Kenapa tidak solat jemaah di RnR & tempat awam ?

Saya pernah melakukan survey rambang (biasalah mesra alam gitu) kepada beberapa orang yang tidak solat jemaah di RnR dan berikut antara jawapan popular:

1. “Saya nak cepat, takut Imam lambat”
Saudara, selama-lama solatpun adalah solat fardhu 4 rakaat, samada 4 rakaat 2+2 ataupun 4 rakaat tamam (penuh). Purata 4 rakat adalah 5-6 minit. Paling lama 8 minit, paling sekejap 3-4 minit.

Walaubagaimanapun, pesanan kepada semua Imam diluar sana, andai di RnR dan tempat awam, permudahkan solat, baca yang ringkas, permudahkan doa. يسروا

2.”saya tidak yakin menjadi Imam”
Saudara, paling minima menjadi Imam adalah Mumayyiz dan mampu jadi makmum. Mumayyiz bererti matang, mampu mmebezakan baik dan buruk. Takkan masih belum matang?

Paling kurang, di akhir hayat ibu dan bapa, anda menjadi Imam kepada solat jenazah. Yakin dan teruskan menjadi Imam.

Adapun isu tidak pandai membaca quran dengan lancar dan tidak mengerti membaca doa secara kuat, perkara tersebut adalah pda sudut keutamaan menjadi Imam.

3. “tidak yakin membentuk jemaah, dekat rumah biasa sahaja jadi Imam”
Ni pun satu isu, yang sudah biasa jadi Imam, yakinkan diri, panggil makmum untuk iqamat.

Saya biasa, jalan terus ke tempat imam sambil tengok mereka yang lain, andai bertentang mata, terus sebut “Abang boleh iqamat?”

4. “saya tak tahu hukum. nanti susah pula”
Hukum menjadi Imam benar perlu belajar, tetapi tidaklah begitu rumit, andai terbatal, berikan salam dan terus keluar. Andai terlebih rakaat, sujudlah sujud sahwi dan kalau terlupa tambahlah rakaat, kalaulah tak tahu sujud sahwi, masih di dalam rangka solat yang diterima. Andai tersalah dan ada yang menegur, bersedialah menerima teguran dengan hati terbuka.

5. “Saya tak pandai nak sep”
Boleh jadi kita perasan ada yang mula-mula solat berseorangan, dan bacaan lebih bagus daripada kita, maka sentuhlah bahu di sebelah kiri dan berdiri disebelah kanan beliau. Kemudian apabila ada makmum lain, langkah kebelakang membentuk saf yang baru. Insya’allah mudah !

Geram apabila, begitu ramai yang solat sendiri, tanpa seorangpun yang ‘sep’ mana-mana individu lain! Andai memang diri teramat jahil rasa tidak layak, maka bentuklah juga jemaah dengan ‘sep’ individu lain.

Asal kepada masalah ini adalah kerana tidak mengerti perbahasan hukum solat jemaah.

Pandangan majoriti ulama’ SOLAT JEMAAH ADALAH WAJIB. (Mazhab Hanbali – AlMughni 2/130, Sebahagian Hanafiah – Badai’ Sonai’ 1/155, Sebahagian Syafii – Raudhah Tolibin 1/339, Sebahagian Salaf Ibnu Mas’ud, Abi Musa, Athaa’, Awzaie, Abu Thur – AlMughni 2/130)

Di dalam Mazhab Syafie terdapat 3 pandangan (Raudhah Tolibin 1/229) Pertama: Fardhu Kifayah, kedua Sunat dan ketiga Fardhu Ain. Sedikit kelonggaran disisi Mazhab Syafie yang merajihkan Fardhu Kifayah, dimana andai sudah ada sebahagian melakukan Solat Jemaah maka terangkat kewajipan yang lain.

Walaubagaimanapun, serendah-rendah pandangan adalah TIDAK AKAN JATUH DIBAWAH KEDUDUKAN SUNAT MUAKKAD dan ini adalah pandangan sebilangan kecil Mazhab Syafie dan Ibnu Nujaym (Bahr Raaiq Sharh Kanzu Daqaaiq – Hanafiyah m/s 602).

Katalah nak ambil pandangan yang paling rendah iaitu sunat muakkad, persoalannya apa maksud ‘sunat muakkad?’

Sunat Muakkad boleh difahami bahawa Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah tinggalkan seumur hidup Nabi, cuma perbezaan di dalam dalil membawa kepada martabatnya sunat muakkad dan bukan wajib atas sikap para Ulama dalam berhati-hati menilai wajib sesuatu perkara.

Imam Abu Zahrah (Usul Fiqh m/s 40) berpandangan sesiapa yang meninggalkan sunat muakkad maka dia DICELA/TERCELA tetapi tidak boleh dijatuhkan hukuman.
Mengapa tercela? Kerana sesiapa yang sengaja meninggalkan sunat muakkad seolah melewehkan (معاندة) kepada sunnah Nabi.

Betapa jauhnya kita dari pemahaman ini… di dalam Rumah Allah tidakkah terdetik kepada kita bahawa meninggalkan solat jemaah itu adalah amalan tercela, sedangkan di dalam rumah Allah, dan ada manusia untuk turu serta berjemaah!!!

Yang menghalang kita boleh jadi hanyalah syahwat ingin solat cepat, ataupun syubhat kejahilan betapa kita terhina/tercela andai meninggalkan solat jemaah dalam keadaan mampu.

Bukankah Nabi bersabda:
عن أبي الدَّرداءِ رَضِيَ اللهُ عنه، قال: سمعتُ رسولَ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يقول: ((ما مِن ثلاثةٍ في قريةٍ، ولا بدوٍ، لا تُقامُ فيهم الصَّلاةُ، إلا استحوذَ عليهم الشيطانُ؛ فعليكم بالجماعةِ؛ فإنَّما يأكُلُ الذئبُ القاصيةَ))
“Tidaklah 3 orang di dalam suatu kampung, mahupun dalam keadaan badwi (musafir), mereka tidak mendirikan solat (secara berjemaah), melainkan dikuasai (pengaruhi) oleh Syaitan; maka lazimilah kalian Jemaah, sesungguhnya serigala akan memakan biri-biri yang bersendirian”

{Riwayat Abu Daud (4091), Nasaie (547), Ahmad (21758) dan dinilai shahih sanadnya oleh IMam Nawawi di dalam kitab Majmu’ (4/182)}

Solat bersendirian, tak rasa syaitan yang redha dan suka?

Yang pasti solat berseorangan dalam masjid/surau dalam keadaan mampu berjemaah bukanlah sunnah yang diredhai Allah.

Ust Mohd Suhail bin Mohd Sufian
Naib Pengerusi 2
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 252 access attempts in the last 7 days.