Kenyataan MUIS dalam isu Covid-19

Pihak Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengikuti rapat perkembangan isu penularan virus Covid-19. Setakat semalam, sebanyak 428 kes yang telah disahkan positif secara kumulatif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

MUIS menyarankan agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati, selaras dengan pekeliling semasa yang diturunkan daripada badan yang berautoriti seperti KKM dan seumpamanya.

Setiap lapisan masyarakat perlu mengambil kira pertimbangan yang wajar di antara menjaga kesihatan (menolak kemudaratan penularan virus) atau perkara selainnya yang lebih kurang penting dari itu, ia selaras dengan kaedah syarak yang menetapkan bahawa ‘menolak mafsadah (kerosakan) lebih utama daripada mendatangkan maslahat’.

Kami berpandangan bahawa setiap rakyat wajib mengikuti pekeliling yang diturunkan, selaras dengan apa yang ditetapkan dalam kaedah syarak bahawa ‘pandangan pemimpin mesti digunapakai dalam perkara-perkara maslahah mursalah’.

Dalam isu penularan khabar-khabar angin yang menambahkan kerisauan dan keresahan masyarakat, MUIS menasihatkan agar setiap rakyat menyelidik terdahulu sesuatu berita dan sekiranya benar, serahkan maklumat itu kepada pihak yang bertanggungjawab. Ini kerana apabila sesuatu maklumat itu sampai kepada pihak yang tidak sepatutnya, kekacauan akan berlaku dan masalah yang lebih besar akan timbul.

Kami juga menyeru pihak kerajaan, para majikan, dan mana-mana yang mempunyai autoriti dalam perkara ini membuat langkah yang segera bagi membendung penularan virus ini, serta membuat pertimbangan yang menyeluruh dalam apa jua bentuk polisi yang sesuai dengan keselamatan dan kebajikan penjawat awam, pekerja dan masyarakat secara keseluruhannya.

MUIS melihat virus ini sebagai satu bentuk ujian daripada Allah SWT kepada rakyat Malaysia, dan mengharapkan agar semua lapisan masyarakat mengambil kesempatan ini untuk kembali kepada Allah SWT dan sentiasa mengharapkan pahala dalam mengharungi ujian virus Covid-19 ini.

Semoga kita diberikan taufiq dan hidayah daripada Allah SWT dalam mengharungi ujian ini.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 368 access attempts in the last 7 days.