Kenyataan Rasmi MUIS berkenaan Perayaan Ponggal

1. MUIS berpandangan bahawa ‘Perayaan Ponggal’ mengandungi ritual-riual persembahan kepada dewa-dewa.

2. Kebebasan beragama terjamin di dalam perlembagaan negara bahawa penganut agama hindu bebas mengamalkannya secara aman dan damai, tanpa sebarang provokasi atau perkara yang boleh mengundang keresahan umat Islam. Bagi umat Islam, upacara-upacara yang mengandungi unsur mempersembahkan sesuatu kepada dewa-dewa adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam.

3. Sebagai perbandingan, perayaan Idil Adha adalah perayaan yang besar di dalam Islam namun bagi penganut hindu ia bertentangan dengan ajaran mereka.

4. Umat Islam sudah tentu tidak berasa kecil hati jika sami-sami hindu melarang penganutnya untuk tidak turut serta di dalam sambutan Idil Adha kerana umat Islam sangat memahaminya. Kita sudah hidup puluhan tahun di negara ini dengan aman damai berbilang agama dan kaum. Begitulah sebaliknya, ulama Islam berhak untuk melarang umat Islam terlibat dalam ritual-ritual agama lain yang bertentangan dengan agama Islam lebih-lebih lagi yang melibatkan perkara aqidah. Penganut agama lain pun tidak sepatutnya kecil hati dan menjadikannya sebagai isu.

5. MUIS berpandangan bahawa resepi toleransi hidup beragama ialah dengan menjadikan perlembagaan negara sebagai panduan. Bagi umat Islam, panduan kita yang paling utama ialah ayat 6 Surah Al-Kafirun yang menjelaskan bahawa agama Islam sangat tegas dalam perihal silang kepercayaan dan toleransi beragama ini.

6. Adapun sekiranya penyertaan yang dilakukan atas sebab maslahat awam seperti penglibatan pemimpin politik dan negara dalam jemputan ke sambutan perayaan tersebut, ia mestilah tidak melibatkan upacara-upacara yang berunsur keagamaan seperti memasak makanan tertentu atau memakai sarung dan pakaian tertentu.

Ini kerana alasan ‘darurat’ dan keperluan untuk meraikan keharmonian harus dilaksanakan pada kadarnya, dan dalam menghadiri jemputan perayaan tersebut, kehadiran pemimpin sudah memadai bagi mencapai maksud tersebut, tanpa perlu terlibat dalam perihal-perihal ritual yang lain.

Sahibus Samahah Dato’ Hj Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 551 access attempts in the last 7 days.