Jiwa manusia yang vakum, dan angan-angan yang tiada penghujung

Apabila berbicara mengenai permasalahan, termasuklah isu-isu individu, keluarga atau negara, perkara asasi yang perlu dilihat untuk mengukur skala permasalahan adalah ‘kesibukan’ dan ‘agenda’ yang wujud dalam hidup seseorang.

Menilai sebuah permasalahan sebagai satu masalah yang terpencil tanpa memahami bagaimana ‘jiwa manusia berfungsi dan bekerja’ hanya akan memindahkan satu masalah kepada masalah yang lain. Kita fikir kita menyelesaikan masalah, tetapi hakikatnya kita sedang mencipta satu masalah yang lain.

Tabiat jiwa manusia adalah ibarat ruang yang vakum. Ia akan menyerap, menyedut, atau mengisi ruangan itu dengan apa yang disibukkan atau diagendakan oleh empunya diri. Masalah yang berlaku dalam satu-satu perkara sebenarnya perlu dilihat kepada apakah yang sedang kita sibukkan, apa yang sedang kita bina, dan apa pula yang bermain dalam fikiran kita seharian.

Benar, kehidupan kita menuntut untuk kita seimbang antara tuntutan kehidupan dunia agar boleh membina kehidupan akhirat yang sejahtera, tidak bergantung kepada orang lain, mampu berfikiran merdeka dan membuat keputusan sendiri, namun ini bukanlah perbahasannya.

Perbahasan mengenai keseimbangan adalah perbahasan yang berlanjutan, kerana setiap manusia memahami dirinya, dan mengetahui titik kelemahannya yang tersendiri, yang pastinya membezakan saiz dan skala keseimbangan mengikut spesifikasi tertentu yang berbeza antara satu sama lain.

Namun satu perkara yang perlu kita sedar, bahawa jiwa kita ini sepertimana ia adalah ruang yang vakum, ia juga adalah satu ruang yang terhad, yakni siapa yang sudah penuhi ruangan jiwanya, maka tidak mungkin untuk jiwanya diisi dengan perkara lain.

“Tidak sekali-kali Allah menjadikan bagi seorang lelaki itu dua jantung di dalam badannya” – Surah Al-Ahzab

Angan-angan yang tidak berpenghujung, ibarat garisan lurus panjang yang dihalakan dari dalam hingga keluar petak empat segi, seperti yang disebut dalam satu hadis di mana Rasulullah SAW melukisnya bagi menunjukkan kepada para sahabat RA panjangnya angan-angan manusia, dan betapa terhadnya apa yang boleh diisi dalam hidup mereka.

Angan-angan yang panjang, umur dan kehidupan yang terhad, dicampur dengan ruangan jiwa yang terbatas. Jalannya hanyalah yang tinggal adalah memilih salah satu, iaitu ‘humum’ (kesibukan) untuk dunia, atau humum membina kehidupan akhirat.

Mungkin atas sebab keterhadan jiwa itu, maka Abu Bakar As-Siddiq RA telah pun memberikan formula ‘ketinggian nilainya’ berbanding sahabat-sahabat lain.

Saidina Ali RA mengatakan bahawa manusia paling afdhal dalam umat Muhammad SAW adalah Abu Bakar, kemudian Umar Al-Khattab.

Suatu hari saidina Ali RA bertanya kepada saidina Abu Bakar RA :

“Wahai khalifah Rasulullah, apa yang menjadikanmu mencapai darjat ini hingga engkau mendahului kami ?”

Abu Bakar RA menjawab : “Dengan 5 perkara :
Yang pertama : Aku mendapati manusia ada dua golongan, golongan yang menghendaki dunia dan golongan yang menghendaki akhirat. Maka aku memilih untuk menjadi golongan yang menghendaki Tuhan.

Yang kedua : Sejak aku masuk Islam, aku tidak pernah kenyang sekalipun daripada makanan dunia, kerana kelazatan makrifatullah (mengenal Allah) menyibukkan aku daripada kelazatan makanan dunia.

Yang ketiga : Sejak aku masuk Islam, aku tidak pernah ‘kenyang air’ daripada minuman dunia, kerana cinta Allah itu telah menyibukkan aku daripada minuman dunia.

Yang keempat : Apabila sampai kepadaku dua jenis amalan, amalan dunia dan amalan akhirat, aku memilih amalan akhirat.

Yang kelima : Aku telah menemani (bersuhbah) kepada Rasulullah SAW, dan aku benar-benar bersungguh-sungguh dalam suhbah tersebut.” – dipetik daripada Tafsir Ruh Al-Bayan, jilid 2, hal. 111.

Demikianlah kefahaman Abu Bakar As-Siddiq RA & kesungguhan Ali RA dalam memahami jiwa manusia. Tiada perkara yang percuma, semuanya pasti ada nisbah dan kadarnya. Kekenyangan, kelazatan, dan kebahagiaan yang dipilih oleh mereka adalah suatu nilai abadi yang tiada tolok bandingnya. Mereka memahami kemustahilan terkumpulnya dua perkara yang berlawanan di dalam satu jiwa.

Atas kefahaman itu, mereka diangkat darjat tertinggi, kerana mereka telah membayar bayaran yang cukup tinggi.

Cakaplah apapun mengenai keseimbangan, keperluan dan kesibukan.

Hakikatnya, manusia itu lebih arif terhadap dirinya sendiri, walaupun diberikan pelbagai alasan.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 362 access attempts in the last 7 days.