Menyanggah fahaman ‘Law of Attraction’ atau ‘Kuasa Minda’

1. Al-Mawdudi dalam bukunya Nahnu wa al-Hadarah al-Ghrabiyyah ada mengambarkan bagaimana nilai kebaratan yang berasaskan pendewaan manusia atau biasa kita sebut dalam falsafah sebagai humanisme mula meresap dalam seluruh sudut kehidupan manusia hari ini tidak terkecuali dalam dunia Islam.

2. Antara kesan yang kita mula rasai hari ini contohnya dalam bidang psikologi atau motivasi yang ada hari ini. Unsur berlebihan mengagungkan akal manusia sehingga digambarkan daripada akal manusia inilah bermula segalanya. Istilah ‘mindset’, ‘paradigma’ sehinggalah membawa kepada ‘power of mind’ atau ‘law of attraction’ antara contoh idea yang dibawa masuk untuk menanam kepercayaan ini. Ini terjadi kerana bagi mereka unsur ruh atau hati manusia adalah perkara yang tidak wujud kerana ia tidak boleh dinilai secara saintifik.

3. Tanpa disedari, sebahagian motivator Muslim pun terpengaruh dengan idea ini akibat kuatnya pengaruh ini. Bila berbicara tentang perubahan diri, pembersihan kolam jiwa, meningkatkan produktiviti bisnes bahkan lebih teruk berbicara tentang membangunkan dakwah ia sering hanya digambarkan pada mindset atau segala-galanya bermula daripada akal semata-mata. Tanpa menafikan peranan akal, tetapi ia bukanlah berlebihan diagungkan seperti yang digambarkan oleh barat.

4. al-Mawdudi sangkal fahaman ini dengan menyebut walaupun barat pada hari ini berada pada satu tahap ilmu akal yang sangat tinggi namun mereka jatuh ke dalam lembah kegelapan akhlak yang sangat dalam. Hal ini terjadi kerana mereka sendiri gagal memahami hakikat manusia itu sendiri, mereka gagal memahami daripada mana lahirnya setiap tindak tanduk manusia. Mereka sangka ia daripada akal, maka diberi la pengetahuan sebanyak mungkin terhadap akal tetapi akhirnya ia tidak membuahkan hasil.

5. Perkara ini diterangkan lagi oleh Mawdudi dengan diberikan satu perbezaan tentang pengharaman arak yang berlaku pada zaman Nabi SAW dan larangan arak yang pernah berlaku di AS pada tahun 1920. Bagaimana masyarakat Islam Madinah boleh meninggalkan arak dengan menyeluruh hanya bersandarkan pada satu wahyu sedangkan AS berbelanja bilion dollar bagi usaha pengharaman tersebut tetapi akhirnya ia gagal dan terpaksa ditarik balik pada tahun 1930. Pelbagai usaha mereka buat dengan iklan dan penerangan satu persatu ttg keburukan arak untuk pengaruhi akal namun masih gagal.

6. Islam sedar bahawa unsur yang paling penting dalam diri manusia adalah hati dan jiwanya. Hanya hati yang suci serta jiwa yang bersih dapat melahirkan tindak tanduk dan akhlak yang murni. Dan perlu diketahui bahawa makanan hati bukanlah pengetahuan sainstifik baik buruk dll, tetapi makanannya ialah memahami hakikat kehidupan, mengenali hakikat Tuhan serta menghayati pengakhiran kehidupan. Benar, perkara ini tidak akan dapat melainkan dengan Aqidah yang cuba diterapkan melalui wahyu. Hati tanpa diisi dengan Aqidah akan menjadikan hawa nafsu sebagai makanannya.

7. Sebab itu dalam pengharaman arak, Allah bukan sekadar menyentuh sainstifik baik-buruk, tetapi menanam hakikat arak itu sendiri berkait Aqidah iaitu berasal usulkan daripada Syaitan.“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (al-Maidah: 90). Cukup hanya dengan satu ayat maka umat Islam terus menyahut “Kami berhenti dari segala perbuatan kami ini ya Allah.. Kami berhenti…”

8. Hadis Nabi SAW juga secara jelas menyebut tentang hal ini: “Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh terdapat segumpal daging. Apabila segumpal daging tersebut baik, (maka) baiklah seluruh tubuhnya. Dan apabila segumpal daging tersebut buruk, (maka) buruklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah, segumpal daging itu adalah hati”. (HR al Bukhari dan Muslim). Dalam ayat lain Allah menggambarkan kejahilan manusia itu bukanlah bermula dengan akal tetapi hati: “(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah materaikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.”

9. Hal ini sangat penting untuk kita fahami khususnya dalam dunia pendidikan hari ini. Baru-baru ini ada penggumuman oleh KPM untuk membuang subjek berkaitan Islam daripada pendidikan di universiti, mereka cuba menerapkan pembangunan nilai dan akhlak adalah berdasarkan sainstifik semata tanpa perlukan agama. Tetapi hakikatnya apa yang mereka lakukan bukan sahaja menghakis Islam tetapi meruntuhkan nilai dan akhlak itu secara menyeluruh kerana pembangunan akhlak sebenar perlukan pada agama kerana ia adalah makanan hati.

10. Inilah yang disebut berulang kali oleh Prof Dato Yusuf Othman dalam bukunya Sains dalam Ekosistem Ilmu iaitu antara kesan penerapan falsafah barat sainstisme adalah usaha menyelesaikan perkara bersifat kualitatif atau subjektif dengan kaedah kuantitaf atau saintifik yang bersifat objektif. Apa yang terjadi adalah perkara tadi tidak dapat diselesaikan bahkan membawa masalah lebih teruk. Lahirlah manusia yang mempunyai ijazah yang tinggi tetapi runtuh akhlaknya, manusia yang hebat teknologinya tetapi menghancurkan alam, manusia yg bijak akalnya tetapi sering menzalimi orang lain.

Manusia inilah yang Allah SWT sebut diawal Surah al-Baqarah lagi: “Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”

Muhammad Firdaus bin Zalani
Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 595 access attempts in the last 7 days.