Toleransi Islam bukan gadai prinsip

1. Kehidupan di dalam negara yang berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia menuntut kepada sikap toleransi berperinsip umat Islam ketika berinteraksi di kalangan rakyat.

2. Konsep toleransi berprinsip ini sangat penting difahami kerana akibat salah faham terhadap konsep ini, dikhuatiri berlaku sikap terlajak menghormati penganut agama lain sehingga menjatuhkan maruah Islam sendiri dan mengiktiraf kebenaran agama lain.

3. Terdapat beberapa prinsip asas yang wajib diketahui dan dipertahankan oleh umat Islam. Terbukti di dalam sejarah tegas mempertahankan prinsip ini tidak pernah menzalimi penganut agama lain kerana tabiat Islam itu sendiri sebagai agama kasih sayang.

4. Prinsip paling penting ialah Islam hendaklah sentiasa mesti berada mengatasi agama-agama lain. Inilah aqidah kita. Aqidah ini dibina atas asas pemahaman kita kepada beberapa nas syarak. Antaranya:
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”(QS Aali Imran :19)

5. Firman Allah : “Dan sesiapa yang mencari agama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” ( QS Aali Imran :85)

6. Hadith Rasulullah SAW: “Islam itu tinggi dan tiada lain yang mengatasinya.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

7. Daripada asas prinsip di atas, setiap individu dan organisasi yang memperjuangkan isu mengharmonikan antara agama-agama dengan apa jua jenama dan nama mesti berpegang teguh dengan thawabit (ketetapan) ini iaitu Islam mesti diletakkan di tempat yang selayaknya iaitu tempat yang tertinggi.

8. Toleransi berprinsip membawa maksud bagaimana orang Islam berinteraksi dengan orang bukan Islam dalam martabat Islam kekal di tempat tertinggi.

8. Secara umumnya kita sebagai individu mahupun secara kolektif sewajibnya tahu sempadan hubungan kita dengan penganut agama lain. Antara perkara-perkara pokok yang perlu diperhalusi dalam isu toleransi beragama ialah sewajibnya mat Islam mesti mengetahui perkara-perkara yang disebut sebagai thawabit (perkara-perkara pokok dan asas) yang tiada tolak ansur .

10. Contoh perkara-perkara yang dipanggil sebagai thawabit di dalam konteks hubungan kaum di Malaysia ialah, bagi umat Islam, agama Islam adalah satu-satu agama yang benar , semestinya ia diletakkan di tempat yang tertinggi. Perkara ini pun telah diperakui di dalam perlembagaan negara. Tindakan menyamaratakan semua agama adalah tindakan yang salah dan mendedahkan umat Islam kepada ancaman syirik serta murtad.

11. Namun dalam masa yang sama ajaran Islam menegah pemaksaan menganut agama Islam kepada orang bukan Islam. Ini juga salah satu prinsip penting di dalam Islam.

12. Meletakkan Islam di tempat yang tertinggi juga bermaksud menjaga kedudukan Islam di negara ini. Sebagai sebuah negara Islam , syiar-syiar kemungkaran dan maksiat hendaklah tidak dizahirkan apatah lagi jika ia menjadikan susuk tubuh negara ini sebagai sebuah negara Islam sebagai kabur.

13. Festival-festival arak, pesta tarian gay dan lain-lain perkara yang secara jelas Islam telah mengharamkannya tidak boleh dizahirkan sebagai syiar di negara ini. Gesaan sesetengah pihak agar hak asasi manusia dipertahankan dengan membiarkan perkara-perkara ini berlaku adalah bertentangan dengan norma hidup bermasyarakat di negara ini yang majoriti penduduknya adalah muslim , bahkan Islam tercatat sebagai agama negara. Namun bagi rakyat yang bukan Islam , mereka tidak dilarang meminum arak dalam premis peribadi mereka.

14. Tindakan-tindakan mencela agama Islam seperti yang sering tertular di dalam media-media sosial seperti penghinaan kepada Allah, Rasul dan ajaran-ajaran Islam perlu direspon segera termasuklah tindakan undang-undang. Janganlah pula ia dianggap sebagai hak kebebasan bersuara. Umat Islam lebih bermaruah dan dihormati apabila mereka tahu asas-asas utama agama mereka dan sedaya upaya mempertahankan dan dalam masa yang sama tidak sedikit pun mengurangkan hak-hak orang lain.

Sahibus Samahah Ustaz Hj. Zamri b. Hashim
Pengerusi MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 630 access attempts in the last 7 days.