PRK TG PIAI: Analisis Perspektif Siyasah Syar’iyyah

1) Umat Islam, khususnya ahli gerakan Islam yang ikhlas berjuang sepatutnya tidak tergamak menyokong atau mengundi calon non-Muslim untuk mengalahkan calon lain yang beragama Islam di kawasan majoriti Muslim. Lebih-lebih lagi calon non-Muslim tersebut telah dikenali sebagai penentang kedaulatan dan kesyumulan Islam yang meliputi urusan kenegaraan.

2) Sudah terang lagi bersuluh, amat banyak firman Allah swt yang melarang umat Islam memberikan wala’ kepada orang bukan Islam[1] serta mengangkatnya sebagai pemimpin TANPA ada dalil/ asas Syarak (qarinah) yang boleh mengubah hukum asal haram tersebut kepada makruh, harus, sunat atau wajib. Malah ayat di bawah secara jelas menyatakan pemimpin bagi orang beriman adalah dalam kalangan orang beriman sendiri:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Al-Nisa’: 59)

3) Bacalah tafsiran fuqaha silam serta ulama kontemporari,[2] semuanya bersepakat bahawa perintah dalam ayat ini ditujukan kepada orang-orang beriman supaya taat kepada ketua/pemerintah dengan syarat pemerintah tersebut merupakan dari kalangan mereka (orang beriman), selepas diperintahkan supaya mereka taat kepada Allah dan Rasulullah.

PENYELEWENGAN BAGI MENJUSTIFIKASI PELANTIKAN PEMIMPIN NON-MUSLIM

4) Malangnya, sebahagian pihak bijak memutar belit Agama dengan membawa segala macam hujah untuk menghalalkan pelantikan non-Muslim sebagai pemimpin negara. Antara hujah yang paling biasa ialah menggunakan kata-kata yang dinaqalkan Ibnu Taimiyah: “Allah menolong sebuah negara yang adil walaupun ia kafir dan tidak menolong negara yang zalim meskipun ia beriman”.

Sedangkan konteks perbahasan kenyataan yang dinaqalkan itu adalah untuk menunjukkan betapa pentingnya untuk mengangkat keadilan, serta menunjukkan sunnatullah (atau lebih spesifik: sunnah kauniyah) bahawa negara yang menjaga keadilan akan mendapat pertolongan Allah. Ia bukanlah dalil Syarak untuk mengharuskan pelantikan bukan Islam sebagai pemimpin negara seperti yang dihujahkan

5) Lebih malang lagi, selepas gagal memutar belit pandangan Ibnu Taimiyyah, pandangan Al-Qaradhawi pula dimanipulasi untuk menjustifikasi keharusan mengangkat orang bukan Islam sebagai pemimpin negara.

Padahal jika kita betul-betul amati pandangan Al-Qaradawi, beliau hanya mengharuskan pelantikan orang bukan Islam sebagai wakil rakyat yang menurut pemahamannya ketika itu boleh disamakan seperti “wizarah tanfiz”, yang mana ia bukanlah ketua (amir), menteri (wazir) dan bukan juga ‘wali’ bagi sesebuah negara. (Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam, m/s 193-197).

Tambahan pula, pandangan Al-Qaradhawi itu hanya merujuk kepada wakil rakyat dalam konteks sebuah negara Islam (dawlah Islamiyyah) secara UMUM, tidak dispesifikkan pun ‘wakil rakyat’ mengikut struktur politik negara mana.

6) Persoalannya, adakah pandangan Al-Qaradhawi itu boleh diaplikasikan dalam konteks struktur pentadbiran/pemerintahan Malaysia hari ini? Adakah wakil rakyat dalam konteks parlimen Malaysia hari ini boleh dianggap sebagai ‘wizarah tanfiz’, justeru dengan mudahnya memanipulasi pandangan Al-Qaradawi tersebut untuk mengharuskan secara mutlak pelantikan orang bukan Islam bagi jawatan wakil rakyat/ ahli parlimen?

7) Hakikatnya, bila diperhatikan betul-betul, jawatan ahli dewan rakyat/ parlimen dalam sistem politik Malaysia hari ini tidaklah sama dengan hakikat ‘wakil rakyat’ yang dimaksudkan Al-Qaradawi, jauh sekali maksud wizarah tanfiz (yang diungkapkan oleh Al-Mawardi ketika era pemerintahan Abbasiyyah)

Ahli Parlimen di Malaysia hari ini turut mempunyai kuasa tertentu sebagai pemimpin termasuk terlibat dalam menggubal dan meluluskan suatu akta atau undang-undang negara perihal kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia.

8) Pernah juga timbul pandangan sesetengah asatizah lebih kurang begini: “Ahli parlimen hanyalah wakil rakyat untuk melaksanakan kehendak rakyat. Mereka bukan pemimpin, maka mengangkat non-Muslim sebagai wakil rakyat tidak termasuk dalam larangan melantik mereka sebagai pemimpin”.

Ini satu lagi hujah yang amat dangkal. Siapa yang pelajari siyasah syar`iyyah sedia maklum bahawa pemimpin sememangnya wakil rakyat. ‘Kontrak’ antara pemimpin dan rakyat adalah atas dasar kontrak wakalah (perwakilan).

Namun ia bukan hanya wakil untuk mengurus, mentadbir atau memenuhi kehendak rakyat semata (seperti mana yang difahami oleh orang kebanyakan), tetapi ia hakikatnya adalah wakil untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan besar Syarak yang tidak mampu digalas oleh rakyat secara individu mahupun masyarakat awam.

9) Sangat banyak tuntutan Syarak tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya tanpa kekuatan sebuah negara yang dipimpin oleh mereka yang beragama Islam.[3] Kalian jawablah seikhlas hati, adakah calon non-Muslim yang dikemukakan mampu atau sekurang-kurangnya punyai kehendak untuk mewakili umat Islam bagi melaksanakan tuntutan-tuntutan Syarak tersebut? Adakah pemimpin non-Muslim mampu memelihara maqasid Syariah yang utama iaitu hifzuddin (menjaga Agama Islam)?

KHILAF FUQAHA HANYA PADA JAWATAN BERSIFAT EKSEKUTIF

10) Fuqaha membahagikan pemerintahan negara di bawah pemimpin tertinggi/ ketua negara kepada dua kategori:
a. wizarah tafwidh atau wilayah `ammah; dan
b. wizarah tanfiz atau wilayah khassah

Wizarah tafwidh (sebahagian ulama sebut “wazarah”) atau wilayah `ammah merupakan jawatan kepimpinan negara yang mendapat autoriti secara langsung daripada ketua/pemimpin tertinggi negara. Mereka terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar dan polisi utama negara serta menentukan hala taju negara.

Manakala wizarah tanfiz atau wilayah khassah hanyalah jawatan yang bersifat eksekutif atau pelaksana dasar yang diputuskann oleh pimpinan tertinggi. (Lihat: Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 56)

11) Dalam hal ini, khilaf yang berlaku dalam kalangan fuqaha dan ulama kontemporari hanyalah berhubung jawatan wizarah tanfiz. Imam Al-Mawardi umpamanya telah memberikan sedikit kelonggaran dengan tidak meletakkan syarat Islam bagi jawatan wizarah tanfiz kerana ia hanyalah pelaksana, tidak mempunyai kuasa menentukan dasar utama sebuah negara.

Al-Juwayni yang mempelopori usul al-maqasid (sebelum Al-Ghazali & Al-Syatibi lagi) dalam kitabnya Ghiyath al-Umam mengkritik pandangan Al-Mawardi ini dengan panjang lebar. Beliau amat tidak bersetuju jawatan wizarah tanfiz disandang oleh bukan Islam meskipun mereka adalah ahli zimmah di bawah kekuasaan khilafah Islam, kerana mereka tidak boleh dipercayai (tidak thiqah/ عدم الموثوق به) dan periwayatan mereka ditolak (روايته مردودة). (Al-Ghiyathi, m/s 84-85)

12) Adapun bagi jawatan utama pemerintahan negara iaitu khalifah (ketua negara), wilayah ‘ammah atau wizarah tafwidh, jumhur fuqaha SEPAKAT bahawa ia hanya boleh disandang oleh orang Islam. (Lihat: Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 5. Abu Ya`la, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 20. Syeikh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, m/s 178-197. Prof. Dr. Mahmud Al-Khalidi, Al-Islam wa Usul al-Hukm, m/s 359, Syeikh Abdullah b. Umar b. Sulaiman Al-Dumaiji, Al-Imamah A-`Uzma `inda Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah, m/s 234)

13) Perlu juga difahami bahawa perbahasan fuqaha dalam isu pelantikan orang bukan Islam seperti yang dijelaskan di atas adalah dalam konteks sebuah negara Islam (darul Islam/dawlah Islamiyyah) yang mana ketika itu umat Islam masih mempunyai kuasa dominasi politik dalam negara. Dalam situasi itu pun, mereka masih bersepakat bahawa jawatan utama negara (khalifah & wizarah tafwidh) hanya boleh dipegang oleh orang Islam, dan khilaf hanya pada wizarah tanfiz seperti yang telah dijelaskan dalam point no. 11 di atas.

14) Di Malaysia hari ini, dalam keadaan umat Islam yang lemah dan ketinggalan dalam segenap aspek, haruskah kita menyerah kalah lalu membiarkan nasib dan masa depan umat Islam ini ditentukan oleh pemerintah bukan Islam? Cukuplah setahun setengah pasca PRU-14 mengajar kita betapa kedaulatan Islam diasak-asak dengan pelbagai ancaman apabila kepempinan negara didominasi oleh non-Muslim yang menentang kedaulatan dan kesyumulan Islam yang merangkumi urusan kenegaraan.

15) Baiklah, katakan kalian tidak terima pandangan fuqaha di atas ini kerana sistem, situasi dan geopolitik zaman ini, khususnya Malaysia, sudah berbeza daripada zaman Nabi dan Khilafah silam. Tiada lagi istilah wizarah tafwidh mahupun tanfiz. Namun, adakah perbezaan ini telah mengubah nas Syarak serta mengalih tujuan atau maqasid siyasah syar`iyyah? Adakah tidak perlu lagi melaksanakan Syariah? Tidak perlu lagi usaha-usaha memartabatkan Syarak? Tidak perlu lagi menyahut seruan jihad membebaskan negara-negara di seluruh dunia dari segala cengkaman asing?

16) Kaedah Syarak menyebut:

ما لا يدرك كله، لا يترك جُلّه
“Apa yang tidak dapat dicapai/dilaksanakan semuanya, jangan ditinggalkan semuanya”

Berdasarkan kaedah ini, walaupun suasana dan sistem hari ini tidak lagi sama dengan dahulu di mana kita tidak lagi dapat melaksanakan perintah Syarak secara penuh atas banyak kekangan, janganlah sampai kita terus tinggal semuanya dan terus berlonggar-longgar hingga melepaskan jawatan kepimpinan negara ini kepada bukan Islam, tanpa ada parameter yang mengawalnya.

Sekurang-sekurangnya berusahalah mencapai ke arah memartabatkan Islam dengan melaksanakan apa yang termampu. Dalam isu pemilihan pemimpin, maka sepatutnya yang dilakukan hari ini ialah melipatgandakan lagi usaha meramaikan orang Islam yang berwibawa dalam Parlimen serta tampuk pemerintahan negara, supaya dominasi/ kuasa politik Islam dapat dikembalikan. Bukan terus menyerah kalah lalu mengharuskan umat Islam melantik orang bukan Islam sebagai pemerintah negara tanpa hujah Syarak.

17) Berkenaan Surah Al-Mumtahanah ayat 8 pula[4] (yang selalu digunakan oleh sebahagian pihak termasuk asatizah dan mufti untuk mengharuskan pelantikan bukan Islam sebagai pemimpin negara), ketahuilah bahawa para fuqaha dan mufassirin tidak pernah menafsirkan ayat ini dengan mengharuskan perlantikan orang bukan Islam sebagai pemimpin negara. Kerana ayat ini HANYA mengharuskan membuat BAIK dan berlaku ADIL kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi/memerangi Islam. (`Ali Al-Sais, Tafsir Ayat al-Ahkam, m/s 756-757; Syed Qutb, Fi Zilal Al-Quran jil. 2, m/s 910). Al-Qaradhawi hanya berhujah dengan ayat ini dalam konteks yang telah saya jelaskan dalam point no. 5 di atas.

18) Surah Al-Mumtahanah ayat 8 sesekali tidak menafikan larangan memberikan wala’ kepada orang bukan Islam dan menjadikan mereka sebagai pemerintah (seperti mana yang termaktub dalam Surah Ali Imran ayat 28, Al-Nisa’ ayat 138-139, Al-Taubah ayat 71 dan Al-Mumtahanah ayat 1 dan banyak lagi ayat larangan wala’).

Kerana wala’ hanya berhak diberikan kepada Allah, Rasulullah dan orang-orang beriman. (Abu Zahrah, Fatawa Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, himpunan dan tahqiq Dr. Muhammad Uthman Syibir, m/s 725-726). Bahkan menurut Ibnu Hajar al-`Asqalani, membuat baik dengan orang bukan Islam tidak bermaksud boleh berkasih sayang dan saling mencintai dengan mereka yang memang telah dilarang. (Fath al-Bari, jil. 5, m/s 233).

19) Bagi mengelak salah faham, saya tidaklah menyatakan larangan mutlak untuk melantik non-Muslim sebagai ahli Parlimen dalam konteks sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Ada situasi dan keadaan yang mengharuskannya (contohnya di kawasan majoriti non-Muslim dan tiada calon Muslim berwibawa yang bertanding) JIKA benar-benar mempunyai dalil & asas Syarak yang kukuh untuk mengharuskannya di samping menetapkan parameter-parameter supaya dominasi kuasa politik umat Islam kekal terpelihara. Ini supaya kita tidak membakul sampahkan segala nas-nas Syarak dan pandangan fuqaha yang telah diterangkan di atas begitu sahaja.

JIKA BERTEMBUNG DUA CALON MUSLIM PULA BAGAIMANA?

20) Setelah jelas kefahaman kita bahawa mengutamakan calon Muslim berbanding non-Muslim untuk menduduki kerusi parlimen merupakan satu kewajipan, timbul pula persoalan lain iaitu bagaimana sekiranya terdapat lebih daripada satu calon Muslim bagi satu-satu kawasan pilihanraya?

Situasi sebegini boleh dilihat dari sudut berlakunya pertembungan antara dua maslahah (kebaikan/manfaat), yang mana maslahah yang rajih wajiblah diutamakan berbanding yang marjuh.[5] Ini berdasarkan kaedah yang diungkapkan oleh Sultan al-`Ulama Al-`Izz Abd Salam:

إذا تعارضت المصلحتان وتعذر جمعهما فإن علم رجحان إحداهما قدمت

“Apabila berlakunya pertembungan antara dua maslahah, dan ia tidak dapat diharmonikan, hendaklah didahulukan maslahah yang lebih rajih” (Qawa`id al-Ahkam  fi Masalih al-Anam, jil. 1, m/s. 60)

21) Maslahah yang rajih boleh diketahui atau dipastikan dengan melihat bahawa ia merupakan maslahah yang lebih umum, lebih besar manfaatnya, lebih tinggi martabatnya, lebih tinggi kebarangkalian untuk mencapainya atau lebih banyak disepakati oleh para ulama’. Ini berdasarkan banyak kaedah Syarak termasuklah:

تقديم المصالح العامة على المصالح الخاصة

“Mengutamakan maslahah yang umum berbanding maslahah yang khusus”

تقديم المصالح الأعلى على المصالح الأدنى

“Mengutamakan maslahah yang lebih tinggi berbanding maslahah yang rendah”

22) Dalam hal ini, calon Muslim yang dilihat soleh tetapi berada di bawah suatu pakatan yang didominasi oleh parti non-Muslim, atau tidak pernah terbukti kelantangan/keberaniannya mempertahankan kedaulatan Islam serta tidak pernah menentang kehendak pemimpin non-Muslim yang menolak kedaulatan Islam sudah tentu tidak dipilih jika di sana terdapat calon Muslim lain yang terbukti lantang menentang kehendak/ dominasi non-Muslim yang menolak kedaulatan Islam.

Adakah maslahah memilih calon yang dilihat soleh tetapi berdiam diri apabila kedaulatan Islam dicabar hari demi hari itu lebih besar daripada maslahah memilih calon yang juga soleh, tambah berani mempertahankan kedaulatan Islam tanpa terikat dengan mana-mana pakatan yang didominasi parti non-Muslim?

23) Malah jika menurut pandangan Al-Juwayni, umat Islam dilarang untuk melantik orang kurang baik/ kurang layak (mafdhul) yang sedangkan ia ada pilihan atau mampu untuk melantik orang yang lebih baik/ layak (afdhal) sebagai pemimpin. Hal ini telah disimpulkan oleh Dr. Al-Zabdani dengan ungkapan kaedah:

يحرم تقديم المفضول مع التمكن من تقديم الفاضل

(Al-Siyasah al-Syar`iyyah `inda al-Imam Al-Juwayni)

24) Belajarlah dari kesilapan sebahagian gerakan/ parti umat Islam sebelum ini yang telah menghalalkan pelantikan calon non-Muslim yang menentang kedaulatan Islam yang kononnya dianggap adil, semata-mata ingin menjatuhkan Muslim yang dianggap korup. Muslim tidak berwibawa yang diangkat sebagai pemimpin pula hanya mampu melihat ancaman dan serangan tersebut malah masih bersangka baik, masih mampu bersikap lembut atas dasar rahmatan lil alamin (mengikut tafsiran sendiri yang sempit). 

25) Natijahnya, lihatlah betapa kelompok non-Muslim yang menentang kedaulatan dan kesyumulan Islam sedang berkuasa dan mendominasi pemerintahan negara hari ini, meskipun mereka belum mencapai majoriti dalam parlimen. Lalu berhempas pulaslah umat Islam, NGO Islam serta saki baki pemimpin Muslim berwibawa yang ada mempertahan dan melawan serangan demi serangan ke atas kedaulatan Islam di Malaysia.

Sampai bila keadaan mungkar ini akan berterusan?

Ahmad bin Khairuddin

Ahli Majlis Ulama ISMA

6 November 2019

*Disclaimer: Tulisan ini hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mana-mana pihak, syarikat atau organisasi.


Nota kaki :

[1] Antara ayat larangan wala’ kepada non-Muslim:

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ

“Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (wala’ kepadanya) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah” (Ali-Imran : 28)

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahwa mereka akan mendapat siksaan yang pedih,(iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong (wala’ kepadanya) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah” (An-Nisa’ : 138-139)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia (wala’ kepada mereka) yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), karena rasa kasih sayang. Padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu” (Al-Mumtahanah : 1)

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (At-Taubah : 71)

[2] termasuk Sheikh Dr. Fathi al-Duraini dalam “Khasais al-Tasyri` al-Islami fi al-Siyasah wa al-Hukm” dan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “Min fiqh Al-Dawlah fi al-Islam”.

[3] Contohnya: Ali Imran: 104, An-Nisa’: 58, Al-Nisa’: 59, Al-Anfal: 39, Al-Taubah: 29, 60, 73, Al-Hasyr: 7, Al-Tahrim: 9

[4] Firman-Nya:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)

[5] Tanpa dinafikan bahawa boleh jadi juga salah satu calon Muslim itu hanya mengekalkan/ menambahkan lagi mudarat sedia ada. Jika benar ia dapatan itu, maka tolak saja calon yang datangkan mafsadah tersebut, dan pilihlah calon yang mendatangkan manfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 485 access attempts in the last 7 days.