflik politik dalam negara yang berlaku sejak seminggu lalu.

MUIS melihat apa yang dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong (YDPA) dalam menyelesaikan konflik politik tanah air merupakan satu tindakan yang tepat dalam menamatkan drama politik yang tidak berkesudahan yang hanya merugikan umat Islam dan rakyat Malaysia serta negara secara keseluruhan.

Pihak MUIS ingin mengingatkan bahawa jawatan yang dipegang adalah merupakan satu amanah daripada Allah SWT yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kemudian. Jawatan yang diberi bukanlah pula anugerah atau milikan peribadi yang membolehkan seseorang itu memperlakukan apa sahaja yang disukainya tetapi ia merupakan satu tugasan berat yang mewakili rakyat bagi menguruskan pentadbiran negara.

MUIS ingin mencadangkan agar dalam tempoh pentadbiran Perdana Menteri ke-8 ini, badan dan institusi ulamak dapat menjadi rujukan utama bagi pentadbiran negara, sekaligus mengangkat martabat para ulamak tanah air dalam mengemudi bahtera negara ke hadapan.

Semoga pentadbiran Perdana Menteri ke-8 ini sentiasa mendapat petunjuk dan taufiq daripada Allah SWT bagi memenuhi aspirasi perlembagaan dan konsep kenegaran Malaysia yang berteraskan agama Islam, institusi raja dan orang Melayu, sepertimana yang diwarisi turun temurun.

Sahibus Samahah Dato’ Hj Zamri bin Hashim
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 494 access attempts in the last 7 days.