Musibah yang lagi besar di sebalik COVID-19

1. Ada sebahagian ulama memasukkan sifat الأمن من مكر الله berasa aman dan selamat dari bencana Allah SWT salah suatu dosa besar. Yakni seolah-olahnya bencana Allah takkan terkena kepada dirinya. Sifat ini dikategorikan sebagai dosa besar oleh sebahagian ulama kerana Allaj telah menkategorikan mereka ini dalam kalangan yang rugi. Walaupun mereka mungkin terselamat dari azab di dunia, tetapi hakikat di akhirat mereka termasuk dalam orang yang rugi. Ianya hanya dengan sebab perasaan selamat itu membuktikan jauhnya hati seseorang itu daripada hakikat iman yang sentiasa adanya Khauf (takut) dan Raja’ (mengharap). Allah SWT berfirman:

أَفَأَمِنُوا۟ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا یَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَـٰسِرُونَ

Ertinya:
Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.
Al-A’raf, 99

2. Orang yang berasa aman daripada azab Allah dan tidak bertaubat, memohon keampunan dari Allah dan dijauhkan dari musibah tersebut merupakan orang yang hatinya keras. Seolah-olah amalannya telah baik dan terselamat dari azab.
Allah SWT berfirman:

فَلَوۡلَاۤ إِذۡ جَاۤءَهُم بَأۡسُنَا تَضَرَّعُوا۟ وَلَـٰكِن قَسَتۡ قُلُوبُهُمۡ وَزَیَّنَ لَهُمُ ٱلشَّیۡطَـٰنُ مَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ

Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.
Al-Anaam 43.

3. Tersebar berita baru-baru ini ada golongan yang enggan mengambil langkah-langkah keselamatan untuk diperiksa supaya dipastikan menghindari diri dari terkena Musibah ini dan juga orang sekeliling mereka daripada penyakit ini merebak. Seolah-olahnya apabila mereka telah berbuat baik Allah automatik mereka akan terhindar dari penyakit ini. Musibah tidak menimpa mereka dan mereka telah terselamat dari azab ini.

4. Allah SWT sentiasa menjaga hambanya yang Soleh, itu sama sekali tidak boleh dinafikan. Pun begitu sama sekali orang beriman sifatnya tidak boleh merasa aman dari azab Allah SWT. Dan Allah SWT telah memberitahu dalam al-Quran bahawasanya jika azabnya turun semua akan terkena bukan hanya orang yang zalim.

وَٱتَّقُوا۟ فِتۡنَةࣰ لَّا تُصِیبَنَّ ٱلَّذِینَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمۡ خَاۤصَّةࣰۖ وَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya. (25)
Al-Anfal 25.

5. Oleh itu, musibah yang lagi besar berbanding penyakit ini ialah, kita berasa aman dari azab Allah SWT yang membawa kita jauh melayang daripada hakikat Iman yang sebenar.

Marilah sama-sama kita berendah diri dan bertaubat kepada Allah SWT dan memohon Allah SWT jauhkan kita daripada musibah ini.

Ya Allah hanya padamu kami mohon pertolongan

Dr Muhammad Ikram Abu Hassan
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 362 access attempts in the last 7 days.