B40, M40 dan T20 hanyalah kategori material, bukan hakiki

Kita tidak ditanya dengan keadaan kita dan apa yang kita dapat. Kita hanya akan ditanya mengenai apa yang kita lakukan.

“Dia (Allah SWT) tidak ditanya mengenai perbuatan-Nya, tetapi merekalah (manusia) yang ditanya (terhadap apa yang mereka lakukan)” – Surah Al-Anbiya’

Kefakiran dan kekayaan, hanyalah pemberian dan pembahagian rezeki Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Walaupun mungkin kita boleh kata orang itu berusaha hingga dia kaya, dan orang itu tidak sekuat usaha dia hingga dia tidak sekaya mereka dan seumpamanya.

Hakikat kehidupan ini adalah susunan dan aturan Allah SWT, bagi menyeimbangkan ekosistem kewujudan. Setiap kelas manusia memerlukan kelas yang lain. Tiada siapa yang ‘lebih memiliki’ berbanding yang lain. Kesemuanya adalah setaraf jika dilihat dari sudut keseimbangan ekosistem masyarakat, dan kewujudan. Semuanya mempunyai peranan tertentu dalam menjaga keseimbangan itu.

Yang berbeza kategori di sisi Allah SWT adalah manusia dengan tingkatan ketaqwaannya di sisi Allah SWT.

Pada zaman Nabi SAW pangkat tertinggi adalah 10 orang yang dijamin Syurga, kemudian As-Sabiqun Al-Awwalun, kemudian Ahli Badar, dan demikianlah seterusnya. Mereka terdiri daripada orang kaya, orang miskin, bujang dan berkahwin dan seumpamanya.

Status sosial tidak mempunyai nilai dalam status taqwa. Ia mungkin boleh menjadi beberapa ‘qarinah’ (bukti) tertentu, tetapi ia tidak menjadi kayu ukur utama dalam meletakkan status di sisi Allah SWT.

Kita harus kembai kepada neraca ini, iaitu neraca ketaqwaan yang menjadi nilaian ketinggian manusia yang sebenar.

Apabila kita berjaya menggabungkan nilai ketaqwaan dengan neraca sosial yang kita guna sehari-harian, barulah kita mampu mencapai sinergi kemajuan, yang menyambungkan antara dunia dan akhirat.

Pada saat itu, kemajuan kita secara material adalah lambang kemajuan secara spiritual. Ketinggian status sosial adalah lambang ketinggian status ketaqwaan di sisi Tuhan. Dan segala perjalanan kehidupan dan kebahagiaan di dunia akan mencerminkan gambaran kehidupan dan kebahagiaan abadi di akhirat.

Pada ketika itu, manusia akan mempertuhankan Tuhan pada segenap wujud kehidupan, bukan semata-mata pada rukun Islam dan tikar sejadah serta hukum hakam perkahwinan.

Pada masa itu, baharulah manusia akan masuk ke syurga duniawi, sebelum menjejaki syurga ukhrawi.

“Sesungguhnya di dunia ini ada syurga, yang mana sesiapa yang tidak masuk ke dalamnya, tidak akan masuk syurga pada hari akhirat nanti” – Ibnu Taimiyah RHM

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 219 access attempts in the last 7 days.