Jauhi perbuatan menyebar berita palsu

Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak berita – berita yang belum dipastikan kesahihannya telah ditularkan oleh masyarakat melalui pelbagai saluran media massa dan elektronik. Contohnya seperti “facebook”, “Instagram”, “whatsapp”, “telegram” dan pelbagai lagi.

Hanya semudah menaip kata kuncinya pada enjin carian internet, segala maklumat yang kita mahukan akan diketahui dalam beberapa minit sahaja. Namun, yang menjadi persoalannya, adakah semua maklumat yang dipaparkan itu sudah disahihkan kebenarannya? Apakah mekanisma yang digunakan untuk menapis kesahihannya? Dan siapakah yang berautoriti untuk memastikan berita itu sahih atau tidak?

Perintah Allah SWT telahpun diperturunkan sejak lebih 1400 tahun yang dahulu melalui firman-NYA :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” (Surah al – hujuraat: 6)

Allah S.W.T menjelaskan kepada kita supaya menyelidik sesuatu berita yang sampai kepada kita agar kita tidak tersalah menyebarkan sesuatu berita yang belum pasti kesahihannya.

Dr. Wahbah al-Zuhaili juga ada mentafsirkan ayat di atas di dalam “At-Tafsir Al-Munir”, beliau menerangkan bahawa  Allah SWT menyeru kepada umatnya yang beriman, apabila datang orang fasik menyampaikan berita sebaiknya mencari kebenaran berkenaan dengan berita itu dan janganlah terlalu cepat menghukumnya dan menyebarnya. Ini kerana takut akan keburukan dan perkara yang tidak diingini berlaku di atas keputusan yang salah serta memberi kemudharatan ke atas orang lain.

Antara kesan buruk akibat daripada penyebaran berita yang belum pasti kesahihannya adalah:

  1. Hubungan diantara sesama manusia akan rosak
  2. Wujudnya prasangka dan curiga diantara manusia
  3. Mudahnya timbul rasa ingin mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain
  4. Membuka ruang dan peluang untuk mengumpat, mengeji dan mengata

Oleh itu, sebagai individu yang beragama Islam, sangat penting untuk kita menjaga adab – adab ketika menyampaikan sesuatu berita. Antara yang boleh kita amalkan, adalah :

  1. Sentiasa perbetulkan niat
  2. Rujuk kepada individu yang berautoriti tentang sumber berita dan maklumat tersebut
  3. Jika ingin disebarkan, berhenti sejenak, fikirkan semula tujuan kita untuk menyebarkan berita tersebut agar tidak sampaikan mengaibkan orang lain
  4. Lazimi istighfar, agar apa yang kita sebarkan dijauhkan dari tujuan yang buruk.

Konklusinya, terlalu banyak kebinasaan akan terjadi disebabkan sikap terburu-buru kita dalam menyebarkan sesuatu berita yang belum pasti kasahihannya. Sudah tentu kita berasa jijik meratah daging saudara kita yang sudah matikan? Tetapi, itulah perumpaan yang Allah telah berikan kepada manusia yang suka mencari aib orang lain, mengumpat, mengeji dan mengata. Akhir kata, “TAK PASTI, JANGAN KONGSI”.

Ustazah Nuraini Nabilah binti Adrizal
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 551 access attempts in the last 7 days.