Tulisan Jawi : Warisan Tercicir

Tulisan jawi datang seiring dengan kedatangan Islam ke Alam Melayu. Apabila pendakwah Islam menyampaikan Islam kepada penduduk di Alam Melayu, mereka memperkenalkan abjad-abjad asas tulisan jawi bersumberkan abjad-abjad arab yang terkandung di dalam al Quran. Maka kehadiran tulisan jawi adalah menjadi titik tolak pemisahan dari zaman gelap jahiliyah yang menyelubungi bangsa Melayu ke zaman terang-benderang, sama ada dari segi agama mahu pun kebudayaan   Dan tulisan ini menjadi identiti bangsa yang menganut agama Islam.

Orang Melayu sejak dari kecil lagi telah mengenali tulisan ini melalui pengajian al-Qur’an berbanding dengan tulisan Rumi yang dibawa oleh penjajah Barat pada abad ke-15 Masihi. Walau bagaimanapun, tulisan Rumi telah diberi nilai ekonomi oleh penjajah yang datang silih berganti menjajah negara ini. Akhirnya penggunaan tulisan rumi lebih dominan bahkan ada anak melayu sendiri yang tidak tahu membaca dan menulis dengan menggunakan tulisan jawi.

Warisan ini telah kukuh bertapak sejak abad ke 14 masihi atau sebelumnya. Makam-makam Diraja Melayu- Islam yang terdapat di Pasai, Acheh, Daya dan Geresik (Jaya) yang diperbuat daripada batu pualam yang bertulisan huruf-huruf Arab jelas membuktikan hakikat ini. Batu bersurat yang bertarikh tahun 702H/1303M yang menggunakan tulisan Jawi sepenuhnya itu menunjukkan bahawa tulisan Jawi berusia hampir 700 tahun lamanya.

Tulisan rumi mula digunakan seiring dengan tulisan jawi apabila penjajah Eropah  mula datang ke Tanah Melayu. Kemudian, ada usaha gigih dibuat oleh ahli-ahli bahasa untuk mengetepikan tulisan Jawi dan sekaligus menjadikan tulisan Rumi sebagai tulisan rasmi negara. Di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia), Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) telah menghantar satu memorandum kepada kerajaan bertarikh 27 Mac 1954 dengan mengemukakan pelbagai alasan bagi menunjukkan kelebihan tulisan Rumi dan tulisan Jawi sebagai media persuratan Melayu. Bermulalah episod tergugatnya kedudukan tulisan jawi sebagai tulisan utama di Kepulauan Melayu dan disambut dengan perisytiharan “Akta Bahasa Kebangsaa” pada tahun 1963.

Walaupun secara tersurat akta berkenaan tidak menghalang penggunaan tulisan jawi namun ia tetap memberi kesan terhadap penggunaan tulisan jawi dan perkembangannya di mana orang Melayu sudah mula meninggalkan tulisan jawi dan semakin selesa dengan hanya menguasai tulisan rumi. Walaupun beberapa usaha dilakukan untuk mengembalikan kedudukan tulisan jawi ke tempat yang selayaknya namun sehingga kini ia tidak menampakkan kejayaan yang memberangsangkan.

Sudah tidak ada lagi surat khabar jawi di Malaysia sekarang dan tulisan jawi terus terpinggir dari arus perdana yang sedikit demi sedikit telah mula mengarus perdanakan tulisan yang digunakan oleh orang-orang berketurunan Cina dan India. Lihatlah sekecil-kecil contoh seperti interaksi kita dengan mesin pengeluaran wang (ATM), tiada lagi pilihan tulisan jawi di dalam skrin mesin berkenaan.

Tulisan Jawi sangat penting  di dalam usaha penyelidikan tentang kesusasteraan, kebudayaan dan masyarakat Melayu khasnya, bahkan agama Islam dan perkembangannya di Alam Melayu amnya memerlukan pengetahuan tentang tulisan Jawi. Ini kerana terdapat manuskrip- manuskrip lama Melayu yang begitu banyak, sama ada yang telah diteroka dan dirumikan atau yang baru diteroka dan dirumikan,” ataupun yang masih belum memaparkan berbagai-bagai aspek yang berkaitan dengan kebudayaan dan tamadun Melayu dan agama Islam, di mana semuanya adalah dalam tulisan Jawi.

Walaupun sistem Tulisan Jawi yang mewarisi segala ciri tulisan Arab ini telah jauh terlepas daripada peraturan yang mendasari tulisan Arab, namun ia tetap mempunyai asas sistem tulisan Arab sehingga orang yang menguasai tulisan Jawi lebih mudah mempelajari bahasa Arab dan menyenangkannya mempelajari al-Qur’an.

Sejarah tulisan Rumi di Nusantara bermula dengan kedatangan Poitugis ke Melaka pada tahun 1511 Masihi yang sekaligus pula membawa agama Kristian ke rantau ini. Menurut S.M Naquib al-Attas di dalam bukunya Islam and Secularism, penerimaan tulisan Rumi sebagai skrip tulisan Melayu merupakan suatu kejayaan proses Kristianisasi dan sekularisasi terhadap penduduk Alam Melayu, iaitu seperti yang berlaku di Malaysia dan Indonesia.

Namun, alhamdulillah, Allah SWT masih menyayangi umat ini kerana masih mengekalkan umat ini di dalam aqidah yang diredhaiNya. Namun kesan meninggalkan tulisan jawi akan lebih dirasai apabila ia mula memberi kesan kepada jauhnya umat ini dari jati diri, sejarah tamadun yang telah dibina satu ketika dahulu, dan semakin tidak menghargai manuskrip yang menyimpan khazanah fakta yang sangat berharga kepada umat ini.

Pelajarilah dari sejarah moden Turki apabila orang Turki mula dijarakkan dengan tulisan arab yang rapat dengan sumber langsung al Quran dan al hadith maka semakin laju proses sekularisasi. Sudah ada di kalangan umat Islam di Malaysia yang tidak lagi mengenal huruf-huruf jawi sehingga mengusahakan agar tulisan-tulisan al Quran dirumikan sehingga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-24 yang bersidang pada 5-6 Jun 1989 telah membincangkan hukum Penulisan Ayat-Ayat Al-Quran Dengan Huruf Roman. Muzakarah telah memutuskan bahawa adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat Al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan Al-Quran.

Sahibus Samahah Dato’ Hj Zamri bin Hashim
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 385 access attempts in the last 7 days.