Kenyataan RasmiUtama

Umat Islam hendaklah menyokong “Kempen Beli Produk Muslim”

1. Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyokong penuh usaha membangunkan ekonomi umat Islam melalui “Kempen Beli Produk Muslim” yang sedang digerakkan oleh pelbagai pihak khususnya NGO-Islam yang diketuai oleh sekretariat UMMAH.

2. Secara asasnya, saling membantu dikalangan umat Islam adalah tanggungjawab yang mesti dipikul setiap yang beriman atas dasar talian persaudaraan aqidah. Pelbagai dalil yang melambangkan akrabnya dikalangan orang beriman iaitu seperti sebuah binaan yang kukuh atau seperti tubuh yang satu. Atas asas tersebut, adalah menjadi satu kewajipan untuk kita saling bantu membantu serta saling memperkukuhkan satu sama lain.

3. Membantu umat Islam adalah dengan pelbagai cara sama ada membantu ketika susah, membangunkan badan-badan islami, mewaqafkan harta atau keperluan lainnya dan lain-lain. Termasuklah juga antara wasilahnya adalah dengan membeli produk Muslim untuk membangunkan ekonomi umat Islam.

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (Al-Maidah: 2)

4. Usaha ini sewajarnya didokong oleh semua seluruh umat Islam tanpa mengira perbezaan yang wujud. Ini kerana ia adalah perkara yang sangat asas bagi orang beriman iaitulah meletakkan kesetiaan sesama umat Islam sebagai asas sebelum lainnya.

5. Tanpa menafikan produk-produk Muslim hari ini belum cukup luas meliputi pelbagai sudut keperluan harian, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menolak atau mengabaikan kempen ini secara menyeluruh. Kalau kita tidak mula hari ini, sampai bila-bila pun ekonomi umat Islam tidak akan membangun di masa hadapan. Kaedah Fiqh menyebutkan:

ما لا يدرك كله لا يترك جله

Maksudnya: Apa yang tidak dapat dicapai semuanya tidak ditinggalkan keseluruhannya

6. Hierarki awlawiyat dalam menyokong kempen ini dapat dilakukan melalui tiga peringkat: Pastikan barangan yang kita beli adalah produk Muslim yang dibeli di kedai Muslim, jika tiada maka beli barangan Muslim yang dijual di kedai bukan Muslim, jika tiada maka beli barangan bukan Muslim di kedai Muslim. Namun jika terpaksa barulah beli barangan bukan Muslim.

7. Kami juga menyeru supaya pengeluar serta pengusaha produk Muslim mempertingkatkan kualiti-kualiti produk yang mereka keluarkan antaranya dengan mendapatkan sijil Halal JAKIM bagi industri makanan. Ini penting supaya produk-produk Muslim yang dikeluarkan menjadi suatu alternatif yang baik dalam menyaingi produk-produk lain yang telah ada di pasaran.

8. MUIS melahirkan rasa hairan terhadap kenyataan sesetengah pihak lagi-lagi yang Muslim atau yang mengaku sebagai gerakan Islam yang mengaitkan kononnya kempen seperti ini akan membawa ketegangan dan kezaliman pada bukan Muslim. Di manakah nilai ukhuwwah Islamiyah yang mereka canangkan selama ini? Bagaimana mereka boleh berbicara soal membantu umat Islam di Palestin, Syria tetapi mereka senyap membisu dalam membantu umat Islam di tanah air sendiri.

9. MUIS juga menzahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri semalam mempersoalkan kempen ini yang majoritinya dikalangan menteri beragama Islam. Bukankah tanggungjawab paling asas pemimpin Muslim adalah memelihara kebajikan umat Islam?

10. Akhir sekali, MUIS menyeru kepada seluruh umat Islam supaya berhenti mempolitikkan segala perkara berkaitan isu-isu umat Islam. Memperkasa serta membangunkan umat Islam adalah suatu isu ‘real’ yang perlu dilihat bersama. Ia adalah suatu agenda yang perlu disepakati bersama jika kita masih lagi jujur ingin melihat umat Islam kembali gemilang seperti suatu masa dahulu.

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٍ۬

Maksudnya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka, segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan (Al-Taubah: 60)

Memandu Masyarakat, Mendaulat Syariat

Dr Mohd Soberi Awang
Pengerusi MUIS

Leave a Reply