Adakah Allah menerima amalan kita?

1. al-Imam Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan kisah Amir bin Abdullah al-Anbari yang menangis ketika saat kematiannya. Apabila ditanya, mengapa engkau menangis wahai Amir. Beliau menjawab: “Aku tidak tahu samada amalan aku selama ini diterima oleh Allah atau tidak kerana Allah berfirman:

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِين

“Sesungguhnya Allah hanya menerima amalan mereka yang bertaqwa (sahaja).”

2. Generasi salafusoleh terdahulu sangat bimbang sekiranya amalan yang mereka lakukan setiap hari tidak diterima oleh Allah. Saidina Abu Darda pernah berkata:

لَأَنْ أَسْتَيْقِنَ أَنَّ اللَّهَ قَدْ تَقَبَّلَ مِنِّي صَلَاةً وَاحِدَةً أَحَبُّ إِلَيَّ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ: ﴿ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ ﴾».

“Andai aku dapat kepastian (atau keyakinan) yang Allah telah menerima solatku ini adalah lebih aku cintai dari seluruh isi dunia ini kerana Allah pernah berfirman bahawa Allah hanya menerima amalan orang yang bertaqwa sahaja.

3. al-Imam Ahmad pernah ditanya tentang apa yang dimaksudkan dengan taqwa oleh ayat ini lalu beliau menjawab:

يتقي الأشياء فلا يقع فيما لا يحل له .

“Hendaklah kamu berhati-hati dalam melakukan sesuatu agar tidak melakukan perkara yang tidak halal bagi kamu.” Ini kerana terjebak dengan melakukan perkara yang dilarang akan menjauhkan kita dari mendapat kedudukan taqwa.

4. Ini bererti, terjebak melakukan perkara yang dilarang boleh menyebabkan amalan kita tidak diterima Allah.

5. Musa bin A’yan pernah ditanya tentang apa yang dimaksudkan dengan orang yang bertaqwa ini. Beliau lalu menjelaskan:

تنزهوا عن أشياء من الحلال مخافة أن يقعوا في الحرام فسماهم متقين .

“Hendaklah kamu sentiasa membersihkan diri dalam menerima perkara yang halal dan berhati-hati agar tidak terjebak dengan perkara yang haram. Itulah yang dinamakan orang yang bertaqwa.

6. Beberapa insiden ini menunjukkan betapa para salafusoleh terdahulu sangat bimbang sekiranya amalan mereka tidak diterima oleh Allah kerana Allah hanya menerima daripada orang yang bertaqwa. Yang dimaksudkan dengan taqwa adalah mereka yang berhati-hati dalam melakukan perkara yang halal agar tidak terjebak kepada perkara yang haram. Terlibat dengan perkara yang dilarang boleh menyebabkan amalan kita tidak diterima Allah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 410 access attempts in the last 7 days.