Majlis Ulama Palestin menziarahi MUIS

24 Feb – Majlis Ulama ISMA (MUIS) telah dikunjungi olehMajlis Ulama Palestin yang berpengkalan di Istanbul, Turki dalam lawatan mereka ke Malaysia pada kali ini. Majlis Ulama Palestin diwakili oleh Dr Nawwaf Takruri yang merupakan Pengerusi Majlis Ulama Palestin, Dr Murawweh Nassar yang merupakan Pengerusi Lajnah Baitul Maqdis, dan Dr Ahid Abu El-Atta’ yang merupakan Ketua Cawangan Majlis Ulama Palestin di Malaysia. Majlis Ulama ISMA (MUIS) diwakili oleh Dr Soberi Awang merangkap Timbalan Pengerusi, Ust Ahmad Syamil sebagai Penolong Setiausaha Agung dan Dr Ikram Abu Hasan sebagai Unit Pembangunan Tokoh dan Hal Ehwal Umat Islam.

Tujuan utama kedatangan mereka adalah untuk berkongsi pandangan dan menyampaikan pengisian berkenaan keadaan Palestin semasa dan Kempen Solidariti Menolak ‘Deal of The Century’. Majlis bermula dengan makan malam bersama dan sesi perkongsian mengenai isu-isu Palestin yang terkini.

Menurut mereka, Al-Aqsa kini dalam proses pe-yahudi-an yang sudah bermula sejak puluhan tahun lamanya. Apa yang dilakukan oleh rakyat Palestin sekarang adalah mensabitkan kewujudan umat Islam di Al-Aqsa sebagai tanah umat Islam. Walau situasi dan kawalan keselamatan sangat ketat untuk masuk ke Masjid Al-Aqsa, mereka tetap menyusun agar penduduk Palestin dari segenap daerah Palestin untuk mengimarahkan masjid Al-Aqsa bagi mengekalkan identiti dan membuktikan bahawa ia masih makmur dan dikunjungi oleh ramai umat Islam.

Syeikh Nawwaf mengatakan bahawa isu Palestin adalah isu bersama umat Islam. Setiap individu daripada umat Islam perlu menjadikan isu ini sebagai isu utama dalam kehidupan mereka. Ini kerana identiti Masjid Al-Aqsa adalah sebahagian daripada identiti agama Islam. Beliau mengatakan bahawa sepatutnya umat Islam tidak berpada menjadi penyokong dalam isu ini, sepatutnya mereka perlu menyertai dan melibatkan diri dalam agenda Al-Quds ini.

Dalam mengulas isu yang dibangkitkan oleh Duta Palestin ke Malaysia, yang mengatakan bahawa sumbangan tidak sampai ke beliau, Syeikh Dr Murawweh Nassar mengatakan bahawa Duta Palestin itu berkata benar tetapi beliau adalah seorang penipu. Ini kerana memang benar sumbangan ke Palestin tidak sampai ke tangan beliau yang merupakan orang kerajaan Palestin, tetapi ia sampai melalui NGO-NGO Palestin yang rasmi dan ia terbukti dengan segala projek-projek yang sedang berjalan hasil daripada kutipan sumbangan daripada rakyat Malaysia melalui badan-badan bukan kerajaan itu. Syeikh menjelaskan tujuan Duta itu mengatakan sedemikian semata-mata mahu mengutip sendiri derma tersebut dan tidak mahu ada pihak-pihak bukan kerajaan yang menguruskan dana ke Palestin.

Pertemuan diakhiri dengan penyampaian plak sebagai tanda penghargaan daripada Majlis Ulama ISMA, dan pemberian cenderamata daripada Majlis Ulama Palestin, berupa Watikah Perjanjian Abadi yang menyatakan janji setia seumur hidup terhadap isu Palestin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 258 access attempts in the last 7 days.