Satu sudut pandangan terhadap suasana Malaysia yang jarang diceritakan

Alhamdulillah, pada minggu lepas saya (mewakili Majlis Ulama ISMA – MUIS) diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk bertemu Syeikh Ahmad Ar-Raisuni yang merupakan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, di Kuala Terengganu, pada akhir tahun lepas.

Terima kasih kepada Dr Wan Yusuf dari Unisza atas jasa beliau yang menyusun kesempatan itu.

Beberapa isu yang saya cuba dapatkan pandangan beliau khususnya mengenai Al-Wala’ wa Al-Bara’ dalam sistem demokrasi, sejauhmana Islam boleh ditegakkan melalui sistem demokrasi, dan berbagai isu-isu lain yang berkaitan dengan ilmu Usul Fiqh dan Maqasid.

Pandangannya boleh saya kira, adalah pandangan umum, yang memerlukan satu ijtihad tahqiq al-manat tersendiri oleh para ulama di Malaysia kerana bak kata pepatah Arab : ‘ahli Mekkah lebih mengenali lorong-lorongnya’.

Namun ada beberapa perkara yang saya kira, kebanyakan orang luar khususnya ulama Arab yang singgah atau dijemput di Malaysia, mungkin tidak berapa memahami beberapa sudut penting dalam suasana di Malaysia.

Saya cuba senaraikan beberapa poin penting, agar mana-mana yang menjemput ulama luar boleh terangkan kepada mereka situasi utama di Malaysia ;

1. Malaysia, walaupun merupakan sebuah negara Islam, adalah merupakan satu negara yang pernah dijajah oleh Portugis, British, dan Jepun. Penjajahan yang berlaku bukan sekadar menjajah tanah air, tetapi juga pencairan dominasi budaya dan identiti Melayu melalui kedatangan kaum Cina dan India yang dibawa masuk oleh British sebagai pekerja dan buruh untuk tinggal di Tanah Melayu.

2. Orang non-Muslim di Malaysia yang secara umumnya diwakili oleh bangsa Cina dan bangsa India, bukanlah seperti non-Muslim di tanah Arab, yang merupakan anak jati dari tanah air mereka sendiri. Orang Cina dan India, mempunyai tabiat budaya dan identiti yang tersendiri. Pertembungan budaya dan agenda bangsa akan sentiasa berlaku, kerana mereka akan terus mengekalkan identiti dan kebudayaan mereka.

3. Ketua Negara adalah YDPA, dan ketua bagi setiap negeri adalah sultan-sultannya dengan beberapa pendetilan tugasan mereka yang tertentu. Namun YDPA dan sultan bukanlah sebagai pelaksana atau kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara.

4. Negara ini hakikatnya diperintah / diurus oleh kerajaan yang dipilih dalam pilihanraya, bukan melalui kuasa sultan. Segala polisi-polisi besar dalam perjalanan negara seperti polisi pendidikan, belanjawan, dan keselamatan serta seumpamanya semuanya diluluskan dalam dewan parlimen, bukan istana. Ini kerana tugas istana hanya menasihati, bukan melaksana.

5. Non-Muslim di Malaysia khususnya yang bersama dengan arus Evangelisme dan Kristianisasi, mempunyai agenda tertentu dalam mengacu negara dengan acuan tersendiri. Mereka tidak mahu diikat dengan budaya Melayu dan nilai Islam, kerana mereka mahu mengubah naratif negara ini ke arah apa yang mereka cita-citakan.

6. Negara Malaysia merupakan negara yang cukup unik, berbilang bangsa dan agama, serta nilai sejarah yang tersendiri, yang menjadikan ia mempunyai sifir tersendiri untuk dilihat dalam rangka syarak.

7. Tahqiq Manat (Bahasa mudahnya adalah ‘menentukan hukum pada tempatnya’) sepatutnya mengambil aspek-aspek kenegaraan yang unik ini, tidak sekadar melihat pandangan asas syarak dalam isu negara, tetapi melihat juga implikasi-implikasi pandangan itu terhadap kemajuan dan dominasi umat Islam yang merupakan tuan tanah di negara ini.

8. Perebutan politik yang berlaku dalam kerangka demokrasi telah merugikan umat Islam kerana umat Islam terpecah-pecah kepada beberapa blok hingga akhirnya parti yang dipelopori bukan Islam berjaya menjadi kuat dan mendominasi kerajaan pada hari ini. Oleh itu, segala pandangan syarak yang diberikan mesti membawa kepada keuntungan umat Islam secara keseluruhan, bukan semata-mata dilihat dalam pertembungan kepartian.

9. Malaysia adalah sebuah negara yang telah lama mengenali sistem demokrasi, dan selama itulah telah pun merasai kesengsaraan terhadap sistem ini. Oleh itu, pendemokrasian Islam bukanlah satu perkara yang baharu dibincangkan di Malaysia. Malaysia hari ini lebih memerlukan pencerahan dari sudut bagaimanakah umat Islam boleh memainkan peranan tersendiri dalam ‘menyatukan umat’ di luar kerangka demokrasi, agar kita tidak menjadikan demokrasi sebagai satu ‘matlamat’, atau suatu yang suci yang tidak boleh disentuh.

10. Kekeliruan dan kecelaruan pemikiran yang melanda umat Islam hari ini menuntut untuk kita lebih banyak menjelaskan perkara-perkara tsawabit dalam syarak, yang mana tiada siapa boleh mempertikaikannya, berbanding perkara-perkara lain. Antara tsawabit ummah yang paling penting adalah ; kepimpinan negara mesti di tangan umat Islam.

Wallahua’lam bissawaab.

Ust Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 222 access attempts in the last 7 days.