Memahami Hirearki Cinta dan Kasih

Seperti tahun-tahun sebelum ini, tidak berapa lama lagi pada tarikh 14 Februari seluruh dunia khususnya dunia remaja dan awal dewasa akan diwarnai dengan fenomena mengadakan sambutan “Hari Kekasih” atau disebut sebagai valentine’s day. Sambutan lebih tertumpu kepada meraikan percintaan pasangan-pasangan walaupun ada di kalangan mereka yang tiada ikatan pernikahan yang sah.

Dalam Islam berkasih sayang itu ruang lingkupnya sangat luas dan mempunyai batas-batas tertentu. Islam sememangnya dari peringkat asas lagi adalah agama yang menyebarkan kasih sayang bukan sahaja sesama manusia bahkan kasih sayang dizahirkan dengan melarang daripada melakukan kezaliman kepada alam dan binatang.

Cinta yang paling agung adalah cinta kepada Allah SWT diikuti dengan cinta kepada Rasul Nya, para sahabat, ibu bapa, sesama orang-orang beriman dan sesama manusia. Untuk menjadi seorang beriman , ia perlu pandai menyusun hirearki cintanya. Ia mesti tahu cinta mana yang perlu didahulukan dan cinta yang mana perlu diputuskan. Pemahaman seseorang terhadap hireki cinta ini sudah tentu akan membentuk jati diri seseorang dan sudah tentu akan mempengaruhi cara ia berfikir dan bertindak.

Al Quran telah memberi panduan di dalam meletakkan hireki cinta bahkan al Quran telah menggambarkan akibat apabila kita gagal meletakkan hireki cinta pada tempat sepatutnya iaitu bakal menerim azab Allah, digelar fasiq , terhindar dari petunjuk Allah. Firman Allah SWT : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).(QS al Taubah 24)

Penelitian secara mudah dari ayat di atas, kita mendapati bahawa cinta Allah adalah paling utama, RasulNya dan berusaha bersungguh-sungguh sehabis daya untuk memenangkan agama Allah SWT di atas muka bumi ini. Ayat di atas juga difahami bahawa kita tidak dihalang untuk mencintai perkara-perkara yang lazimnya dicintai oleh manusia seperti seperti anggota keluarga , sanak saudara, perniagaan dan sebagainya asalkan kecintaan kepada perkara-perkara berkenaan tidak berlawanan dengan apa yang dibenarkan oleh Allah dan rasulNya dan tidak membantut dan menghalang usaha jihad mendaulatkan agama Allah di atas muka bumi ini.

Jika disaring sambutan “Hari Kekasih “ seperti yang di sambut oleh masyarakat muda mudi hari ini, mengikut fahaman di atas maka kita dapati peluang untuk melanggar cinta Allah dan RasulNya sangat terbuka luas . Mencintai kekasih yang berlainan jantina tanpa sebarang ikatan pernikahan yang sah sehingga membawa kepada pergaulan bebas adalah sesuatu yang dibenci oleh Allah dan RasulNya.

Bulan Februari dipromosikan sebagai bulan cinta dan dijadikan tema bulanan yang seolah-olah wajib diraikan. Media memainkan peranan mempromosi sambutan ini dengan berbagai pendekatan samada secara langsung mahupun secara halus. Tidak boleh secara terang-terangan, dibuat secara lebih diplomasi seperti menu istimewa sempena hari kekasih, fesyen hari kekasih dan sebagainya.

Para pemuda pemudi dikelirukan pula dengan pujukan “ tidak mengapa menyambut hari kekasih dan menyambutnya berdua-duaan asalkan tahu menjaga diri. Bahkan ada ibu bapa yang dikatakan “berfikiran terbuka” mengizinkan sambutan berkenaan untuk hari istimewa itu. Allah SWT telah mengingatkan “ dan janganlah kamu menghampiri zina , sesungguhnya zina adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat . (QS al Isra’ 32).

Melihat kepada statistik kelahiran anak luar nikah yang direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara untuk tempoh 3 tahun bermula 2013 sangat memeranjatkan iaitu seramai 159, 725 orang.

Janganlah pula ada pihak yang menggalakkan sambutan-sambutan sebegini atas nama hak asasi manusia kerana hak asasi manusia tidak boleh bertentangan dengan hak Tuhan yang menciptakan manusia .

Ada beberapa inisiatif baru yang telah dipelopori oleh beberapa buah badan bukan kerajaan dengan menggantikan sambutan hari kekasih tanggal 14 Februari dengan Hari Hijab atau Hari Kempen Menutup Aurat. Ia adalah satu inisiatif yang baik untuk mewujudkan masyarakat yang lebih sopan dan bertatasusila.

Sahibus Samahah Dato’ Hj Zamri bin Hashim
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 253 access attempts in the last 7 days.