Sisters in Islam Anjur Pesta Ronggeng?

1. Pada 15 Februari yang lalu, Sisters in Islam dikatakan telah menganjurkan Pesta Ronggeng bagi mendapatkan sumbangan penajaan kerja amal yang dijalankan oleh mereka. Pesta Ronggeng tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Tun Mahathir.

2. Pada hakikatnya tidak salah mengutip sumbangan bagi menjalankan kerja amal, namun kaedah perlaksanaannya biarlah tidak bercanggah dengan syariat Islam. Matlamat yang baik tidak menghalalkan semua cara. Sebagai contoh, kita tidak boleh mencuri dengan niat untuk memberi sedekah kepada orang miskin.

3. Majlis tarian secara terbuka, dengan percampuran lelaki dan perempuan serta lenggok tarian penari wanita jelas bercanggah dengan saranan Rasulullahﷺ. Perkara ini pernah ditanya kepada Lajnah Kajian dan Fatwa lalu mereka menjawab:

الواجب على المرأة المسلمة الاحتشام والتستر بالحجاب الكامل عن الرجال غير المحارم، والبعد عن أسباب الفتنة، ومن أعظمها رقصها أمام الرجال الأجانب، فهو محرم لا يجوز، وهو مسبب للفتنة والوقوع في الفاحشة، ومناف للحياء، فعلى المرأة المسلمة الابتعاد عن ذلك وعن غيره من أسباب الفتنة‏

“Adalah wajib bagi wanita muslimah untuk berlaku sopan dan menutup dirinya dengan hijab yang sempurna dari para lelaki yang bukan mahram. Dan wajib juga bagi mereka untuk menjauhi sebab-sebab fitnah (godaan). Dan di antara godaan yang paling besar adalah berjoget atau menari di hadapan lelaki yang bukan mahram. Perbuatan ini hukumnya haram. Ia merupakan sebab kepada fitnah dan punca terjerumusnya seseorang dalam perbuatan fahisyah (zina). Maka wajib bagi wanita muslimah untuk menjauhkan diri dari perbuatan tersebut dan dari semua perbuatan yang menyebabkan fitnah (godaan)” (Fatawa Al-Lajnah Ad-Daimah, jilid 3 no. 16638‏).

4. Rasulullahﷺ turut membimbing para sahabat agar menjaga para isteri mereka supaya tidak mendedahkan tubuh mereka sehingga menjadi tatapan para lelaki. Panduan ini disampaikan oleh Rasulullahﷺ kepada Saidina Dihyah al-Kalbi. Sabda Rasulullah:

وأمر امرأتك أن تجعل تحته ثوبا لا يصفها

“Perintahkan isterimu memakai pakaian disebalik pakaian luar supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.” (HR Abu Daud)

5. Manakala yang lelaki pula ditegah daripada menikmati goyangan tubuh wanita yang bergentayangan dihadapan mata mereka. Santapan mata tersebut dinilai sebagai zina mata oleh Rasulullahﷺ. Sabda Rasulullah:

إن اللهَ كتب على ابنِ آدمَ حظَّه من الزنا، أدرك ذلك لا محالةَ ، فزنا العينِ النظرُ

“Sesungguhnya Allah telah menentukan bagi setiap anak Adam itu (mempunyai potensi) untuk memiliki bahagian dari perbuatan zina yang pasti terjadi. Dan zina buat mata mereka adalah dengan penglihatan mereka (menikmati perkara yang haram)… (HR al-Bukhari)

6. Justeru adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap mereka yang membawa nama Islam agar mematuhi saranan serta panduan yang telah digariskan oleh Rasulullahﷺ. Penafsiran baharu pemikiran Liberal yang melihat Islam sebagai pemikiran sempit hanyalah menjauhkan masyarakat dari ajaran Islam yang sebenar. Tidak hairanlah Fatwa Selangor mengisytiharkan pemikiran Liberal sebagai sesat dan menyeleweng.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha Agung
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 368 access attempts in the last 7 days.