Lelaki Dalam Telekung: Kemungkaran Yang Wajib Dihapuskan (Bahagian 2)

1. Sebagai umat Islam, kita bukan sesuka hati melabel dan menghukum golongan mukhannath atau mak nyah yang telah melampaui batas dengan tuduhan laknat Allah. Bahkan kita mengharapkan mereka kembali ke pangkal jalan dan mendoakan mereka. Isu yang utama adalah kita melihat perbuatan terkutuk mereka iaitu perlakuan menyerupai wanita dalam berpakaian dan lain-lain tindakan sebagai satu kemungkaran yang perlu dicegah.

2. Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim, Hadis no. 40).

3. Bagi pihak berkuasa agama di peringkat negeri dan kerajaan, mereka mempunyai autoriti untuk membanteras perlakuan ini. Kita menyerahkan kepada mereka untuk mengambil tindakan. Namun, di peringkat masyarakat awam, apakah yang boleh dilakukan? Persoalan yang ingin saya lontarkan; Sekiranya anda melihat suatu jenayah, apakah yang anda akan lakukan? Sebagai contoh, anda menjadi saksi suatu rompakan, adakah anda berdiam diri sahaja? Bukankah berdiam diri itu tanda anda reda dan turut bersubahat dalam perbuatan jenayah itu?

4. Sekiranya kita hanya berdiam diri, kita sebenarnya telah mengiktiraf dan merelakan perbuatan golongan ini. Diam dan tidak bertindak setelah melihat suatu kemungkaran pastinya mengundang kemurkaan dan bala daripada Allah SWT. Jika Allah berkehendak, bukan golongan yang dilaknat ini sahaja yang menerima balanya, bahkan seluruh manusia termasuk mereka yang baik dan beramal soleh turut sama dihancurkan bersama mereka. Tidakkah kita semua takut dengan bala Allah? Bukankah Allah SWT telah memberi amaran dengan firman-Nya:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan takutlah kalian terhadap fitnah seksaan) yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah, bahawa Allah amat keras seksaan-Nya.” (Surah Al-Anfal: 25).

5. Membiarkan sahaja suatu kemungkaran berleluasa juga pastinya mengundang kemungkaran dan kerosakan yang lebih teruk. Apabila tindakan seorang lelaki bertelekung, berpakaian wanita, malah melakasanakan ibadah umrah dengan cara seorang wanita itu tidak dibendung, ia pastinya akan diikuti oleh golongan yang sejenis dengannya. Mungkin selepas ini, golongan mak nyah tidak lagi segan silu melakukan umrah sebelum kembali kepada fitrah asal dan bertaubat. Malah jika tiada tindakan tegas yang diambil, tidak mustahil jika ada travel agent yang mempelopori jemaah umrah mak nyah atau transgender dan mengambil keuntungan daripada golongan ini tanpa mengambil kira hukum Allah dan batas-batas-Nya.

6. Bukan itu sahaja, tindakan berbangga melakukan kemungkaran dan mencabar hukum Allah ini dilihat tiada salahnya jika ia tidak ditegur dan diberi hukuman. Oleh itu, sewajarnya pelaku tersebut dihukum agar menjadi pengajaran kepada umum dan memberi kesedaran kepada dirinya bahawa tindakan itu adalah satu kesalahan dan jenayah yang berat.

7. Berbalik kepada persoalan, apakah yang mampu kita lakukan di pihak kita rakyat marhaen ini untuk membanteras jenayah lelaki berpakaian wanita dan seumpamanya? Tahukah anda bahawa tindakan lelaki berlagak seperti wanita telah termaktub dalam undang-undang sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 28 Akta Jenayah Syariah? Lelaki memakai pakaian wanita sememangnya satu kesalahan yang boleh dihukum.

8. Sebagai contoh menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian IV – Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesusilaan. Seksyen 28 – Orang lelaki berlagak seperti perempuan:
“Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.”

9. Kita mengharapkan agar pihak penguatkuasa proaktif dan bersikap tegas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Pada masa yang sama, kita sebagai masyarakat perlu membuat laporan sekiranya melihat perlakuan jenayah ini. Bagaimana ingin membuat laporan? Menurut pengetahuan saya, setiap jabatan agama Negeri telah menyediakan talian hotline untuk membuat aduan. Sebagai contoh di Jabatan Agama Islam Selangor, sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 24 jam Bahagian Penguatkuasaan JAIS di talian 1800-88-2424 ataupun boleh hadir terus ke pejabat JAIS di Shah Alam.

10. Bagaimana pula jika kita melihat perlakuan ini di media sosial? Aduan atau laporan boleh juga disalurkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah di negeri masing-masing dengan memberi maklumat lengkap siapakah pelakunya dan di mana lokasi individu tersebut untuk mensabitkan kesalahannya. Maklumat pengadu juga perlu diberi kepada pihak jabatan agama. Pihak Penguatkuasa Agama akan mengambil tindakan setelah dipastikan kesahihan maklumat yang diberi. Sebagai orang awam, kita tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan tangkapan. Walaubagaimanapun, kita sebagai orang awam boleh membantu Pegawai Penguatkuasa Agama untuk menjalankan tangkapan dengan menyalurkan maklumat.

11. Apa lagi yang boleh kita lakukan untuk membanteras golongan wanita jadian ini? Bagi yang masih membeli produk atau barangan daripada perniagaan mereka, berhentilah segera. Jangan memberikan sokongan terhadap bisnes mereka selagi mana mereka belum bertaubat. Ini salah satu bentuk didikan dan pengajaran buat mereka agar mereka tidak terus hanyut dengan perlakuan terkutuk tersebut.

12. Selain itu, jangan sama sekali mengiktiraf golongan ini sebagai wanita kerana hakikatnya mereka adalah lelaki. Hentikan panggilan seperti ‘Sis’ dan seumpamanya yang membuatkan mereka merasakan mereka adalah seorang wanita Sekiranya mereka ingin beribadah, tiada halangan buat mereka malah dialu-alukan. Namun tempat mereka adalah di saf lelaki jika bersolat jemaah dan pakaian mereka adalah kain ihram dan bukannya telekung jika menunaikan umrah.

13. Justeru, kepada lelaki dalam telekung, si pelaku jenayah yang berani menipu Allah di tanah suci, bertaubatlah dan tinggalkanlah segala perlakuan yang dimurkai Allah. Memohon maaf, meminta simpati dan drama air mata di hadapan manusia sama sekali tidak dapat mengubah apa-apa jika tiada pengampunan daripada Allah. Kembalilah kepada fitrah. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk anda dan kita semua para pendosa.

14. Kita juga mengharapkan pihak berkuasa agama akan segera mengambil tindakan yang tegas untuk apa yang telah terjadi agar ia tidak berlaku lagi pada masa hadapan. Jangan beri muka apatah lagi terus berlembut dengan golongan yang dilaknat oleh Allah SWT ini. Jika bala Allah turun, tiada lagi erti kelembutan itu. Yang ada hanyalah azab-Nya yang keras dan kehancuran wa’iyazubillah.

Moga kita sama-sama dijauhkan daripada kemurkaan-Nya.

Ustazah Nur Fatin binti Halil
Naib Pengerusi 3
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 357 access attempts in the last 7 days.