Jangan pernah lupa melakar impian akhirat

No photo description available.

Tulisan saya kali ini merupakan huraian terhadap suatu pesanan daripada Bagida SAW yang menerangkan hakikat hidup seorang manusia atas muka bumi di alam nyata ini.

Yang menarik perhatian ialah pesanan Baginda ini menunjukkan ke”kretiviti”an Baginda SAW dalam berpesan dengan melukis suatu lukisan. Hadis ini daripada hadis-hadis Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH. dalam kitab sahihnya :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: خَطَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا مُرَبَّعًا، وَخَطَّ خَطًّا فِي الوَسَطِ خَارِجًا مِنْهُ، وَخَطَّ خُطَطًا صِغَارًا إِلَى هَذَا الَّذِي فِي الوَسَطِ مِنْ جَانِبِهِ الَّذِي فِي الوَسَطِ، وَقَالَ: ” هَذَا الإِنْسَانُ، وَهَذَا أَجَلُهُ مُحِيطٌ بِهِ – أَوْ: قَدْ أَحَاطَ بِهِ – وَهَذَا الَّذِي هُوَ خَارِجٌ أَمَلُهُ، وَهَذِهِ الخُطَطُ الصِّغَارُ الأَعْرَاضُ، فَإِنْ أَخْطَأَهُ هَذَا نَهَشَهُ هَذَا، وَإِنْ أَخْطَأَهُ هَذَا نَهَشَهُ هَذَا “

Daripada Abdullah (bin masud) RA, berkata : Nabi Muhammad SAW telah menggariskan segi empat, lalu baginda garis satu garisan dari tengah segi empat itu hingga keluar dari segi empat tersebut, baginda garis pula beberapa garisan kecil dalam segi empat pada bahagian-bahagian tepi segi empat tersebut, lalu baginda bersabda : inilah manusia (di dalam ruangan segi empat), dan inilah (segi empat) ajalnya yang sentiasa mengelilinginya, garisan yang keluar daripada kotak segi empat itu ialah impiannya, garisan-garisan kecil di dalam kotak tersebut ialah sesuatu yang akan menimpanya, jika suatu daripadanya tersalah maka sesuatu yang lain pasti mengenainya, jika suatu daripadanya tersalah maka sesuatu yang lain akan menimpanya.

Hadis ini menerangkan bahawasanya seorang manusia sentiasa mempunyai impian yang ingin dikecapi, tetapi hakikatnya impian tersebut sangat jauh daripadanya sehingga ia tidak dapat menjangkauinya sehinggalah terkeluar daripada segi empat tadi. Ini kerana, mati itu sentiasa mengelilinginya dan hampir kepadanya, inilah segi empat tadi. Sebab-sebab kematian itu juga yang dilukis oleh baginda beberapa garisan-garisan kecil dalam segi empat tersebut, adakalanya penyakit, adakalanya aksiden, adakalanya tua dan berbagai-bagai sebab dan cara yang pasti akan mendahului seseorang itu sebelum ia capai impiannya.

Pembaca boleh melihat gambaran lukisan yang saya naikkan bersama post ini supaya boleh membanyangkan akan lukisan baginda SAW dalam hadis di atas. Lukisan tersebut saya ambil dari kitab yang berjudul الرقائق yang bermaksud Pelembut Hati, karangan seorang penulis terkenal Ustaz Ahmad Arrashid yang menggambarkan cerita hadis di atas.

Saudara, inilah hakikat seorang manusia, impiannya duniawinya tersangat banyak. Namun, sedar tidak sedar, ajal yang menunggunya sangat dekat dengannya. Amat beruntung mereka yang melakar dan mengejar akhirat kerana itulah impian yang pasti akan tercapai di sana nanti. Dan amat rugilah mereka yang melakar impian duniawi yang tersangat besar dan banyak kerana dia mustahil dapat mencapainya. Ini pesanan Baginda SAW kepada kita untuk dihayati dan diamalkan.

Di samping melakar impian duniawi yang sementara, ingatlah yang kita hidup hanya sekejap untuk mengumpul harta dan takhta, bahkan semuanya tidak akan dibawa bersama ketika mati, hanya amalan yang dibawa menjadi peneman di alam barzakh dan akhirat nanti.

Ayuhlah kita memperbanyakkan amalan untuk hari akhirat kita dan kurangkan urusan duniawi yang mana boleh. Supaya kita berjumpa dengan Allah nanti membawa bekalan yang cukup untuk menempah mahligai di syurga Allah SWT kelak.

Ingatlah sentiasa pesanan para hakim kepada kita “Dunia ini penjara orang mukmin dan syugra orang kafir”.

Wallahuallam.

Ust Muhammad Ikram Abu Hasan
Ahli MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 410 access attempts in the last 7 days.