Allah Mengajar Erti Ketamadunan

1. Kebanyakkan daripada kita, apabila mendengar istilah ‘tamadun’ sering akan membayangkan sebuah tempat yang mempunyai kemajuan, kemodenan, teknologi serta pembangunan yang serta canggih dan amat hebat. Bila disebut Tamadun Mesir terus kita akan terbayangkan pyramid , bila disebut Tamadun China terus terbayangkan Great Wall of China, bila disebut Tamadun Rom terus terbayang arkiteknya yang kelihatan gah dan hebat.

2. Persoalannya betulkah tamadun ditafsirkan sekadar itu? Menarik jika kita perhatikan dalam Quran bagaimana Allah SWT sendiri menggambarkan apakah yang hendak dimaksudkan dengan masyarakat atau sesebuah tempat itu bertamadun. Hal ini dirakamkan ketika mana Allah menceritakan soal kaum Nabi Lut di Sodom yang merupakan sebuah bandar yang sangat membangun pada waktu tersebut.

3. Ia juga dikenali sebagai sebuah bandar perdagangan serta masyarakatnya yang hidup dengan kecantikan, bersolek serta berhias. Jika hari ini mungkin ia seperti New York iaitu bandar perdagangan dan fasyen. Namun disebalik semua kehebatan dan kemodenan yang wujud di bandar tersebut yang kalau hari ini kita istilahkan sebagai bertamadun, tetapi Allah telah menyifatkan dengan
sebaliknya:

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (al-Naml: 55)

4. Istilah yang Allah berikan adalah jahil dengan erti kata bodoh, mundur, tidak membangun atau lebih tepat lagi tidak bertamadun. Walaupun mereka mencapai kemuncak pembangunan, fesyen, perdagangan tetapi disisi Allah mereka ini tetap mundur dan terkebelakang saat tiadanya nilai akhlak serta iman di dalam jiwa.

5. Maka hakikatnya teras ketamadunan adalah pada akhlak, jiwa, ruh yang kembali memahami erti kehidupan yang sebenar. Al-Attas dalam satu syarahannya menyebut istilah ‘tamadun’ adalah berasal usul daripada ‘madinah’ dan istilah ‘madinah’ bersumber daripada istilah ‘din’ (beragama). Hanya dengan tertegaknya nilai tawhid (beragama) dalam diri serta masyarkat sahaja satu-satunya kunci untuk lahirnya sebuah tamadun. Tanpa semua ini hakikatnya adalah mundur.

6. Kata-kata Shakib Arsalan yang sering kita dengar adalah satu kenyataan yang sangat tepat bagi menggambarkan asbab keruntuhan ketamadunan Islam yang telah berumur ribuan tahun. Yang runtuh bukanlah institusi khilafah atau institusi kepimpinan umat Islam tetapi yang runtuh adalah ‘din’ serta ‘tamadun’dalam setiap jiwa umat Islam.

“Tidak boleh tidak kita perlu bermula daripada bawa, tidak boleh tidak kita perlu bermula dengan men’tamadun’kan individu”

Menebus Kedaulatan Menjulang Peradaban

Ustaz Muhammad Firdaus bin Zalani
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 493 access attempts in the last 7 days.