‘Sugarbook’ Merendahkan Martabat Wanita, Meruntuhkan Institusi Keluarga dan Masyarakat

1. Saya tidak dapat menahan rasa geram dan marah sewaktu membaca berita mengenai pelancaran satu aplikasi telefon pintar yang dinamakan Sugarbook. Menurut Pengasas dan CEO nya Darren Chan, aplikasi ini berfungsi sebagai ‘dating platform’, di mana para lelaki dan wanita saling berhubung untuk mencari pasangan kemudian bertemujanji. Namun, pasangan yang dicari itu bukan dengan tujuan untuk dinikahi, tetapi semata-mata dijadikan pasangan Sugar Baby Sugar Daddy.

2. Sugar Baby merupakan seseorang yang menerima wang tunai, hadiah atau faedah kewangan dan material lain sebagai pertukaran kepada satu perhubungan. Dan biasanya perhubungan itu termasuk hubungan seks atau keintiman. Sugar Daddy pula adalah seseorang yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Tidak semestinya ia seorang jutawan, tetapi sumber kewangannya cukup untuk menyediakan keperluan kewangan dan memanjakan Sugar Baby nya. Jika Sugar Baby itu seorang wanita, ia umpama perempuan simpanan tetapi telah diberi nafas baru dengan istilah baru dan menjadi satu bentuk kerjaya. Jangan terkejut juga kerana ada juga sugar baby dikalangan lelaki. Dan selalunya mereka mendapat pembiayaan kewangan dari sugar daddy dengan pertukaran hubungan seks songsang.

3. Fenomena Sugar Baby Sugar Daddy ini mungkin sebenarnya sudah ada sebelum ini, namun dengan pelancaran aplikasi ini dan diangkat iklannya secara terang-terangan di tengah kota raya merupakan satu musibah dan menggalakkan lagi maksiat ini berleluasa dalam masyarakat. Darren Chan ketika menjawab kecaman ramai mengenai iklan billboard tersebut mengatakan, Sugarbook adalah satu usaha untuk memperkasakan wanita dan beliau mempertahankan pendiriannya bahawa ia bukan satu bentuk pelacuran atau pekerja seks haram. Bahkan telah dinyatakan golongan sasarnya adalah ibu tunggal, suri rumah, janda, dan wanita yang diceraikan. Hakikatnya ini satu penghinaan kepada wanita! Dan sama sekali ia bukan satu bentuk women empowerment atau pemerkasaan wanita!

4. Aplikasi ini sebenarnya telah menjadikan wanita sebagai objek dan mengambil kesempatan terhadap wanita untuk dijadikan pelampias nafsu semata-mata. Bukankah definisi pelacuran itu adalah penglibatan dengan aktiviti seks dan sebagai gantinya akan mendapat wang atau barangan berharga lain. Ia sememangnya satu bentuk pelacuran walaupun dinafikan! Apabila ia menyasarkan ibu tunggal, suri rumah, janda, dan wanita, ia telah memperlekehkan kekuatan dan kemampuan wanita yang mampu berdikari. Terlalu banyak lagi kerjaya lain yang boleh diceburi oleh para wanita untuk mencari rezeki demi meneruskan kehidupan. Menjadi Sugar Baby adalah satu saranan yang merendahkan kemampuan kaum wanita kerana menganggap kaum wanita adalah golongan yang lemah dan hanya perlu bergantung harap dengan Sugar Daddy. Wanita hari ini sangat bijak, independent dan sama sekali tidak akan mengambil jalan singkat untuk hidup senang dengan menjual diri.

5. Namun, apa yang membimbangkan adalah jika seorang wanita itu terdesak dan sanggup menjual diri dengan menjadi Sugar Baby untuk keluar dari kemelut hidup. Lebih menakutkan, jika ada anak-anak perempuan kita yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan wang atau menikmati kemewahan dengan mengambil bahagian dalam aplikasi ini. Pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan untuk menyiasat aplikasi ini kerana ia jelas sekali perkhidmatan seks atau pelacuran dalam bentuk baru.

6. Di samping itu, nilai kekeluargaan juga akan turut dirosakkan melalui aplikasi Sugarbook ini. Hilang nilai kepercayaan dan kesetiaan bagi pasangan yang telah berkahwin jika yang menyertai aplikasi ini merupakan seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu, juga jika ia seorang lelaki yang bergelar suami dan bapa. Rumah tangga menjadi porak peranda jika seorang suami menjadi Sugar Daddy dengan memiliki wanita lain selain isterinya atau seorang isteri itu curang dengan menjadi Sugar Baby.

7. Yang paling utama, aplikasi ini bertentangan dengan nilai agama dan budaya kita. Mempromosikan perkhidmatan seks atau zina juga adalah satu kehinaan. Allah SWT telah berfirman tentang zina;

“وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا”
“Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk”. [Surah Al-Isra’: 32].

Mendekati sahaja zina itu pun sudah cukup menjadi satu larangan, apatah lagi melakukan perbuatan terkutuk ini. Dengan demikian, semua jalan yang boleh membawa kepada zina seharusnya ditutup. Dalam Usul Fiqh, antara sumber hukum syarak adalah “sadd zarai’e” iaitu menutup jalan-jalan yang menuju ke arah sesuatu perbuatan yang haram. Oleh itu, setiap Muslim wajib menjauhi aplikasi ini kerana ia boleh menjerumuskan diri kepada ikhtilat (percampuran antara lelaki dan wanita) yang haram, menumbuhkan bibit-bibit percintaan yang dilarang syarak, seterusnya bertemu dan akhirnya melanggar perintah Allah dengan melakukan zina.

8. Kesan buruk zina amatlah banyak. Jika dikurniakan anak daripada hubungan luar nikah, anak tersebut menjadi tidak sah tarafnya dan boleh jadi hak anak tersebut tidak terbela kerana tiada bapa yang sah untuk menyaranya. Ini kerana lelaki tersebut boleh melarikan diri daripada tanggungjawabnya sebagai seorang bapa kerana tiada ikatan yang rasmi dan sah melalui hubungan Sugar Baby Sugar Daddy. Belum lagi ditambah dengan insiden buang bayi, penyebaran penyakit melalui aktiviti seks bebas seperti HIV dan sebagainya. Zina jelas sekali merosakkan nasab keturunan, institusi keluarga seterusnya menghancurkan keharmonian dan kestabilan institusi masyarakat.

9. Justeru, sekali lagi saya menyeru pihak berkuasa daripada kerajaan untuk mengharamkan aplikasi Sugarbook ini di Malaysia. Iklan di billboard tersebut sudah cukup menggambarkan satu gaya hidup barat yang bukan dari Islam dan turut melanggar nilai-nilai ketimuran yang menitikberatkan kesopanan dan kesusilaan. Bahkan iklan-iklan promosinya di laman web berbaur lucah, memaparkan aksi wanita yang tidak sopan dan boleh dikatakan ianya satu bentuk pornografi.

10. Sebagai umat Islam kita seharusnya bersama-sama menentang segala jenis maksiat dan kemungkaran. Kita juga tidak akan sama sekali rela dan membiarkan sahaja golongan yang mempromosikan gaya hidup bebas dan liberal bermaharajalela di negara kita, negara Islam yang tercinta.

Semoga Allah sentiasa memelihara kita.
Wallahua’lam.

Nur Fatin Halil
Naib Pengerusi 3
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 296 access attempts in the last 7 days.