Kenyataan RasmiUtama

Kes Adib: Wajib kita membela saudara seaqidah yang dizalimi

1. Majlis Ulama ISMA (MUIS) melahirkan rasa syukur dan menyambut baik terhadap keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang dibacakan oleh Hakim Koroner Rofiah Mohamad baru-baru ini berkenaan keputusan inkues punca kematian seorang Muslim iaitu Muhammad Adib berpunca daripada tindakan jenayah.

2. Memelihara nyawa (hifz an-nafs) setiap manusia adalah antara perkara asasi yang dipandang tinggi dalam syariat Islam. Tingginya nilai ini sehingga Quran sendiri meletakkan membunuh mana-mana manusia tanpa sebarang asas seolah-olah membunuh seluruh manusia.

3. Apatah lagi ia membabitkan nyawa seorang Muslim. Jika nilai satu manusia biasa di sisi Allah SWT adalah menyamai seluruh manusia, nilai seorang muslim jauh lebih tinggi iaitu melangkaui dunia dan seisinya. Hadis Rasulullah SAW menyebut:

لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ قَتْلِ مُؤْمِنٍ بِغَيْرِ حَقٍّ

“Hilangnya dunia, lebih ringan bagi Allah dibandingnya terbunuhnya seorang mukmin tanpa hak” (HR An-Nasaie)

3. Oleh sebab itu menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya umat Islam untuk menyegerakan siasatan ini agar pelaku jenayah ini segera dihukum dengan hukuman yang setimpal. Mengapa kita masih lagi berlengah-lengah sedangkan Allah SWT sendiri menjanjikan balasan yang sangat keras terhadap pelaku jenayah seperti ini menggambarkan teruknya perbuatan ini disisiNya.

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِناً مُّتَعَمِّداً فَجَزَآؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِداً فِيهَا وَغَضِبَ اللّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَاباً عَظِيماً

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mu’min dengan sengaja maka balasannya ialah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (An-Nisa: 93)

4. Hukuman juga patut dijatuhkan terhadap mereka yang bersekongkol sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam melakukan jenayah dan kezaliman ini.

5. Seluruh umat Islam pada semua peringkat sama ada pemimpin atau penguatkuasa sepatutnya bersepakat tanpa berbelah bagi dalam hal ini. Isu ini bukanlah berkaitan politik atau kepentingan lain, tetapi ianya berkait kesetiaan kita sesama Allah, Rasul serta umat Islam. Menjadi kewajipan atas kita memelihara saudara seaqidah yang sedang dizalimi.

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا

“Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim dan yang dizalimi.” (HR Bukhari)

6. Seluruh masyarakat Malaysia berbilang agama juga sepatutnya bersatu dalam isu ini. Menegakkan keadilan serta menolak kezaliman adalah perkara teras dalam memastikan keharmoniaan masyarakat terus terpelihara. Sebarang usaha untuk menggugat asas ini perlulah kita semua tentang bersama-sama.

7. Akhirnya, moga keadilan itu akan tertegak serta kezaliman itu akan tertolak. Moga Allah mengembalikan kemuliaan umat ini.

Sahibus Samahah Ust Zamri Hashim
Pengerusi MUIS

www.muis.org,my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *