Bolehkah Seorang Muslim Mengiringi Jenazah Bukan Islam Ke Perkuburan?

Islam tidak melarang penganutnya berhubungan baik dengan mereka yang bukan Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah, ayat 8).

Daripada ayat ini, terdapat keharusan berhubungan baik dengan orang-orang kafir, namun ia dibatasi dengan syarat mereka tidak mengancam Islam serta umat Islam sendiri. Selain itu ada batasan aqidah yang perlu dijaga antara Muslim dan orang kafir. Sewaktu mereka hidup, kita berbuat baik pada mereka, saling menziarahi, memberi makanan dan lain-lain lagi. Namun, timbul persoalan ketika kematian mereka. Adakah Islam membenarkan seorang Muslim terus memberi hormat pada mereka setelah mati dan mengiringi jenazah mereka?

Hukum mengucap takziah, menziarahi dan mengiringi atau menghadiri upacara pengebumian mayat orang kafir tertakluk kepada hubungan di antara si hidup yang Muslim dengan si mati yang kafir dinukilkan dalam kitab-kitab antaranya Nihayah  al-Muhtaj (3/23) dan Kitab al-Majmu’ (5/242).

Jika si mati yang kafir merupakan kaum keluarga seperti ibu bapa, atau suami, isteri, jiran dan sahabat, mereka adalah diharuskan mengiringi mayat ke tanah perkuburan.

Akan tetapi jika si mati yang kafir adalah orang lain bukan terdiri daripada keluarga hukumnya adalah haram.

Adapun dalil bagi pengharusan bersandarkan hadis daripada Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah:

قلت للنبي صلى الله عليه وسلم ان عمك الشيخ الضال قد مات  قال اذهب  فوار أباك  ثم لا تحدثن شيئا حتى تأتيني فذهبت فواريته وجئته فأمرني فاغتسلت ودعا لي. رواه ابو داود

 Maksudnya: “Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w Sesungguhnya bapa saudaramu (Abu Talib) si tua yang sesat itu telah mati. Baginda bersabda: Pergilah kamu dan kuburkanlah ayahmu itu. Setelah itu jangan kamu melakukan sesuatu sampai kamu datang kepadaku lagi. Maka aku pun pergi. Setelah aku menguburkannya, aku pergi mengadap Baginda. Dan Baginda memerintahkanku mandi, lalu aku pun mandi, kemudian Baginda mendoakanku.

Bersimpati terhadap mayat dengan menghadiri majlis pengebumiaan ada harus. Namun beringat tidak boleh kita terikut ikut adab dan tata cara yang bertentangan syarak.

Ketika menghadirinya hendaklah kita berada di sudut yang berjauhan dengan mayat. Manakala ketika menghantar ke kuburan hendaklah berada di hadapan mayat bukan berada di belakangnya.

Kesimpulannya, menghadiri majlis pengebumiaan orang bukan Islam adalah diharuskan oleh syarak jika mereka mempunyai hubungan keluarga. Namun begitu, ketika menghadirinya hendaklah berada jauh dari mayat dan ketika menghantarnya ke tempat perkuburan hendaklah berada di hadapan mayat.

Haruslah juga diingat apa sahaja adab, tatacara yang dilakukan oleh orang bukan Islam ketika majlis pengebumian itu berlangsung tidak boleh disertai dan diiikuti lebih-lebih lagi melibatkan acara khusus keagamaan mereka.

Wallahua’lam bissawaab

Ustazah Hayati Mohd Zari
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 357 access attempts in the last 7 days.