Kuasa Allah meliputi sekecil-kecil perkara

1. Ketika Quraysh menafikan kekuasaaan Allah untuk menghidupkan semula mereka yang telah mati, al-Quran tampil menempelak sikap mereka dengan menegaskan bahawa Allah mampu menghidupkan mereka semula bahkan menyusun semula sekecil-kecil tulang dan jari. Firman Allah:

بَلَى قَادِرِينَ عَلَى أَنْ نُسَوِّيَ بَنَانَهُ

“Bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya) segala tulang jarinya (tulang yang lebih halus dari yang lain).

2. Kebanyakan ahli tafsir klasik (seperti al-Tabari dan al-Baghawi) menafsirkan perkataan “bananah” sebagai tulang kecil, jari (tangan), kuku dan sebagainya. al-Qurtubi menjelaskan hikmah Allah menyebut tulang jari ini. Kata beliau:

فنبه بالبنان على بقية الأعضاء . وأيضا فإنها أصغر العظام ، فخصها بالذكر لذلك

“Allah menekankan tentang tulang jari dan memilihnya daripada anggota badan yang lain kerana ia adalah tulang yang paling kecil. Lalu Allah memilih untuk menyebutkannya secara khusus (ketika menempelak sifat Quraysh ini).”

3. Menariknya, sebahagian penafsiran moden memilih untuk menterjemahkan perkataan “bananah” sebagai “fingerprint” (capjari) atau “fingertip” (hujung jari). Ini sekaligus menampakkan keindahan al-Quran yang menyebutkan secara detail bahawa Allah bukan sahaja mampu menghidupkan yang mati bahkan boleh menyusun semula setiap cap jari jutaan manusia yang berbeza-beza itu.

4. Terjemahan Quran dalam bahasa inggeris oleh al-Maududi, Dr. Ghali dan Sahih International adalah antara agensi yang menterjemahkan “bananah” sebagai cap jari (atau hujung jari) sekaligus menjadikan sebahagian penyelidik melihat keindahan al-Quran dari perspektif sains dalam mendekatkan diri dengan Allah.

5. Inilah keindahan al-Quran. Ia bukan sahaja menegaskan tentang kekuasaan Allah untuk menghidupkan manusia, ia boleh diterjemahkan dengan pelbagai sudut bagi mendekatkan diri manusia dengan Allah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 595 access attempts in the last 7 days.