Fiqh SemasaIlmiahKolumnisPolitik Islam

Realpolitik dan kerangka syarak

1. ‘Real politics’ yang dilaungkan hakikatnya adalah perebutan kuasa tanpa sistem atau ideologi tertentu yang mengikatnya. Itulah hakikat ‘real politics’. Pragmatisme adalah intipati utama ‘real politics’. Semua perkara jadi halal, ‘demi’ maslahat yang lebih utama kononnya.

2. Apabila umat Islam terpedaya dengan sistem demokrasi kepartian sebagai ‘satu-satunya’ penyelamat dan jalan keluar terhadap kemelut umat hari ini, maka hakikatnya kita hanyalah ‘pawn’ yang digerakkan dalam acuan ‘real politics’ dalam menjayakan agenda orang lain. Apabila tersangkut dalam permainan ini, mereka akan sentiasa ditipu, dan mengulangi kesilapan demi kesilapan.

3. Syarak diturunkan agar kita keluar daripada kemelut ini. Al-Quran dan Sunnah sebagai penunjuk jalan, dan menunjukkan kita hakikat ‘real politics’ di sisi Allah, iaitu pertempuran antara hak dan batil, suatu pertempuran yang wujud sejak terciptanya Adam AS.

4. Bentuk pertempuran itu berbeza-beza dari satu tempat, masa, dan wataknya. Walaupun demikiran, ia mempunyai satu aturan prinsip asasi yang sama, sejak awal hingga akhirnya.

5. Prinsip wilayah (kekuasaan), intima’ (penggabungan), wala’ (kesetiaan) dan bara’ (berlepas diri) yang berpaksi atas tauhid dan akidah, mengutamakan kesatuan umat Islam, menyeru kepada berpegang kepada wahyu, serta mengikat diri dan pegangan dengan Al-Quran dan Sunnah, mengutamakan maslahat akidah berbanding maslahat-maslahat lain, dan berpegang kepada syarat-syarat ijtihad yang sahih, dan seumpamanya, adalah prinsip-prinsip utama yang mana puluhan nas Al-Quran dan Sunnah menyeru untuk berpegang dengannya, sebagai satu bentuk neraca bagi umat Islam dalam menentukan kerangka ‘real politics’ yang diredhai oleh Allah SWT.

6. Hilangnya kita daripada neraca syarak ini dalam menentukan ‘real politics’ kita, akhirnya akan membawa kita ke lembah kehancuran, apabila kita menghalalkan yang haram, dan mengharamkan yang halal, menghalalkan segala mafsadah atas dakwaan maslahat padahal maslahat itu tidak muktabar di sisi syarak pun.

7. Demikianlah bagaimana syarak dilihat, dalam kerangka kehidupan manusia. Syarak adalah ibarat akal luaran, yang mewakili kita dalam berfikir apa yang betul dan apa yang salah. Bak kata Al-Asfahani ; “Akal adalah syarak dalaman, syarak pula adalah akal luaran”.

8. Apabila kita lebih melihat sistem yang dibuat manusia itu sebagai sandaran, lalu mengabaikan syarak yang merupakan sistem daripada Tuhan sekalian alam, ketahuilah bahawa kita sedang meletakkan nasib kita di atas tangan-tangan mereka.

“Adakah mereka menghendaki ‘hukum’ jahiliyyah itu ? Sedangkan apakah yang lebih baik dari hukum Allah, bagi kaum yang meyakini (beriman)” – Surah Al-An’aam

Wallahua’lam bissawab.

Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply