Aspek rohani membina keseimbangan, bukan semata-mata ritual

1. Perkembangan seseorang itu bergantung kepada beberapa perkara ; antaranya apa yang dipelajari, apa yang dijadikan rutin dan apa yang sering berlaku dalam kehidupannya. Pembinaan jatidiri yang seimbang memerlukan seseorang itu memberikan hak kepada tubuh badannya, untuk dia sihat dan boleh bergerak, akal dan fikirannya untuk dia berfikir dengan waras dan cerdas, serta rohaninya agar jiwanya sentiasa tenang, tenteram dan terikat dengan Allah SWT.

2. Bagi seorang muslim, aktiviti kerohanian merupakan aktiviti yang membawa keseimbangan fizikal dan mental bagi seseorang pelajar. Aktiviti solat berjemaah, qiamullail berjemaah, berpuasa berjemaah, semua itu memupuk sikap kebersamaan dalam melakukan ketaatan, sekaligus membina satu sosok tubuh jatidiri seorang muslim yang ghairah terhadap agamanya. Ia juga menjadi salah satu kayu ukur perbezaan seseorang mukmin dengan yang bukan mukmin (atau ateis), iaitu apabila dia memahami kepentingan roh sebagai salah satu unsur penting yang wujud dalam jiwa manusia yang perlu dijaga dan dididik.

3. Pada hari ini, kita lihat pelbagai masalah yang berlaku dalam masyarakat bukanlah disebabkan kerana kurangnya kelebihan mental atau kekuatan fizikal, tetapi ia adalah kekurangan ‘kesedaran iman’ yang tersemat dalam hati yang boleh mendorong seseorang melakukan kebaikan dan mencegahnya daripada kemungkaran.

4. Sekiranya ada ibubapa yang melihat aktiviti kerohanian sebagai suatu masalah, ia berpunca daripada tanggapan negatif dan persepsi yang terbina dalam kehidupan peribadi mereka. Boleh jadi mereka mempunyai pengalaman pahit dalam menghadapi situasi-situasi sebegini. Namun begitu, satu masalah yang berlaku dalam situasi tertentu kepada pihak tertentu tidak boleh dijadikan lesen untuk memukul rata keseluruhan hakikat sesuatu perkara.

5. Permasalahan pengurusan yang teknikal seperti ketidakwajaran peraturan tertentu pada pandangan ibubapa dan seumpamanya, tidak sepatutnya menjadikan kita mengabaikan satu aspek yang lebih besar iaitu kepentingan aspek rohani yang kukuh dalam jiwa pelajar. Ia sepatutnya diurus pada isu khusus tersebut, bukan memukul rata keseluruhan perkara yang bersangkut paut dengan aktiviti-aktiviti itu.

6. Tidak ada siapa yang menafikan bahawa suasana ‘soleh’ yang juga dikenali sebagai ‘biah solehah’ tersebut hakikatnya yang mendidik jiwa anak-anak agar lebih taat, lebih berdisiplin, lebih mudah melakukan kebaikan, lebih berakhlak, dan lebih mudah untuk bergaul dengan orang lain. Ini kerana tabiat kesolehan adalah suatu tabiat fitrah, semulajadi dan tenang. Dalam masa yang sama iaakan mendidik jiwanya dengan acuan iman lalu menjadikan dirinya dicintai oleh Allah SWT, para malaikat dan orang-orang di atas muka bumi ini, seperti yang disebut dalam satu hadis Qudsi.

7. Ia juga menjadi sebab kenapa taubat seseorang yang telah membunuh 100 orang itu boleh diterima hanya selepas dia berhijrah ke satu kampung yang terdapat padanya orang-orang soleh seperti yang terdapat dalam suatu hadis sahih.

8. Begitulah juga sebaliknya. Suasana yang tidak terisi dengan aktiviti kesolehan dan acuan keimanan akan membawa kepada suatu kecelaruan, pergaduhan, permusuhan dan keserabutan yang akhirnya hanya merugikan perkembangan anak-anak itu sendiri. Kita mungkin dapati mereka boleh skor A atau seumpamanya, hakikatnya akhlak mereka di tahap yang rendah, kerohanian mereka di tahap yang rendah, lalu apa yang mereka dapat di sekolah hanyalah fitnah yang merosakkan diri mereka pada masa akan datang.

9. Zaman kini adalah zaman di mana pengajaran Islam dan pendedahan awal terhadap Al-Quran dan ilmu fardhu ain telah mendapat tempat dalam majoriti umat Islam di Malaysia. Sekiranya kita mahu mengangkat juga slogan-slogan berbaur secular dan memisahkan agama daripada kehidupan, hakikatnya kita sedang menuju ke belakang, dan merugikan anak bangsa dan agama kita sendiri.

Wallahua’lam.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 252 access attempts in the last 7 days.