Ketinggian nilai Al-Quran dalam neraca hidup kita

Hari ini, sebahagian daripada kita melihat Al-Quran sebagai bacaan ritual yang dibaca ketika solat, ketika malam tertentu dan ketika situasi tertentu.

Jarang sekali kita melihat betapa tingginya nilaian Al-Quran yang difahami oleh Nabi SAW, para sahabat dan salafussoleh sebelum ini. Di sini saya kongsikan beberapa petikan daripada kitab Al-Iklil fi Istinbat At-Tanzil oleh Imam As-Suyuti berkenaan ketinggian nilaian Al-Quran ;

1. Ada suatu hadis Nabi SAW yang menceritakan kepada para sahabat mengenai kegentingan dan fitnah akhir zaman, lalu sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW ; Apakah jalan selamatnya wahai Rasulullah ?

Rasulullah SAW menjawab : Hendaklah kamu berpegang dengan Al-Quran, padanya ada cerita orang-orang sebelum kamu, dan ada berita mengenai orang yang akan datang selepas kamu, serta padanya ada ‘penentu’ terhadap perselisihan kamu.

2. Al-Hasan Al-Basri RHM menyebut : Allah SWT menurunkan 104 kitab, dan menyimpulkan keseluruhannya kepada 4 kitab iaitu Taurat, Zabur, Injil dan Furqan (Al-Quran), lalu menyimpulkan ketiga-tiga kitab itu di dalam Al-Furqan, lalu menyimpulkan kandungan Al-Furqan itu dalam surah Al-Fatihah. Barangsiapa yang mampu mentafsir surah Al-Fatihah, dia akan memahami keseluruhan kitab-kitab yang diturunkan.

3. Imam Syafie RHM menyebut : Segala apa yang disebut oleh umat ini adalah syarahan kepada Sunnah, dan segala apa yang disebut dalam syarahan Sunnah adalah syarahan kepada Al-Quran.

4. Imam Syafie RHM juga menyebut : Setiap apa yang diputuskan oleh Baginda SAW semuanya adalah berdasarkan kefahamannya terhadap Al-Quran.

5. Beliau menyebut lagi : Dan tidaklah apa-apa pun peristiwa atau kes yang menimpa seseorang ahli agama Allah itu melainkan adanya dalam kitab Allah itu dalil bagi menuju jalan petunjuk dalam masalah tersebut.

6. Ibnu Masud RA menyebut : Telah turun dalam Al-Quran segala ilmu, ia telah menerangkan kepada kita semua perkara, tetapi hanyalah ilmu kita yang cetek untuk memahaminya

7. Imam As-Suyuti RHM menyebut : Kitab Allah mengandungi segala perkara, hingga setiap jenis ilmu, tidak ada satu bab atau masalah yang utama, melainkan dalam Al-Quran pasti dalil yang menunjukkan perkara itu.

Ini hanyalah beberapa contoh kefahaman yang difahami oleh para sahabat dan salafussoleh mengenai intipati Al-Quran, dan betapa besarnya makna yang wujud dalam kitab Allah ini.

Barangsiapa yang memahami kitab Allah, sudah pasti dia akan memahami dunia dan seisinya sepertimana hakikatnya, dan sudah pasti dia akan membetulkan ‘alignment’ kehidupannya agar berpandukan landasan Al-Quran.

Sekiranya kita masih enggan merujuk dan membina diri kita untuk lebih memahami Al-Quran, dikhuatiri kita akan mengikuti langkah-langkah syaitan.

“Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Ar-Rahman, maka Kami akan berikan penguasaan syaitan kepadanya maka jadilah ia sebagai teman rapat. Dan sesungguhnya mereka (para syaitan itu) akan menghalang manusia itu daripada jalan yang benar, hingga mereka menyangka mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayah” – Surah Az-Zukhruf ayat 36-37

Wallahua’lam bissawab

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 223 access attempts in the last 7 days.