Perutusan Pengerusi Majlis Ulama ISMA sempena tahun baru 2020

Assalamualaikum warahmatullah wa barakaatuh.

Tirai 2019 dilabuhkan dengan meninggalkan banyak cabaran kepada umat Islam. Umat terbeban dengan kenaikan isu- isu provokasi terhadap agenda ketuanan syarak yang mencabar kedaulatan Islam dan perlembagaan khususnya undang-undang yang berkaitan dengan Islam dan umat Islam.

Semua ini menuntut umat Islam melihat segala cabaran ini dari ufuk yang lebih luas tanpa meremehkan salah satu daripadanya. Adakalanya kita terpaksa meletakkan keutamaan-keutamaan yang perlu diutamakan. Kita sangat berdebar-debar wajah Islam dan umatnya yang bagaimana akan muncul bila tirai 2020 dibuka semula.

Yang akan menentukan wajah Islam ini adalah umat Islam sendiri. Kukuhkan jatidiri, fahami Islam secara menyeluruh, singsingkan lengan, kuatkan semangat, kuat bekerja, kerja dalam jemaah yang jelas perjuangan dan teratur kerana kita menghadapi jahiliyah dalam bentuk jahiliyah fikrah (ideologi) dan jahiliyah tanzim (organisasi).

Kita mengharapkan agar pada tahun mendatang masyarakat akan lebih memahami kerangka realiti dalam kerangka syarak, dan melihat penyelesaian dalam isu-isu semasa berlandaskan panduan dan neraca wahyu. Agenda ini merupakan agenda utama pihak MUIS bagi mengembalikan masyarakat kepada hidup yang bersendikan syarak dalam segenap sudut kehidupan.

Sahibus Samahah Dato’ Hj Zamri bin Hashim
Timbalan Mufti Perak,
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 363 access attempts in the last 7 days.