Doa dan ibadat yang akan menyelamatkan kita

Allah SWT berfirman:

قُلۡ مَا یَعۡبَؤُا۟ بِكُمۡ رَبِّی لَوۡلَا دُعَاۤؤُكُمۡۖ فَقَدۡ كَذَّبۡتُمۡ فَسَوۡفَ یَكُونُ لِزَامَۢا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu” – Surah Al-Furqan, ayat 77

1. Allah SWT dalam akhir Surah al-Furqan iaitu surah pemisah antara haq dan batil, memberi tahu kepada kita, di penghujung surah ini bahawasanya keselamatan kita di dunia dan akhirat terletak kepada doa dan ibadat kita. Seolah-olahnya itulah pemisahnya antara haq dan batil. Orang yang menyembah Allah dan orang yang kufur denganNya yang Esa.

2. Kata ulama tafsir, Allah menggunakan perkataan يعبؤ tidak menghargai bagi menunjukkan Allah tidak memerlukan kepada kita atau ibadat kita sama sekali. Yang perlu adalah kita untuk memohon dan meminta hanya kepadanya segalanya. Keberjayaan manusia itu apabila dia menyembah Tuhannya.

3. Dengan inilah dianggap doa sebagai مخ otak/intipati kepada keseluruhan ibadat. Kerana doa menunjukkan kelestarian ibadat seorang hamba. Ibadat Solat الصلاة dari segi bahasanya adalah ‘doa’ juga. Allah SWT memilih perkataan solat bagi ibadat utama dalam Islam yang bermula dengan ‘takbiratul ihram’ dan diakhiri dengan ‘salam’ bagi menunjukkan solat itu sendiri antara tanda perhambaan seorang hamba kepada Tuhannya.

4. Dalam situasi hari ini, marilah sama-sama kita berserah kepada Allah SWT dan berdoa bersungguh-sungguh kepadanya agar diberi kesejahteraan dan keselamatan. Semoga dengan doa kita Allah SWT ampun dosa-dosa kita dan mengangkat wabak ini daripada terus merebak.

Wallahuallam.

Dr Muhammad Ikram Abu Hassan
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 219 access attempts in the last 7 days.