Belanjawan 2020: Saat terbaik untuk kita kembali muhasabah

Bagi saya belanjawan yang dibentangkan tiap tahun termasuklah hari ini adalah saat terbaik untuk muhasabah bagi semua pihak. Pemerintah dalam kembali melihat apakah yang mereka mahukan pada rakyat dan rakyat juga kembali menilai apakah kehendak yang mereka ingin pemerintah sempurnakan. Maka belanjawan ini seolah-olah memberi gambaran apakah keinginan yang mengikat kedua pihak tersebut.

Teringat perbahasan as-Syahid Syed Qutub dalam Ma’alim fi Tariq berkaitan perbezaan asas ‘cara pandang’ antara Peradaban Islam dan Barat. Berdasarkan manhaj Quran dan Sunnah, beliau menyimpulkan asas utamanya adalah Islam melihat ‘centre’ atau titik utama dalam semua sudut ketamadunan termasuklah kemajuan adalah manusia itu sendiri sedangkan Barat melihat titik utama mereka adalah kebendaan atau materialistik.

Kesan daripada perbezaan cara pandangan ini besar, bagi Barat kemajuan sesebuah negara itu bukanlah pada nilai atau tingginya modal insan tetapi dilihat pada pembangunan kebendaan sains dan teknologi, wang dan keuntungan, kuasa dan pengaruh.

Istilah KDNK antara contoh bagaimana falsafah ini dibumikan. Mereka akan buat apa sahaja demi mendapatkan perkara tersebut walaupun terpaksa mengorbankan manusia. Sebab itu hari ini kita lihat institusi peribadi, keluarga dan masyarakat mereka runtuh semuanya kerana bagi mereka ia tidak mempunyai nilai.

Sedangkan dalam Islam pembangunan yang sebenar adalah membangunkan nilai setiap individu, keluarga serta masyarakat yang wujud disekitarnya. Sebab itulah Malek Bennabi menyatakan tamadun Islam bukanlah bermula pada zaman Abasiyyah iaitu dengan membangunnya sains dan teknologi, tetapi ia bermula sejak wahyu pertama diturunkan lagi kerana pada saat itulah bermulanya pembangunan nilai pada setiap individu.

Peristiwa Hijrah dilihat saat yang paling berharga bukan kerana mendapat harta atau terhasilnya teknologi baru, tetapi kerana pada saat itu manusia berada pada tahap nilai yang tertinggi apabila menyerahkan seluruh hidupnya untuk Tauhid.

Maka bersempena pembentangan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan hari ini, kita muhasabah kembali apa yang menjadi titik utama dalam cara pandang kita dan pemerintah hari ini. Dulu kita pernah sebut tentang pembangunan modal insan, penerapan nilai-nilai Islam tapi hari ini ia senyap tidak kedengaran. Yang kita dengar adalah istilah Revolusi Perindustrian 4.0, Wawasan Kemakmuran yang jelas lahir daripada rahim materialistik dan sosialis.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada DIRI MEREKA sendiri” (al-Ra’d: 11)

Marilah kita sama-sama bermuhasabah,

Muhammad Firdaus bin Zalani
Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 410 access attempts in the last 7 days.