Covid-19 dan doa mustajab orang soleh

Keadaan wabak COVID 19 yang meruncing di Malaysia ini mengingatkan saya tentang sebuah kisah yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dalam kitab Sifat As-Sofwah dan Imam Az-Zahabi dalam kitab Siyar A’lam An-Nubala’.

Kisah ini diriwayatkan oleh seorang tabien, Imam Muhammad Bin Al-Munkadir rhm mengenai seorang tukang kasut yang doanya mustajab. 
Pada suatu malam di Masjid Nabawi, Imam Muhammad hadir untuk menunaikan solat.  

Setelah selesai qiamullail, beliau berehat di salah sebuah tiang yang ada dalam Masjid Nabawi. Ketika itu datang seorang lelaki faqir (berdasarkan pakaiannya, beliau menunaikan solat,dan kemudian berdoa kepada Allah SWT:
“Ya Allah, orang-orang Madinah telah berada dalam keadaan kemarau..dan mereka telah berdoa meminta hujan kepadaMu.Ya Allah, aku bersumpah kepadaMu, aku tidak akan meletakkan tanganku hinggalah hujan turun di kota Madinah ini…”

Apabila Syeikh Muhammad mendengar doa ini, beliau terkejut dan menyangka bahawa lelaki faqir ini gila kerana doanya yang seakan-akan mengugut Allah untuk menurunkan hujan. Namun apa yang berlaku adalah, belum sempat lelaki tersebut menurunkan tangannya, guruh telah berbunyi di langit, dan hujan turun membasahi bumi Madinah yang kering kontang.

Lelaki tersebut menangis, lalu berkata:“Ya Allah ini bukan daripada diriku tetapi adalah kurniaanMu jua. Siapalah aku, dan apalah aku ini dalam keadaan Engkau memakbulkan permintaanku. Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan pujian dan ketinggianMu. Ya Allah, kurniaan ini adalah daripada pemberianMu, bukan daripada usahaku, sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Mulia lagi Maha Pemurah..”

Imam Muhammad takjub dengan lelaki ini. Lelaki tersebut meneruskan ibadahnya hingga masuk waktu Subuh. Selepas solat Subuh, Imam Muhammad ingin mengekorinya, namun dia telah hilang daripada pandangan matanya. 

Pada malam keesokan harinya, Imam Muhammad menyandarkan dirinya seperti biasa di sebuah tiang dalam Masjid Nabawi sambil menunggu kehadiran lelaki tersebut. Lelaki itu datang dan melakukan ibadah seperti malam semalam., hingga tiba azan Subuh. Selepas selesai solat Subuh, Imam Muhammad mengekori lelaki tersebut secara senyap untuk mengetahui tempat tinggalnya. Setelah tahu di mana beliau tinggal, Imam Muhammad pulang dan berhajat untuk menziarahinya apabila hari sudah pagi nanti.

Pada pagi itu, Imam Muhammad pun hadir ke rumah lelaki berkenaan. Rupa-rupanya lelaki tersebut bekerja sebagai tukang jahit kasut. Melihat kedatangan Imam Muhammad, lelaki tersebut bertanya, “Wahai syeikh, adakah engkau ingin aku menjahit khuf engkau?” Imam Muhammad membalas dengan soalan, “Adakah engkau orang yang berada di Masjid Nabawi malam semalam dan berdoa agar hujan diturunkan?” 

Mendengar jawapan itu, lelaki tersebut terus berang dan berkata; “Apa kaitan engkau dengan lelaki tersebut?” Pelbagai soalan diajukan hingga menyebabkan Imam Muhammad beredar untuk meredakan kemarahan lelaki itu. Pada malam hari sewaktu iktikaf, Imam Muhammad tidak menemui lelaki tersebut yang biasanya akan hadir untuk beribadah di Masjid Nabawi.

Pada pagi berikutnya, beliau hadir ke rumah lelaki tersebut, tetapi dia tiada. Jiran lelaki tersebut yang ada berhampiran bertanya kepada Imam Muhammad; “Apa yang engkau lakukan kepada lelaki itu? Selepas berjumpa dengan engkau, dia terus mengemas barangnya dan beredar daripada sini”. 

Kisah ini menunjukkan bahawa wujudnya individu-individu soleh yang makbul doanya, tetapi namanya tidak tercatat dalam sejarah. Kisah ini hanya dicatatkan dalam kitab sebagai kisah seorang abid yang terpilih di Madinah.

Moga-moga ada orang soleh di zaman ini, yang mampu berdoa untuk mengeluarkan kita daripada musibah ini. Disamping usaha dan kesedaran kita untuk menangkis jangkitan wabak COVID-19 ini, kita juga amat memerlukan doa-doa mustajab daripada individu-individu soleh yang mungkin tidak dikenali namanya, tetapi didengari doa dan permintaannya.

Ustaz Amar Ismat bin Mohd Nasir
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 368 access attempts in the last 7 days.